Perempuan di stesen lama

109 0 0
                                    

Entah berapa kali aku cuba bangun, akhirnya aku masih tersadai disini, di hentian yang menemukan kita, dia stesen yang sama. Aku mahu berganjak namun akhirnya aku tetap menunggu keretapi yang tamat perkhidmatannya. Aku selesa di sini, di bangku yang sama. Namun semalam, aku dihalau sang jaga. Katanya aku merosak suasana. Ini bukan rumahku. Ini bukan tempat tidurku. Ini bukan kepunyaanku. Ah, aku selalu tahu akan hakikat itu, mana bisa aku punya wang untuk membeli seluruh stesen ini, aku juga memang tidak punya apa melainkan kenangan kita. Tapi aku melawan sang jaga, aku tidak mahu pergi. Aku peluk tiang platform yang sudah usang itu kuat- kuat. Kuat sekali hingga aku bisa merasa urat yang menyelirat di arteri. Akhirnya, dia tumpas, dia pun sudah tidak perduli akan kehadiranku, perempuan busuk yang setia di stesen ini. Aku bukan apa, aku takut andai aku pulang, keretapi dia pun tiba. Aku mahu sambut kepulangan nya seperti janji dia sepuluh tahun dahulu saat semuanya indah- indah belaka. Bersama sepucuk surat cinta dan sekalung rantai pusaka dia tinggalkan aku untuk sebuah cita- cita. Dan dia berjanji akan kembali saat tiba masanya. Ya dia kembali, awal dari tarikh sepatutnya. Dia kembali untuk meraikan sebuah ikatan hati. Saat dia pulang, dia titipkan surat minta sebuah pertemuan. Aku pergi, aku bawa seluruh kasih sayang dan kerinduan yang tidak berkesudahan. Saat bertentang mata, dia pandang ke dasar mata aku, dalam dan terlalu lama. Aku membalas pandangan redup matanya. Perlahan- lahan dia belai rambut aku sebelum dia berpaling ke belakang dan menggengam erat tangan perempuan di sisinya. Ulas bibirnya bergerak perlahan seperti ingin membicarakan sesuatu. Aku tunggu dan terus menunggu. Diam. Lama. Kemudian bunyi bingit keretapi memecahkan hening suasana. Dia perlu berangkat. Dia berjanji akan pulang dan terangkan semuanya. Aku pegang erat setiap butir bicaranya. Saat keretapi berhenti, dia menggengam erat tangan perempuan itu dan melangkah masuk. Aku lihat dari jauh. Koc mereka berhampiran pantri, ada kamar kecil yang memisahkan koc tersebut dengan pantri. Aku lihat dia, tempat duduknya di sebelah tingkap, tempat kegemaran katanya. Dan disebelahnya, sang perempuan sedang bersandar di bahunya. Saat keretapi mula bergerak, dia membalas pelukan sang perempuan dan aku lihat mereka tersenyum mesra, sarat rasa bahagia. Aku cuba menahan rasa sebak di dada. Aku mahu tunggu segala penjelasan dari dia karena aku masih seperti aku pada saat pertama dia kucup bibir aku dan luahkan rasa cinta kepadaku. Ah kenangan, selalu datang saat berantakan, kadang kadang dia datang saat aku bermimpi bermain hujan, dia peluk aku yang kesejukan. Indah. Tapi sayang, saat aku tersedar rupanya aku masih di bangku sama, tiada hujan tiada pelukan hanya malam yang panjang dan stesen yang semakin usang. Aku terjaga lagi, kali ini aku mimpi kau pulang, figura kau tetap sama, mata sepet dah rambut bak rangga serta sebuah pandangan yang sarat rasa cinta. Aku lihat ke seberang, ada keretapi yang tiba. Aku mencari-cari figura mu dalam keramaian manusia dan ya sekali lagi aku harus percaya mimpi yang ilusi yang sia-sia. Mungkin esok keretapimu bakal tiba. Andai kau tiba, kau terus ke bangku tempat biasa ya, aku masih di situ bersama janji yang semakin sirna.

Kispen  seorang cahayapetunjukWhere stories live. Discover now