Bab 4

3.2K 97 6
                                    

SELAMAT sudah aku bergelar isteri kepada Afnan Zulkarnain. Namun perasaan aku tidak seperti pengantin yang lain. Aku terkilan. Terkilan dengan keputusan emak. Tetapi segalanya telah terlambat. Mahu atau tidak mahu, aku isteri lelaki itu kini.

Afnan telah ditukarkan ke Malaysia dan satu perkara yang mengejutkan aku, Jihani ikut bersama. Mulanya hatiku berasa panas juga namun bila kufikirkan balik, kenapa harus aku marah sedangkan aku langsung tidak menyayangi dia? Lantaklah dia hendak memadu kasih dengan kekasihnya itu. Apa yang kukisahkan?
****
"SAYA takkan balik malam ni," maklumnya pada aku saat aku sedang menyendukkan mi goreng ke dalam pingganku.

"Menginap kat mana?" soalku sekadar ingin tahu.

"Rumah kawan." Dia menjawab dengan mi penuh dalam mulut. Hendak lekas barangkali. Sejak akhir-akhir ini dia jarang ada di rumah. Alasannya perlu menyiapkan tugasan di pejabat. Tidak mahu mengganggu aku kerana pulang lewat, dia menginap di rumah kawan. Entah betul ke tidak katanya itu.

"Tak balik sampai bila-bila pun saya tak kisah," selaku tiba-tiba naik darah. Dia mengahwini aku atas dasar apa? Jika begini sekali aku dilayannya, apa perasaannya terhadapku? Aku tidak mengharapkan kasih sayangnya apatah lagi rasa cinta. Tetapi kenapa dia perlu menduakan aku sedangkan dia juga boleh melepaskan aku dengan cara yang baik?

"Awak marah sangat ni kenapa?" Dia pula bersuara keras. Aku kaku di kerusi.

"Awak sayangkan Jihani. Awak cintakan dia. Tapi kenapa awak dera saya dengan perkahwinan ni? Saya tak harapkan awak sayangkan saya. Tapi saya cuma nak awak sedar awak tak boleh simpan saya selama-lamanya macam ni!"

Wajah Afnan berubah. "Simpan? Siapa cakap saya simpan awak? Saya suami awak, Nurdina. Kenapa awak anggap saya menyimpan awak? Awak bukan perempuan simpanan!"

"Habis tu kenapa awak buat saya macam ni? Saya seolah-olah disimpan. Awak nak, awak ambil saya. Bila awak tak nak, awak buang saya. Macam tu ke cara awak layan seorang isteri?" bidasku tidak tertahan menyabarkan diri.

Afnan terdiam. "Maafkan saya," ucapnya.

"Saya tak nak terus berahsia. Awak akan jadi ayah. Tak lama lagi anak yang saya kandungkan ini akan lahir. Saya tak mahu anak ini tak berbapa. Tapi dengan perangai awak macam ni, saya tahu saya harus mempersiapkan mental dan fizikal saya andainya awak melepaskan saya suatu hari nanti," ujarku tidak berselindung. Berita kehamilan sudah kutahu sejak dua minggu yang lalu namun aku tidak berkesempatan untuk memaklumkan kepadanya tambahan lagi aku mencari masa yang sesuai untuk memberitahunya.

Afnan terkejut sedikit. Dia mencapai tanganku tiba-tiba. Wajahnya jelas menunjukkan dia tidak gembira.

"Awak mengandung?"

Aku angguk.

"Tapi saya belum bersedia jadi seorang ayah," ujarnya perlahan. Aku tersentak. Tidak bersedia? Lalu kenapa kau harus menyentuhku jika kau tahu aku akan hamil? Suara hatiku berbisik.

"Nampaknya saya bukan sesiapa pun pada awak. Kenapalah saya menerima awak kalau saya tahu nasib saya akan jadi begini?"

Tanpa menjamah mi goreng yang telah kuhidangkan, aku bingkas bangun dari kerusi. Hati aku sudah cukup terluka dengan kata-katanya. Mahu apa lagi aku di situ?
****

Cerpen : 143 - I Love YouOn viuen les histories. Descobreix ara