"Macam mana kau boleh tahu aku berada di sini?"

  "Hmm? Ooh... Aku kan hebat? Aku dapat kesan kau di mana sahaja kau berada! HAHAHA!"

  "Hish, cakaplah betul-betul! Suka cakap benda merapu! Itulah, asyik-asyik tengok cerita dongeng!"

  Hani tak henti-henti menumbuk bahu aku. Ya.... Hani boleh mengubah emosinya daripada sedih kepada marah dalam sekelip mata! Menakutkan, bukan??

  "Sejujurnya, aku pun tak tahu.. Aku teka saja!" tawaku. Hani juga ketawa.

  "Ini kan tempat kita lepak sama-sama sejak dulu lagi? Cuma sejak akhir-akhir ni, kita sibuk dengan tugas kita sampai tak ada masa nak lepak selepas habis sekolah." terang Hani sambil merenung langit. Kemudian dia sambung lagi.

  "Aku datang sini sebab aku rasa sedih dan aku nak jumpa kau. Aku tahu kau akan datang ke sini untuk cari aku!"

  Terkebil-kebil mata aku. "Kenapa nak jumpa aku?"

  Hani ketawa kecil. Manis. "Entahlah~ Aku rasa aku perlukan kawan rapat aku. Kau kan selalu tolong aku macam-macam? Walaupun kau ni annoying tahap tertinggi..."

  Ouch, sakitnya hati ini!

  "...kau selalu berpesan-pesan kepada aku. Macam ahli falsafah!"

  Aku tersengih sajalah apabila mendengar pujian daripada dia.

  Suasana sunyi seketika. Hanya bunyi dedaun ditiup angin sahaja kedengaran. Tenang rasanya apabila kulitku yang terbakar tadi disapa bayu sepoi-sepoi bahasa. Mata pula tenang memandang langit biru tanpa awan.

  Aku curi pandang Hani yang masih merenung langit. Aku... aku terkesima. Wajahnya yang tenang dan senyumannya yang manis telah membuat hati aku terasa... macam... entahlah. Aku tak tahu.

  Setiap kali aku pandang Hani, mesti akan ada terbit satu rasa yang pelik dalam dada aku ni. Aku tak tahu. Susah nak terangkan. Sakit jantung? Takkanlah aku akan sakit jantung apabila tengok Hani sahaja, kan?

  Apabila aku tanyakan tentang hal ini pada seorang kawanku...

  "Haaa?!?! Azim... AZIM SUKA HANI!!!"

  "Apa??"

  Hish, malu aku. Habis satu tingkatan gosip fasal kami berdua. Tapi lama-kelamaan gosip itu hilang kerana ramai yang sudah tahu tentang hubungan Hani dengan boyfriendnya dulu.

  Persoalannya. Cintakah?

  ...

  Perh, meremang bulu roma aku. Hahahaha takkanlah aku nak suka budak Hani ni pula?? Haih, apa kenalah dengan aku ni.

  "Woi!"

  "Eh, eh, mak kau melatah!"

  "Apa fasal kau tenung aku semacam je??"

  "Ah, aaaa..... aku...."

  Muka Hani sudah merah, malu kerana tak selesa dipandang orang.

  "Ada... serangga tadi dekat tudung kau."

  "APA?"

  "D-Dah tak ada dah! Benda tu pergi tempat lain dah!"
 
  "O-Oh. Hmm, marilah! Kita balik. Dah lambat dah ni."

  Kami berdua bangkit daripada tempat duduk kami. Masing-masing mula mengatur langkah ke pagar sekolah.

  "Eh, ada daun! Hahaaha, kau nampak macam orang gila!"

  Hani mendekati tiba-tiba dan tangannya mengambil sesuatu pada rambutku.

  Perasaan pelik tu datang lagi.

  "Itulah, nak sangat kau gayakan rambut ikut artis Korea! Sampai daun kering pun terlekat dengan gel rambut kau tu!"

  Aku cuba buang perasaan tu jauh-jauh, tapi ia masih terasa.

  "Kau yang perkenalkan Korea kepada aku, bukan? Aku ikut saja stailnya, bukannya aku minat pun Wu Fi Yan tu!"

  "Wu Yi Fan lah! HAHAHA!!!"

  Mungkin... kalau perasaan inilah yang dikatakan cinta...

  "Oh, ya tak ya. Nak balik naik baskah, jalan kaki?"

  "Naik permaidani terbang! Aku ada bawa dalam beg!"

  "Jangan mengarut boleh tak, Azim!?"
 
  Aku tak rasa yang dia akan suka akan aku balik. Kami hanya kawan baik. Dan pastinya, ada ramai lelaki di luar sana yang lebih baik daripada aku.

  "Okey, okey! Kita akan jalan kaki."

  "Bagus! Sebab nanti kita singgah kedai kek seberang jalan tu, ya?"

  "Apa? Tak nak! Jangan buang masa, wahai Hani!"

  Lagipun. Barangkali cinta itu akan berakhir dengan aku menyakiti Hani. Dan mungkin, cinta itulah yang mengakhiri persahabatan kami berdua...

  "Aku belanja macaroon."

  "Setuju."

  Kalau begitu... Aku tak akan bercinta dengan dia. Persahabatan aku dan Hani perlu aku jaga sebaiknya.

  "Yeah, let's go~!"

HilangWhere stories live. Discover now