Bab 5 : Hari Pertama di Pulau

2.6K 136 14
                                    

  Ruang di dalam gua itu diterangi dengan cahaya merah terang dari sebuah unggun api besar. Haba daripada unggun api amat melegakan badan-badan yang menggigil kesejukan malam.

   Semua pelajar 5 Sains 1 duduk mengelilingi unggun. Termenung memandang api yang sedang menari-nari. Sambil mereka mengalas perut dengan roti kosong yang diambil dari bangkai kapal terbang, masing-masing memikirkan nasib diri. Semua ketakutan. Tidak terkecuali si kaum lelaki yang berperangai gila-gila sebelum ini, kaum hawa yang keanak-anakkan, pelajar yang tinggi pegangan agama dan juga pelajar yang tinggi tahap motivasinya – semua sekali ketakutan.

   Mereka hanya duduk diam sahaja pada batang-batang pokok kayu yang sudah tumbang, yang mereka ambil dari luar gua lalu dijadikan 'kerusi' mereka. Tiada perkara yang dapat diborakkan. Tiada jenaka yang dapat dikongsikan. Mulut yang buka tutup hanya untuk menyuap dan mengunyah roti, tiada bicara yang dituturkan.

   Sebungkus besar roti kini sudah habis. Mereka tidak berniat untuk menyambung makan lagi. Mungkin kerana majoriti mereka sudah mula menguap kerana mengantuk.

   "Marilah. kita tidur." kata-kata Hafiz memecah kesepian. Rakan-rakan hanya mengangguk.

   Sharan mengemas, menyusun bekalan makanan dan minuman di satu tempat, di tepi dinding di hujung gua. Semua selimut dibentangkan luas oleh Izzah di lantai gua yang sejuk sebagai alas tempat tidur. Tuala mandi dijadikan selimut. Selimut dan tuala kedua-duanya diambil dari kapal terbang.

   Sofia dan Qistina menyusun bagasi-bagasi secara bertingkat, lalu membentuk sebuah dinding tembok yang memisahkan kumpulan pelajar lelaki yang berada di bahagian kiri gua dan kumpulan pelajar perempuan yang berada di kanannya. Ansar pula, membesarkan sedikit unggun api dengan reranting kayu kering. Bukan sahaja sebagai pembekal haba, malah juga untuk menghalau haiwan buas daripada memasuki gua.

  Dan bukan itu sahaja usaha yang dilakukan untuk menghalau binatang. Batu-batu besar disusun di hadapan pintu gua oleh Hafiz. Tembok batu yang tidaklah setinggi mana itu, sekurang-kurangnya dapat menghalang serangga beracun dari memasuki gua.

   Kini, semua sudah bersiap sedia untuk tidur. Kepala-kepala mereka menghala ke dinding gua. Semua tidur berbaris, sebelah-menyebelah.

   "Selamat malam, semua."

   "Selamat malam, Aqilah..."

                                                                                   ***

   Fithri yang terjaga dari tidur, terus terduduk dan menarik nafas kuat.

   "Di mana...-"

   Dia memandang sekeliling. Dia masih berada di dalam gua. Semuanya gelap dan suram, seperti tiada unggun dinyalakan. Pintu gua juga tidak kelihatan.

   Tetapi, di mana rakan-rakan sekelasnya?

   Bunyi tapak kaki kedengaran bergema di dalam gua. Fithri terkejut lalu berpaling ke arah punca bunyi itu. Nafasnya laju. Degupan jantungnya kuat berdetak-detak di dalam dirinya untuk melihat siapa yang menghampiri.

   Namun jantungnya bagaikan berhenti berdegup apabila orang itu akhirnya dilihat Fithri.

   Sekali lagi, Fithri terduduk terjaga dari tidurnya. Dahinya berpeluh-peluh. Dia bernafas dengan kuat dan laju.

   "Fith...?" Hani yang berada di sebelah turut terjaga kerana tuala 'selimut' yang dikongsi bersama Fithri, terasa disentap kuat.

   "Kau kenapa? Kau okey?" Hani memegang bahu Fithri. Dia terkejut dan risau melihat salah seorang rakan baiknya itu sedang menekan dadanya.

HilangWhere stories live. Discover now