Memori III

1.2K 99 2
                                    

  "Mak. Mak masak apa tu?"

  "Hmm? Oh, Mak masak ayam masak merah ni..."

  Aku mengangguk, puas hati dengan jawapan yang diberi walaupun Mak betul-betul kesibukan. Aku mengintai-intai ruang di dapur.

  "Nak tolong, boleh?"

  "Eh, tak perlu. Mak okey saja," jawab Mak lagi tanpa memandangku, "pergilah tengok TV atau buatlah kerja sekolah kau tu..."

  Aku kekal berdiri melihat Mak yang masih terkial-kial sibuk memasak. Habis cawan, mangkuk - semuanya berterabur di lantai dapur. Mak muda lagi, jadi aku anggap Mak memang kurang pengetahuan dalam bidang masakan suri rumah. 

  Bahan tumisnya hangus kerana dia tumis bawang merah dan bawang putih serentak. Sup kentangnya masin sebab Mak masukkan kedua-dua garam dan bahan perasa pati ikan bilis. Banyak lagilah kesilapan yang Mak selalu buat. Tapi aku tak kisah pun. Masakan Mak tetap sedap. Itulah, magis seorang ibu.

  Aku melangkah lesu ke ruang tamu. Bosan.

Kerja sekolah dah lama aku siapkan di sekolah tadi.

TV? Langsung tiada cerita yang gempak-gempak! Semuanya drama sahaja. Tak habis-habis drama.

  Aku baring-baring di sofa empuk. Keluhan dilepaskan berat. Sakit betul rasa hati. Hari ini hari malang sejagatkah?? Aku bosan gila di rumah. Di sekolah pula...

  Huh...

  Peristiwa di sekolah tadi aku imbas kembali.

  "Selamat Hari BFF Sedunia!!!"

  "Uwaah.... Terima kasih~"

  Di kelas, semua orang memberi hadiah kepada kawan baik masing-masing. Entah sejak bila Malaysia sambut Hari Kawan Baik.

  Oh ya. Sejak penduduk Barat mula kecoh-kecohkan fasal perkara itu di Facebook...

  Waktu itu, aku rasa gembira. Kenapa? Sebab di sekolah ini, boleh dikatakan akulah pelajar paling popular. Aku ada ramai kawan, tak kisahlah daripada kelas atau darjah mana pun. Semua orang suka berkawan dengan aku.

  Ke mana sahaja aku pergi, pasti ada yang menegurku dan berjalan bersama dengan aku. Dalam kelas, aku sentiasa dikerumuni rakan sekelas untuk berbual kosong bersama.

  Bukan nak berlagak, tetapi mungkin disebabkan aku ini seorang yang akan menolong sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Mungkin juga sebab aku ni suka berbual dan melayan orang. Haha, aku ni dah melebih-lebih.

  Jadi. Pada hari itu, aku berikan hadiah bar besar coklat susu kepada semua rakan-rakan aku. ...Um, bukan semualah. Aku terpaksa pilih 10 orang rakan untuk aku berikan hadiah kepadanya. Kalau aku berikan hadiah kepada semua, kopaklah duit mak bapa aku.

  Sesudah itu, aku tunggu sahaja hadiah daripada semua kawan-kawan aku...

  ...yang mana tak kunjung-kunjung tiba hingga tamat waktu sekolah.

  Aku sakit hati! Aku sedih! Aku sedih bukan sebab aku tidak dapat apa-apa hadiah, tetapi fasal...

  Aku ini tiada kawankah?

  Selama ini aku sentiasa bersama dengan rakan-rakan. Aku selalu bantu mereka apa sahaja. Aku selalu menemani mereka. Aku juga selalu menggembirakan mereka semua.

  Tetapi... macam mana boleh jadi begini? Mana kawan-kawan aku?

  "Apa yang kaumenungkan tu?"

  Aku terkejut, betul-betul terkejut sampai aku terus terduduk di sofa. Mak nampaknya sedang menghidangkan lauk-pauk untuk makan tengahari di lantai beralas tikar mengkuang.

HilangDär berättelser lever. Upptäck nu