Aku keseorangan.

  "Meow~"

  "Hehe, aku tak menangislah! Eh, Apit dah habis makan?"

  Aku baru sahaja hendak membelai Apit lagi apabila aku terasa kepala aku sakit, kerana rambutku ditarik seseorang.

  "Ha! Budak yatim ni lagi!"

  Rambutku ditarik lagi, sehingga aku perlu berdiri untuk mengurangkan sakit.

  Aku lihat sekeliling. Ada dua orang budak lelaki di hadapan, salah seorang daripada mereka sedang memegang Apit dengan kasar. Di sebelah pula, ada seorang lagi budak lelaki yang masih menarik rambutku.

  Aku kenal mereka. Mereka telah datang ke sini dan membuli aku dan Apit beberapa hari lepas. Aku agak mereka berada di Darjah Empat, ataupun lebih tua. Ketua mereka adalah yang sedang menarik rambutku. Namanya... Bahari, jika tak silap. Yang memegang Apit itu Syamsul, dan yang seorang lagi ialah Jay. Aku tahu nama mereka melalui perbualan mereka bertiga hari tu.

  "Bukankah kami dah beritahu supaya pergi dari sini? Menyemak betul! Aku paling tak suka ada budak tak beribu ayah ni!" Bahari menyentap rambutku, terus membuat aku menangis kesakitan.

  Jay merampas kasar Apit dari pegangan Syamsul, "kami tak suka kucing hitam! Kucing hitam membawa malang!" Jay memegang ekor Apit dan membiarkan Apit bergantungan. Aku menangis lebih nyaring apabila mendengar Apit mengiau sayu.

  Rambutku disentap lagi, "diamlah! Sikit-sikit menangis!"

  Aku masih menangis, tetapi kali ini, aku cuba memberanikan diri untuk bersuara.

  "L-Lepaskan... Apit..."

  "Apa? Aku tak dengar?"

  Aku teresak-esak, mengumpul nafas, "Lepaskan Apit...!"

  Aku terkejut apabila mereka bertiga tiba-tiba ketawa. Syamsul berkata, "mana boleh! Kucing hitam bawa malang, jadi kami perlu matikan kucing ni!"

  Apit dibaling, bagai anak patung, dia terpelanting menghempas dinding. Aku meraung kuat, melawan-lawan Bahari yang mula menyentap lagi rambutku.

  "Apit!!!"

  Kenapa...? Apa salah aku diperlakukan sebegini?

  Hanya sebab aku ni anak yatimkah, mereka jijik melihat aku lalu menghalau aku pergi?

  Apit... Aku lihat dia sudah tidak bergerak. Tidak mengiau lagi. Aku takut... Takkanlah Apit sudah...

  "Baik aku uruskan budak yatim ni pula!"

  Bahari menyepak kakiku dan aku terjatuh. Rambutku yang masih dipegangnya, ditarik kuat, membuat aku diseret menuju ke luar rumah tinggal itu.

  "Hihihihiiiiiiiiiiiiii......................"

  "B-Bunyi apa tu?!"

  "Hahahahahahahaha!!!!"

  "S-Siapa... Siapa tu?! Keluar sekarang!"

  Aku lihat tiga orang budak lelaki itu ketakutan apabila mendengar tawa seorang budak, yang kedengaran entah dari mana.

  "H-Hei, Bahari. Rumah ni kan... berhantu... Bukan?"

  "J-Jangan mengarut! Mana ada hantu di-"

  Tiba-tiba terdengar bunyi perabot jatuh ke lantai. Bunyi itu mengejutkan mereka bertiga lalu terus lintang-pukang budak-budak bertiga itu lari ke luar rumah.

  Aku keliru. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

  Terkejut aku apabila ada seorang budak lelaki berjalan keluar dari ruang dapur rumah yang agak tersorok. Budak itu lebih tinggi daripadaku jadi mungkin dia lebih tua- Tunggu, bukankah itu abang yang aku langgar secara tidak sengaja semasa di ruang makan rumah anak yatim tadi??

HilangWhere stories live. Discover now