"Safiyya, pergilah berehat. Wildan pun dah lama naik atas. Tetamu pun dah tak berapa ramai ni," tegur Tan Sri Tengku Hairie yang menghampiri Safiyya dan Khaty.

Safiyya mengangguk perlahan. Beg pakaiannya sudah diambil oleh Bibik Watie sewaktu dia tiba ke sini tadi. Ramah betul pembantu rumah itu menyapanya tadi.

"Hah, Khaty, awak dah makan belum?" tegur Tan Sri Tengku Hairie.

"Dah, Tan Sri. Saya pun dah nak balik Tan Sri. Ermm, Puan Safiyya, saya balik dulu, ya," kata Khaty ramah. Terus dia berlalu pergi.

Safiyya menghantar Khaty dengan pandangan matanya. Dia hairan mengapa gadis itu tiba-tiba sahaja menyindirnya. Siapa pula Bella yang dimaksudkan oleh Khaty sebentar tadi? Adakah Bella itu kekasih Tengku Wildan? Ah, mungkin!

"Pergilah rehat Fiyya. Papa tengok Fiyya pun dah letih sangat," suruh Tan Sri Tengku Hairie lagi.

"Terima kasih, Tan Sri. Eh, papa. Saya naik dulu." Dengan wajah merah menahan malu akibat tersasul, terus Safiyya berlalu.

Dia melangkah masuk ke dalam Vila Delima yang tersergam indah. Seketika Safiyya panik. Ke mana dia harus pergi? Di mana letaknya bilik Tengku Wildan? Vila yang tersergam indah ini begitu banyak bilik. Atas ke bawah ni? Dia mahu bertanya, namun tiada sesiapa pun bersamanya. Semua yang lain berada di luar melayan tetamu yang datang.

"Puan, kenapa tercegat di sini?"

Tersentak Safiyya apabila terdengar suara dari belakang menegurnya. Dia mengurut dadanya apabila mendapati orang itu adalah pembantu rumah Tan Sri Tengku Hairie. "Sebenarnya, sa... saya nak tanya awak, eh, kakak..."

"Panggil saja saya Bibik Watie."

"Bibik Watie?"

"Ia. Semua orang dalam rumah ini panggil saya Bibik Watie. Apa-apa pertolongan yang dimahukan boleh minta tolong dengan Bibik Watie. Bibik ngak kisah," kata Bibik Watie ramah.

Safiyya tersenyum. Dia senang kerana pembantu rumah Tan Sri Tengku Wildan begitu ramah orangnya. Rupa-rupanya Bibik Watie senang hendak dijadikan kawan.

"Puan mahu apa ya? Beritahu sama saya," soal Bibik Watie yang sudah fasih berbahasa Malaysia.

Mungkin kerana dia sudah lama tinggal di sini. Fikir Safiyya begitu. "Mana satu bilik Tengku Wildan?"

"Ooo... Mahu cari bilik Tuan Tengku Wildan? Ingat apa tadi. Bilik Tengku Wildan di tingkat dua. Hujung sekali sebelah kanan."

"Oh, terima kasih ya Bibik Watie. Beg pakaian saya tadi bibik letak mana?" soal Safiyya lagi.

"Bibik dah letak dalam bilik Tengku Wildan," beritahu Bibik Watie lagi.

"Oh, terima kasih ya, bibik. Saya naik dulu. Mahu berehat."

Bibik Watie mengangguk sambil tersenyum.

Terus Safiyya menaiki tangga mewah Vila Delima menuju ke bilik Tengku Wildan. Berhati-hati dia melangkah dengan debaran. Bermacam-macam andaian bermain di fikirannya. Safiyya berdiri betul-betul di hadapan bilik Tengku Wildan. Dadanya mula berombak kencang. Haruskah dia mengetuk pintu bilik lelaki ini atau menunggu sehingga Tengku Wildan keluar?

Safiyya mula serba salah. Kalau dia mengetuk pintu bilik Tengku Wildan, bimbang lelaki itu akan mengutuknya perempuan yang tidak tahu malu. Yalah, suka-suka ketuk pintu bilik dia. Atau mungkin lelaki itu akan melakukan perkara yang sama seperti di hotel dahulu?

Safiyya semakin tidak senang. Dia mengambil keputusan untuk tunggu di luar pintu bilik sahaja. Namun, dia bimbang jika Tan Sri Tengku Hairie atau mana-mana penghuni di dalam rumah ini melihat dia menunggu di luar bilik. Pasti mereka tertanya-tanya pula. Safiyya memejamkan matanya. Ketuk pintu atau menunggu di sini? Pertanyaan itu terus bermain-main dalam kepalanya. Dia harus membuat keputusan yang bijak.

Akhirnya, Safiyya membuat keputusannya walaupun saat ini dia keliru. Baharu sahaja tangannya diangkat untuk mengetuk pintu bilik suaminya, terus pintu bilik dibuka tiba-tiba. Tercengang dia memandang Tengku Wildan yang sudah tercegat di hadapannya. Ternyata lelaki itu sudah menyalin pakaian pengantinnya.

Lama Tengku Wildan merenungnya, dari atas ke bawah. Seram sejuk Safiyya dengan gelagat Tengku Wildan. Namun, dia hanya berlagak selamba. Kalau tidak lelaki itu tahu dia sedang gementar dengan renungan lelaki di hadapannya kini.

"Ermm, tuan puteri datang nak masuk berehatlah ni, ya?" sindir Tengku Wildan.

"Tak adalah. Saya datang nak ambil beg pakaian saya dan balik kampung!"

Kata-kata Safiyya membuatkan Tengku Wildan membulatkan matanya. Terus tangan Safiyya ditarik masuk ke dalam bilik. Menjerit Safiyya dengan tindakan Tengku Wildan. Terus pintu bilik dikunci.

"Sound tu tolong kontrol sikit. Kalau papa tahu hubungan kita tak elok macam mana?" marah Tengku Wildan mengingatkan Safiyya.

"Yang awak main kasar dengan saya ni apa hal?" Safiyya tidak mahu mengalah.

"Mulut tu jangan celopar sangat. Okey, dengar sini. Kita dah kahwin dan jadi suami isteri, kan? Aku nak beri beberapa syarat pada kau."

"Syarat apa pula? Kalau tak ada syarat tak boleh?"

"Boleh. Malam ni kau kena tidur dengan aku."

Mencerlung mata Safiyya memandang Tengku Wildan. Terus seram sejuk tubuhnya mendengar kata-kata itu.

Tengku Wildan ketawa. Dia tahu Safiyya tidak senang dengan kata-katanya. "Kau takut, kan? Kalau kau takut kau kena ikut syarat aku."

Safiyya hanya terdiam. Langsung tidak membalas kata-kata Tengku Wildan. Sakit benar hatinya dengan lelaki ini.

"Dengar tak ni?" soal Tengku Wildan apabila melihat Safiyya membisu.

"Apa dia? Cakaplah cepat."

"Hah, macam tu kan senang. Tak payah nak main tarik tali. Okey, yang pertama, kita ni kahwin bukan atas suka sama suka, kan? Jadi apa sahaja urusan yang aku buat kau jangan masuk campur dan aku juga takkan masuk campur urusan kau. Kedua, katil king size ni aku aje yang boleh tidur tahu. Jangan sesekali kau sentuh katil ni. Tempat tidur kau, aku dah aturkan. Kau nampak pintu kecil tu?" soal Tengku Wildan sambil menunjukkan pintu yang dimaksudkan itu.

Safiyya hanya memandang tanpa sebarang kata.

"Itu bilik aku buat kerja, membaca. Tapi kat dalam tu semua dah lengkap dengan sofa panjang. Kau boleh tidur kat situ. Mulai hari ini, bilik kecil tu bilik tidur kau. Lagipun aku jarang guna bilik tu. Daripada berdebu, elok kau tidur di sana. Boleh kau tolong bersihkan setiap hari," kata Tengku Wildan angkuh.

Kejamnya kau Tengku Wildan. Kau ni memang tak ada hati perut, marah Safiyya dalam hati.

"Hah, tunggu apa lagi kat situ? Pergilah rehat kat bilik sana. Tu, beg pakaian kau kat tepi dinding bawa sekali. Menyemak saja kat sini."

Walaupun Safiyya begitu terluka dengan kata-kata Tengku Wildan, namun dia terpaksa memendam perasaan. Tidak sesekali dia akan berkahwin dengan Tengku Wildan kalau bukan kerana permintaan atuknya sendiri. Walaupun hatinya terluka, namun dia senang kerana sudah dapat memenuhi hasrat atuknya. Dia dapat melihat wajah atuknya yang begitu ceria sebaik sahaja dia sah menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Tengku Wildan.

Tanpa membuang masa Safiyya melangkah, mengambil beg pakaiannya. Dia hanya diam membisu tanpa sepatah kata. Tengku Wildan tersenyum puas. Sebaik sahaja Safiyya menolak daun pintu, sekali lagi Tengku Wildan bersuara.

"Satu lagi aku nak ingatkan kau. Bilik air ni kita share. Bila aku nak guna bilik air ni, pastikan masanya tak bertembung dengan masa aku nak guna, ya. Hah, lagi satu, setiap pagi kau kena sediakan air mandian aku dalam bathtub. Jangan sejuk, jangan panas sangat. Suam-suam saja. Ingat tu."

Safiyya mendengus geram. Banyak pula arahan yang diberikan Tengku Wildan. Pintu bilik sengaja dihempas kuat.

Tengku Wildan tersentak. Kali ini bermulalah perang antara mereka berdua.


You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 23, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now