Bab 9 : Pencarian

Start from the beginning
                                    

"Ahahaha!!! Maaf!!!"



Fithri terjaga. Seperti biasa, dia mencungap-cungap laju sejurus terjaga dari mimpinya. Tetapi kali ini... Dadanya terlalu menyakitkan. Rahang, bahu kirinya, tangan kirinya juga terasa kebas-kebas.

Dia memandang sekeliling. Tiada siapa di dalam gua. Mungkin sudah keluar ke pantai untuk buat sesuatu, memandangkan hari sudah agak cerah.

'Aduh... Kenapa...'

'...Mimpi ni lagi...?'

'Memori... tahun lepas...'

"Hish, menyesal aku tidur sekejap selepas subuh!"

Fithri cuba bangkit. Dikuatkan badannya juga untuk berdiri dan berjalan walaupun sudah terjatuh dua kali. Dia ke pintu gua, namun langkahnya terhenti apabila...

"Hish. Si Fithri tu, sakit-sakit pun, masih nak cari teman lelakinya lagi."

"Siapa, Zaim? Normallah tu, apabila kita rindu akan seseorang, macam tu lah jadinya."

"Kita ni kan sedang ada masalah besar! Kita ni terperangkap di pulau mana entah. Dua rakan kita hilang lagi. Sudah berhari-hari Fithri bermimpikan Zaim, sejak... insiden Hafiz hari tu. Sepatutnya sebagai seorang Pembimbing Rakan Sebaya, dialah yang paling kuat emosinya untuk tolong kita semua! Jadi rupa-rupanya, dia taklah sekuat mana, malah lagi lemah daripada kita. Dia hanya memberi harapan palsu kepada kita sebelum ni!"

Fithri terkedu.

"Betul juga kata kau tu... Tapi janganlah kita bersangka buruk sangat... Fithri rakan sekelas kita. Kita sepatutnya cuba tolong dia juga..."

"Huh... Betul juga kata kau tu."

Suara-suara itu hilang seiring dengan bunyi tapak kaki. Barangkali mereka yang berkata-kata tadi tu, sudah pergi.

Fithri terduduk, termenung sendirian. Termenung memikirkan kata-kata dua suara tadi. Tanpa sedar, bunyi tapak kaki baru sedang mendekati.

"Kau ni dah kenapa? Kau okey tak?"

Raja yang juga duduk sekali di dinding gua sebelah Fithri, bertanya tiba-tiba. Sebenarnya dia juga tahu apa yang berlaku tadi.

"Aku cuma rasa tak sihat sikit."

"Selain tu,...?"

Fithri memandang sekilas pada Raja. Rasa sebak di hati perlu diluahkan.

"Bukannya aku yang nak termimpi-mimpi akan Zaim. Aku sendiri tak tahu yang aku meracau-racau nama dia, sampaikan orang lain juga tahu aku sedang mimpi apa selama tiga hari ni.

Memang benar aku selalu teringat akan Zaim, tapi aku tak nak orang lain tahu. Tengoklah, apa yang jadi apabila orang lain tahu! Mereka ingat aku ni tergedik-gedik sangat nak bercinta walaupun musibah menimpa!..."

"Kau teringat akan dia sebab dia dah banyak menolong kau itu ini dahulu. Dia tolong kau hadapi masalah kau, dan dia bantu kau berinteraksi dengan orang lain, betul?"

"Hmm."

"Jadi, normallah tu, kau rindu akan dia. Kau dalam kesusahan sekarang, sebab tu kau, secara separa sedar, nak dia tolong kau lagi."

"Yakah begitu?"

"Aku agak sajalah."

Fithri termenung seketika memandang lantai gua.

"Aku takut nak jumpa mereka selepas apa yang mereka katakan fasal aku."

"Penakut! Sudahlah. Aku nak pergi ke pantai. Semua orang sudah tunggu. Kau nak ikut atau tidak?"

HilangWhere stories live. Discover now