Rumah sewa kecil ini disewa oleh mereka bertiga. Hanya itu yang mampu mereka sewa kerana mereka bertiga bukanlah bergaji besar dan berjawatan tinggi. Aina hanyalah pekerja pasar raya di Giant.

"Eee.. pagi-pagi dah makan mi segera!" tegur Safiyya spontan.

"Laparlah. Malam tadi balik lewat sangat. Balik terus tidur. Nak masak tak larat," beritahu Aina.

Safiyya hanya mengangguk.

"Nak?" pelawa Aina kepada Safiyya.

Safiyya menggelengkan kepalanya. Lantas air kosong dituang dan diteguk perlahan.

"Aku pergi dulu," kata Safiyya lalu mencapai helmet yang berada di sudut dinding.

Safiyya menghidupkan skuter yang dibeli oleh Tok Aki. Walaupun hanya motosikal second hand yang mampu dibeli oleh datuknya, pemberian Tok Aki dijaganya dengan baik. Tok Aki membeli skuter ini sebaik sahaja Safiyya membuat keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur. Pada mulanya Safiyya menolak. Namun Tok Aki tetap mahu memberikan kepadanya. Sebaik sahaja dia sampai di Kuala Lumpur dan menginap dengan Haryanti, terus Tok Aki mengeposnya ke sini.

Beberapa minit enjin skuternya dihidupkan. Terus Safiyya menunggangnya dengan berhati-hati. Dia berharap hari pertamanya bekerja di Hotel Mahkota Royal baik-baik sahaja. Dan dia berharap inilah kerja terakhir yang sesuai untuknya sebagai housekeeper.


BAHARU sahaja Tengku Wildan melangkah masuk ke pejabat, dia ternampak kelibat Bella yang berada di ruang menunggu sambil membelek majalah. Terus dia berpatah balik dan mengatur langkah menuju ke ruang lobi Hotel Mahkota Royal.

"Isy, pagi-pagi dah mengganggu. Asyik muka dia aje. Tak ada perempuan lain ke yang aku nak jumpa?" desis Tengku Wildan sendirian.

"Woi! Gila ke cakap sorang-sorang!" sergah Rusdi seraya menampar bahu Tengku Wildan.

"Hoi! Nak bunuh aku ke? Kalau aku ada sakit jantung, dah lama mati katak kat sini!" marah Tengku Wildan seraya mengurut dadanya.

Rusdi ketawa mengekek. Dilabuhkan punggungnya di atas sofa lobi hotel.

"Relakslah woi! Yang kau bercakap sorang-sorang tu apasal? Duduklah. Tak lenguh ke berdiri?" ujar Rusdi sambil ketawa kecil.

"Ermm... kalau kau ni bukan kawan aku, dah lama aku buka langkah 10. Tak adalah, aku geram betul dengan Bella ni. Pagi-pagi dah tercongok kat depan bilik aku. Tak ada lelaki lain ke dia nak cari?" bebel Tengku Wildan. Dia duduk di hadapan Rusdi. Kedua-dua kakinya disilangkan di atas meja.

"Okeylah, daripada tak ada perempuan yang kacau kau. Dia tu sentiasa dengan kau, tak adalah kau bosan sangat. Manja, menggoda. Lagipun kau pun apa kurangnya? Kaki buaya kan!" tukas Rusdi.

"Woi! Kaki buaya jangan disebut. Aku ni punyalah handsome, asyik minah tu aje yang datang nak berkepit dengan aku. Aku naklah juga berdamping dengan girl lain. Macam Ana Julia yang kita jumpa kat kelab tu. Aku suka dia, sebab dia suka jual mahal!" kata Tengku Wildan seraya ketawa.

"That's right! She is also sexy. Auummm," ujar Rusdi lalu membuat gaya cakar kepada Tengku Wildan.

"Aku ingat malam ni nak jumpa dia lagilah. Menari dengan dia memang seronok. Tak puas aku!" kata Tengku Wildan. Di matanya sudah membayangkan wajah Ana Julia yang anggun itu.

"Malam ni aku tak bolehlah. Aku ada hal lain," balas Rusdi.

"Takkanlah aku nak pergi sorang-sorang? Tak seronoklah tak ada kawan."

"Aku ada hal penting. Esok semua keluarga aku berkumpul untuk makan besar. Next time aku temankan."

"Ermm, yalah," jawab Tengku Wildan agak kecewa. Pandangannya dilemparkan ke arah lain.

Suasana sepi seketika. Namun begitu pandangannya terganggu apabila seorang pengurus housekeeping, Faridah sedang berjalan dengan seorang gadis. Bersungguh-sungguh dia menerangkan tugas kerja gadis itu.

"Who is she? Nice but. Ermm macam kolot aje nampak gayanya. Not my taste!" tukas Tengku Wildan tiba-tiba.

"Kau cakap pasal siapa ni?" soal Rusdi terpinga-pinga apabila Tengku Wildan bersuara tiba-tiba.

"Tu... Budak perempuan tu," balas Tengku Wildan seraya mulutnya dimuncungkan ke arah yang dilihatnya.

"Comel dan suci!" balas Rusdi lantas ketawa mengekek.

"Kau suka dia?"

"Budak baru ke?" soal Rusdi pula.

"Ya kut. Tak pernah nampak pun sebelum ni," ujar Tengku Wildan. Matanya masih tertancap kepada gadis yang bertudung litup yang dilihatnya. Geli hatinya apabila melihat si gadis memakai sarung lengan dengan baju kerja yang berlengan pendek.

"Ermm, berminat nampak?" usik Rusdi apabila melihat sahabatnya itu masih memandang gadis itu.

"Ermm, kalau yang ni petik jari aje terus datang. Kalau Ana Julia lainlah. Payah! Satu dalam sejuta," kata Tengku Wildan.

"Okey, aku nak tengok. Kau berjaya tak pikat budak perempuan tu!" kata Rusdi lalu memuncungkan mulut ke arah gadis bertudung yang dilihat mereka.

Tengku Wildan memandang Rusdi dengan dahi berkerut. "Maksud kau?"

"Kita bertaruh! Tengok sama ada dia jatuh ke tangan kau ataupun tidak. Tadi kau juga cakap perempuan macam tu petik jari terus datang," cabar Rusdi. Sengaja dia lakukan begitu kerana dia tahu Tengku Wildan memang pantang dicabar.

"Kau tak percaya cakap aku?" soal Tengku Wildan lagi.

"Buktikan!"

"Okey. Kita bertaruh satu ribu. Setuju?" kata Tengku Wildan dengan penuh yakin.

"Okey, kita tengok," balas Rusdi sambil tersengih memandang Tengku Wildan.


Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now