"KRINGGG!!!"
Bunyi loceng jam bergema memecah keheningan subuh. Suasana bilik yang kelam diterangi samar-samar cahaya lampu jalan yang menembusi langsir nipis di jendela. Lantas muncul tangan seorang lelaki terkapai-kapai di atas meja katil, meraba-raba mencari sumber bunyi yang mengganggu tidurnya. Sekali tekan, loceng itu terdiam. Kemudian, tangan tersebut mula meraba suis radio yang turut berada berhampiran dengan jam loceng. Dengan perlahan tangannya memutarkan suara radio tersebut.
"Selamat pagi semua! Selamat memulakan hari yang indah, kawan-kawan! Cuaca hari ini dijangka cerah dan nyaman."
Kedengaran suara DJ radio berkumandang riang dari corong kecil di meja sisi katil.
Kelihatan seorang lelaki, sekitar usia 27 tahun, berambut hitam sederhana panjang yang sedikit kusut, perlahan-lahan bangun dari tidurnya. Dia duduk di sisi katil, menundukkan kepala seketika sebelum mengangkat kedua-dua tangan, meregangkan tubuhnya yang terasa lesu. Bunyi tulang yang berkeriut halus kedengaran dalam kesunyian pagi. Keluhan kecil terbit dari bibirnya.
Di bilik air, wajahnya yang muram terpampang di cermin. Dia menyikat rambutnya ke belakang dengan jari sebelum menyumbat berus gigi ke dalam mulut. Sambil menggosok gigi, matanya meneliti refleksi diri sendiri di cermin. Lingkaran hitam di bawah matanya semakin jelas. Pandangan matanya yang kosong, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang tidak berpenghujung.
Air suam mengalir membasahi tubuhnya ketika dia mandi. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan tuala tersangkut di bahu, mengenakan pakaian kerja yang tersusun kemas di kerusi. Kemeja hitam, seluar kelabu gelap, gaya yang sama seperti semalam, dan hari yang sebelumnya.
Di meja makan kecil di sudut dapur, dia meneguk secawan kopi panas sambil menggigit sekeping roti. Tangannya menolak skrin telefon, meneliti artikel berita tanpa minat. Sebuah keluhan berat terlepas dari bibirnya.
"Hmm, bosan... Tiada yang menarik hari ini. Setiap hari, hampir kesemuanya benda yang sama saja."
Selesai bersarapan, dia menyarung kasut di tepi pintu. Suara burung berkicau di luar, namun hatinya tetap sepi. Langkahnya perlahan berjalan meninggalkan rumahnya menuju ke jalan utama. Beberapa orang jiran yang sedang menyiram pokok dan menyapu halaman sempat menyapanya dengan ramah, namun dia hanya mengangkat tangan, sekadar memberi isyarat balas tanpa senyuman.
Cara jalannya perlahan dan lemah, seolah-olah ada beban berat yang bergayut di bahunya. Angin pagi yang segar menyapa wajahnya, tetapi tiada rasa yang timbul di hatinya. Semuanya terasa kosong... Dan hambar.
Di stesen bas, suasana agak sibuk dan kacau-bilau. Orang ramai berpusu-pusu, masing-masing bergegas mahu menjadi orang pertama yang melangkah masuk ke dalam bas. Ada yang menolak, ada yang memotong barisan dengan tanpa segan silu. Bunyi hon kenderaan dan suara orang ramai bercampur baur, membentuk satu irama pagi yang agak meriah.
Namun, lelaki itu hanya berdiri di satu sudut, tidak tergesa-gesa seperti yang lain. Tangannya tersimpan kemas di dalam poket seluar, pandangannya dingin memerhati gelagat manusia di sekelilingnya. Di wajahnya, tiada sebarang ekspresi. Kosong dan hambar.
"Kehidupan sekarang tak ubah seperti perlumbaan di Litar Sepang. Semua orang sibuk nak jadi nombor satu. Zaman sekarang, manusia makin hilang sifat kemanusiaan. Mereka hanya tahu fikirkan diri sendiri sahaja. Langsung tidak ambil peduli perasaan orang lain. Dari kanak-kanak hingga dewasa, semuanya sama saja," bisik hatinya.
Dia menarik nafas panjang, membiarkan angin pagi yang dingin menyentuh wajahnya. Perlahan-lahan, bas tiba dan orang ramai mula menolak masuk ke dalamn, seolah-olah tiada masa untuk bersabar, namun lelaki itu hanya melangkah perlahan ke dalam bas, memilih tempat duduk di tepi jendela.
YOU ARE READING
7 Sumpahan Permata
FanfictionTiada siapa tahu rahsia kehidupan. Hidup yang sebelumnya penuh dengan berantakan, berubah dalam sekelip mata. Itulah yang terjadi kepada Azizi. Dia tidak pernah menyangka bahawa, dia akan terperangkap dalam dunia yang dikenali sebagai Lagindra. Sebu...
