06

39 8 2
                                    

WAJAH risau Atilia menyambut kepulangannya. Dia sampai di rumah lima minit sebelum pukul sepuluh malam.

Tak pernah-pernah dia balik selarut ini. Biasanya habis kerja dia takkan ke mana-mana lagi. Duduk mendekam di dalam bilik, tempat yang dirasakan paling selamat.

Malam ini dia melanggar kebiasaan. Terasa rapuh dan tidak berharga. Perasaan yang berusaha dielakkan sepanjang dua tahun pelariannya. Juga keterikatan emosi dengan sesiapa pun, termasuk gadis yang berdiri risau di hadapannya.

Atilia menerpa pintu sebelum dia sempat memulas tombol. Atilia pasti menunggunya sejak tadi.

“Kau pergi mana? Kenapa baru balik? Aku risau tahu tak? Dah la aku call kau tak jawab. WhatsApp aku kau tak balas.”

Atilia mengekori Iman yang mendaki anak tangga. Gontai langkah Iman. Wajah Iman yang dia pandang di muka pintu tadi pucat dan tidak bermaya.

“Kau pergi klinik ke? Klinik ramai orang?”

Takkan la dari pukul dua sampai pukul sepuluh baru selesai?

“Iman!” Atilia melelar lengan Iman.

Iman hanya menatapnya dengan tatapan kosong. Seakan hanya jasad Iman di hadapannya sedang jiwa Iman terpencar entah ke mana.

“Kenapa dengan kau ni?”

Atilia risau dengan reaksi Iman yang terlalu datar. Dah lama dia tak melihat wajah Iman seperti ini. Kali terakhir sewaktu dia baru mengenali Iman.

Enam bulan yang sangat panjang. Sebilik dengan Iman dengan aura yang sangat mencengkam.

Bicara Iman terlalu sedikit. Boleh dibilang dengan jari. Iman yang tak ingin memandang wajahnya lama-lama. Iman yang sentiasa membuang muka. Iman yang selalu membelakanginya seperti dia seekor parasit yang boleh memusnahkan Iman.

Dan benteng yang dirasakan hampir runtuh kembali terbina dengan pandangan Iman yang sangat tidak bersahabat.

“Iman…”

Iman menghela nafas.

Dia tidak boleh terus berdiam diri.

“Aku okey.”

Atilia tak percaya. Tangan kanannya meraba dahi Iman.

“Kau panas, Iman. Kau demam ni. Kau pergi klinik tak tadi?”

Dia tak nampak sebarang ubat dibawa pulang Iman.

Iman terkebil-kebil.

Dia tak ke mana-mana pun tadi. Selepas lari dia nampak sebuah jambatan. Dia duduk di situ sehingga dia mendengar bunyi suara orang menarik kotak. Mungkin suara gelandangan yang mahu tidur di situ.

Dia tidak mahu pulang. Dia hanya ingin lenyap dari muka bumi ini. Dia ingin lari sekali lagi.

Tapi sampai bila? Sampai bila dia mahu melarikan diri? Ke mana lagi dia akan pergi?

Dia tak punya teman. Dia hanya kenal Amelina dan Atilia. Atilia tak tahu kisahnya. Dia tak mungkin terus mengharapkan Amelina membantunya.

Kali pertama mereka lepas, kali kedua mungkin sebaliknya yang berlaku.

“Aku sakit kepala.”

Iman tarik perlahan lengannya yang dipegang Atilia. Dia melangkah kembali ke bilik mereka.

“Kau dah solat?”

Oh, gara-gara panik dan ketakutan dia langsung lupa solat lima waktu. Zuhur, asar, maghrib… Dia tak solat!

Macam manalah Tuhan nak sayang dia kalau panggilan Tuhan pun dia abaikan.

Iman geleng.

Atilia buka mulut, nak membebel. Melihat wajah Iman yang lesu, dia tak sampai hati.

Hatinya tertanya-tanya ke mana Iman pergi tadi. Dia lebih pelik apabila reaksi Iman dan tuan rumah seperti mereka saling mengenal.

Tetapi tiada apa yang berlaku selepas Iman lari. Ibu tuan rumah hanya terlihat terkejut.

Dia kembali bekerja, menyiapkan kerja-kerja pembersihan sebelum dia dijemput Abang Din.

“Kau larat tak nak mandi?”

Iman angguk.

“Kau mandi dulu. Lepas tu solat. Aku carikan ubat untuk kau.”

Iman angguk juga.

Dia ambil tuala dan baju ganti.

Langkahnya perlahan, serasa tak jejak lantai.

Atilia memerhati dengan bingung dan bimbang. Apa sebenarnya yang telah berlaku?

TENTANG IMAN (SIRI HERO 1)Where stories live. Discover now