"Assalamualaikum, Ilya."

"Waalaikummusalam. Iman. Awal balik? Awak dah tengok baby Abang Emir dan Kak Aisyah? Mesti comel kan?" Qaylisha menguntum senyum bagi menyorok perasaan sedihnya. Tadi semasa dia kemas-kemas sedikit bilik mereka, dia terjumpa sekeping gambar di dalam laci. Gambar pemberiannya untuk Adam.

Adam diam sebentar dan perlahan-lahan menarik gambar yang berada di tangan Qaylisha. Giliran dia pula merenung gambar itu. Entahlah... Dia tak rasa ingin menjawab soalan isterinya. Dia lebih tertarik pada gambar ini. Selain Qaylisha, zuriatnya di dalam perut Qaylisha, sekeping gambar ini juga hartanya. Jiwa dan raganya. Dia tidak boleh bayangkan kalau dia hilang harta-hartanya. Mungkin... Dia akan kembali menjadi Nathaniel Hadrey Anderson. Seorang yang mati rasa dan tidak peduli dengan sekeliling.

Tanpa Adam sedar, dia telah menggenggam erat hujung gambar itu.

"Iman..."

"Saya rindu anak kita. Saya teringin nak tengok muka dia. Kalaulah... Kalaulah..."

"Iman... Jangan cakap macam itu. Awak tak boleh macam ini."

"Kalau saya tak ceraikan awak malam itu, kita dah ada anak lama dah. Ini semua pasal jantan tak guna itu." Adam mengetap rahang bagi menahan geram. Sampai sekarang dia tidak boleh maafkan Haziq. Haziq punca segalanya. Haziq punca rumah tangga mereka musnah. Haziq punca anak mereka mati. Semuanya salah Haziq. Dan dia berharap Allah bakal balas segala kesalahan Haziq dengan setimpal. Mungkin Haziq terlepas dari hukuman gantung, tapi tak semestinya Haziq terlepas dari hukuman Allah SWT. Hukuman yang tiada siapa yang mampu menampungnya.

Qaylisha gigit bibir. Tangan yang tiba-tiba menggeletar digenggam erat agar Adam tidak perasan. Qaylisha cuba mengukir senyum tipis.

"Iman... A-awak ingat tak yang awak suka usap-usap dan cium perut saya. Ingat tak?" soal Qaylisha. Wanita itu cuba membangkitkan suasana. Dia tidak mahu nama Haziq menjadi topik perbualan mereka malam ini. Dia sangat bencikan nama itu.

Akhirnya Qaylisha berjaya alihkan perhatian Adam. Jejaka itu menoleh ke arah isterinya. Kepala dijatuhkan beberapa kali  membuatkan Qaylisha tersenyum.

"Masa itu... Sebenarnya awak bukan tengah usap dan cium perut saya saja. Tapi baby kita. Masa itu... Saya dah mengandung. And I was so glad... Baby kita dapat rasa sentuhan awak. Sentuhan kasih dan sayang seorang daddy," ujar Qaylisha lembut. Wanita itu mengukir senyum manis.

Ya. Walaupun Qaylisha sedang kandungkan zuriat mereka sekarang ini, mereka tetap kenangkan anak pertama mereka. Zuriat pertama. Hasil pernikahan pertama mereka.

Adam tersenyum perit. Air mata jantannya tumpah begitu saja kerana teringatkan kisah lalu itu. Qaylisha ditarik merapat dan dahi wanita itu dicium hangat. Adam memeluk bahu Qaylisha dari samping. Mereka sama-sama melihat gambar zuriat pertama mereka, mengenangkan zuriat yang mereka tidak bakal dapat lihat sama ada di dunia atau di syurga.

Tetapi janin yang hanya berusia lapan minggu itu dapat memberi syafaat kepada mereka berdua. Dengan redha terhadap pemergian janin mereka, mereka sudah dilimpahkan dengan pahala.

Redha itu berat. Namun, tika kamu redha, hati kamu ikut tenang dan bahagia.

















MEREKA habiskan masa pagi mereka dengan tawa. Qaylisha sehabis pasrah memberikan arahan pada suaminya cara-cara mahu memasak nasi goreng kampung. Apa yang dia beri arahan, Adam tidak dapat terimanya dengan betul.

Sejak Adam tahu Qaylisha mengandung, dia tidak pernah benarkan Qaylisha masuk ke dapur kecuali hari ini. Itu pun kerana Adam menyuruh Qaylisha ajar masak. Dan dalam mengajar itu, Adam beri arahan supaya Qaylisha duduk saja di atas kerusi dan sekadar mengajar dengan suara. Masak nasi dia buat.

Tetapi empat lima kali juga dia tanya Qaylisha, adakah air beras itu terlalu banyak atau terlalu sikit.

Selepas itu, bila diberi arahan agar memotong sayur kangkung, banyak kali juga Adam tanya mahu potong bagaimana. Adakah patut Adam mahu potong kangkung itu sebatang-sebatang? Memang lambatlah jawabnya! Apa salahnya potong terus seikat. Ini potong sebatang-sebatang sampai ke isyak pun tidak selesai!

Dan semestinya ada lagi kerenah Adam! Semasa menggoreng ikan bilis, jeritan Adam memenuhi ruang dapur malah satu rumah! Takut sangat ikan bilis itu meletop dan terkena wajah tampannya. Pegang spatula pun macam pegang pedang! Ingat nak main fencing ke hah?

"Yessszaaah! Chef Muhammad Adam Al-Iman berjaya memasak nasi goreng bandar untuk adinda a.k.a isteri tercinta!" Adam mendabik dada dan tersenyum bangga. Malah apron ditubuh masih belum dilepaskan. Mahu menonjolkan aura-aura chef terhebat! Sudahlah sesuka hati aje mem'bandar'kan nasi goreng kampung itu.

"Tahniah Iman! Tak pernah-pernah saya dengar nama nasi goreng bandar," perli Qaylisha dan tersenyum manis. Adam masih dengan senyuman bangganya. Rambut diraup ke belakang. Tidak tahu diri sedang diperli.

"Kan? Sedap tak nama saya bagi? Aishh! Ini anak Puan Natrah lah!"

Ding dong! Ding dong!

Baru saja mereka ingin menyantap makanan yang dimasak oleh Adam tetapi bunyi loceng itu membuatkan mereka tersentak. Mereka sama-sama memandang pintu utama.

"Eh! Ada oranglah! Siapa pula yang datang pagi-pagi ini? Mengacau aje kita nak dating! Sekejap ya awak, saya bukakan pintu," bebel Adam seraya melepaskan apron ditubuh. Dia melangkah ke arah pintu.

Tombol pintu dipulas dan pintu ditarik ke dalam. Adam memandang sosok yang berada di muka pintu dan pada akhirnya dia terkejut sendiri melihat wajah itu. Semakin terkejut Adam melihat budak kecil yang sedang memimpin tangan wanita dihadapannya itu. Namun Adam masih dapat mengawal reaksi terkejutnya. Jejaka itu membatu lama sehinggalah Qaylisha muncul di sebelah.

"Iman? Siapa yang-" soalan Qaylisha mati di situ melihat wajah wanita dihadapan mereka. Lihat akan budak kecil di sebelah wanita itu membuatkan hati Qaylisha bagai dihempap batu besar. Ya Allah! Tolonglah...

"Hai Nathan."

"Alea."

Anderson's Temptation Where stories live. Discover now