"Apakah kesemuanya sudah ditempatkan dengan baik?" Soal Wan Panji pula sambil memandang Perkasa.

Perkasa tersenyum sinis seraya mengangguk. "Usah risau, segalanya berjalan lancar dan berada bawah pengawalan Citra." Tangannya dihalakan ke arah Citra di sisinya.

"Jadi kini apa lagi yang masih berbaki?" Soal Raja Sang ingin tahu. Dirinya sudah tidak sabar lagi menunggu. Terasa penantiannya lama tidak berpenghujung.

Perkasa memandang Citra dan Wan Panji. Masing-masing tersenyum serentak. Hati terpaut bahagia memikirkan misi yang hampir selesai. Kemudian Perkasa menoleh kembali ke Raja Sang. Bibirnya dibuka melontar suara.

"Laksamana Khoja."
_______________________•••____________________

Dahlia duduk berteleku di dalam gua sederhana kecilnya. Matanya sehabis baik diusahakan untuk tidak tertutup akibat ngantuk yang melampau. Kini dirinya berada di atas puncak Gunung Tasik Gerhana Berdarah.

Sang Merpatika membawanya ke mari sebelum waktu maghrib tamat apabila hujan lebat sedikit reda. Sungguh dirinya langsung tidak menyedari semua itu akibat terlelap di sisi Merpatika yang membantu menghangatkan tubuhnya yang dingin. Dirinya yang terlalu penat berlatih tidak bangun dari tidur walaupun telah dikejutkan Merpatika berulang-kali.

Kesudahannya burung merpati gergasi itu hanya mengangkatnya sahaja untuk naik ke puncak gunung.

Dahlia masih bersandar pada dinding gua. Dirinya masih terlalu mengantuk akibat kepenatan berlatih dengan lamanya namun dia harus menunggu isyak yang bakal tiba beberapa minit sahaja lagi kerana sekiranya dia terlelap sekarang, mahu subuh esok baru dirinya terjaga kembali.

Matanya kuyu merenung kejernihan air tasik yang bersinar di bawah sinaran mentol langit tika malam, sang bulan. Merpatika sedang menguruskan hal sendiri. Malas mahu melayan Dahlia yang sudah bagaikan mayat hidup tidak cukup tidur dibuatnya.

Saat mata kuyu Dahlia hampir sahaja terkatup, bunyi sergahan Sang Jentayu yang tiba-tiba datang segera menyegarkan dirinya semula. Terkelip-kelip mata merah Dahlia memandang kelibat Jentayu gergasi yang hadir tanpa salam diutarakan terlebih dahulu.

"Dahlia, aku ingin meminta bantuan kau segera." Ujar Sang Jentayu tegas.
_______________________•••____________________

"Kau mahu yang ini juga?" Soal Iskandar sambil jari telunjuknya menuding ke arah sebuah bakul dipenuhi dengan kuih cara berintikan daging. Lazatnya bau kuih menusuk hingga kalbu. Padanlah Ratna berkeras mahu memilih yang itu juga.

Gadis kecil itu mengangguk riang. Bahagianya hati ini apabila keluar bersama Iskandar kerana biarpun sentiasa disakat, pemuda itu tetap melayaninya dengan baik. Segala karenahnya pasti dilayan biarpun mulutnya membebel tanpa henti. Sungguh Iskandar dan bebelannya tiada berpisah.

Arjuna telah bergerak bersama Awi menuju ke sebuah destinasi yang hanya berada dalam pengetahuan mereka. Katanya terdapat beberapa urusan tertentu yang harus dia selesaikan. Megat dan Nara pula kekal berada bersama para tentera di Taman Mawar Buyung berlatih sehabis baik. Ratna diarahkan Arjuna untuk berada di bawah penjagaan Iskandar seketika kerana dia tidak boleh membawa gadis itu ke tempat yang ingin dituju.

Kini mereka berdua hanya bersiar-siar di sebuah pasar berdekatan selepas asar kerana perut masing-masing lapar minta diisi. Iskandar itu memang kesukaannya adalah menyakat namun gadis kecil itu akan dia pastikan cukup segala keperluannya.

Jikalau lapar akan segera dia beri makan, jikalau ngantuk akan segera dia bawa pulang ke istana Tarawangsa memandangkan itulah tempat tinggal sementara Ratna, gadis yang berada bawah jagaan Tuanku Ratu Melawati.
_______________________•••____________________

Dusta Puteri PalsuDär berättelser lever. Upptäck nu