⚬ Bab 6 ⚬

50 17 8
                                    

RAISYA berjalan perlahan di taman yang memiliki pemandangan sangat indah pada waktu petang itu. Taman tersebut lebih cantik kerana dilengkapi oleh tasik yang dihiasi dengan bunga teratai di permukaannya.

Jantungnya tetap tak berhenti berdebar. Kedua-dua belah telapak tangannya mula terasa sejuk. Sesekali dia melihat skrin telefon.

Mana abang ni? Kata nak tunggu dekat taman.

Raisya mengeluh lembut. Ada beberapa pelajar yang berjoging di sekitar taman, ada juga yang berbual di dalam satu kumpulan yang tidak jauh dari tempat Raisya berdiri sekarang.

"Assalamualaikum, My Putri."

Raisya yang leka memerhati pelajar-pelajar yang berjoging di situ tiba-tiba tersentak akan satu suara lelaki yang menegurnya dari belakang.

Bibirnya diketap perlahan. Dah tahu siapa si pemilik suara tersebut. Tiada seorang pun yang memanggilnya Putri di sini melainkan seorang lelaki bernama Alif Hazriq.

Bertenang, Raisya. Jangan gelabah.

Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum tubuh badan dipusing ke belakang. Iris mata Raisya menangkap satu senyuman manis yang diukir pada wajah tampan Alif.

"W-Waalaikumussalam," balas Raisya, sedikit gugup.

Anak mata yang dari tadi melekat pada wajah Alif segera Raisya larikan. Tak betah untuk memandangnya lama-lama. Terasa jantung bagaikan hendak tercabut keluar.

"Putri tipu abang," ujar Alif dengan senyuman yang masih tak hilang dari wajahnya.

Raisya pandang Alif. Tak faham apa yang Alif cuba sampaikan.

"Tipu apa?" tanya Raisya. Matanya yang bulat itu terkebil-kebil.

"Putri kata Putri tak cantik. Patutlah abang ajak video call selama ni Putri tolak. Rupanya tak nak tunjuk muka dia yang makin cantik tu," Alif muncungkan bibirnya lalu berjalan ke arah satu pondok yang berdekatan.

Raisya tertunduk malu kerana dipuji sebegitu. Dia membuka langkah apabila Alif memanggilnya agar datang ke pondok tersebut.

"Rasa macam cepat sangat masa berlalu. Dulu abang tengok Putri ni kecil je lagi. Main basikal dengan adik-adik abang," kata Alif diselangi dengan tawa kecil. Mula mengimbas kenangan lalu.

Raisya turut ketawa apabila mengingatkan zaman kanak-kanaknya ketika dia berumur dalam lingkungan lapan hingga sembilan tahun dahulu.

"Abang ingat?" soal Raisya teruja.

Alif mengiyakan. "Mestilah. Muka Putri masa kecil dulu comel. Sekarang bila dah besar, cantik pula."

Semakin lebar senyuman Raisya dek dipuji melambung-lambung oleh Alif. Dia merasakan jantungnya yang agresif tadi kini sudah kembali seperti sediakala.

"Hah tengok tu! Lesung pipit tu lah yang buat Putri lagi nampak berseri," Alif pantas menunjuk ke arah lesung pipit Raisya yang berada di sebelah kanan pipinya.

"Ceh, over je abang ni!" Raisya cuba cover rasa malu dan terharunya yang makin membuak-buak.

"Ah! Sebelum tu..." kata-kata Alif terhenti seketika. Poket seluarnya diseluk dan telefon bimbitnya segera dikeluarkan. Entah apa yang dia lihat pun Raisya tak tahu.

"Cepat! Abang nak hantar gambar kita kat ummi. Dari haritu lagi dia minta," ajak Alif, gembira betul gamaknya.

Alif bingkas bangkit dari tempatnya lalu duduk di sisi Raisya. Gadis itu anjak sedikit ke tepi. Tidak mahu terlalu rapat.

"Hantar kat ummi je okay? Jangan hantar kat sesiapa," Raisya memberi amaran manja. Alif ketawa dan anggukkan kepala.

Klik!

Takdir Buat RaisyaWhere stories live. Discover now