💘BAB - 75

32.7K 937 263
                                    

Hanya mengambil masa tiga jam sahaja, dia sudah tiba di hadapan rumah Encik Azman. Langsung dia tidak memikirkan soal keselamatan dirinya sendiri tatkala memandu sebentar tadi. Dipandu selajunya sehingga semua kenderaan yang berada di hadapannya dipintas dengan cekap.

Fokusnya hanya satu.

Destinasinya hanya satu.

Tujuannya hanya satu.

Safiyah.

Berbekalkan semangat dan tekad di hati, dia melangkah keluar dari perut keretanya. Diperhatikan sekeliling kawasan rumah yang luas itu terlebih dahulu. Pintu rumah dan tingkap yang tertutup rapat namun dia tahu isterinya berada di dalam. Tidak menunggu lama, daun pintu itu diketuk seiring dengan salam yang diberi. 

"Assalamualaikum, sayang! Sayang, abang datang ni!" Laungnya kuat.

Namun, tiada siapapun yang menyahut salamnya. 

Tok!

Tok!

Tok!

"Abah, tolong bukak pintu ni, Ray nak jumpa Fiya. Abah..." Rayunya buat kesekian kali di sebalik pintu rumah yang tertutup rapat itu. 

Dia sanggup merayu.

Dia sanggup merendahkan egonya.

Dia sanggup melutut dan mencium kaki mereka jika itu yang membolehkannya untuk berjumpa dengan Safiyah semula. 

"Abah bukaklah pin---"

"Kenapa kamu datang?! Tak malu dekat jiran-jiran ke menjerit-jerit macam ni?!" Soal Encik Azman kasar sebaik sahaja pintu rumah itu dikuak olehnya. Sebenarnya, dia sudah tahu Rayden akan ke sini dan dia sengaja tidak mahu membuka pintu namun bimbang suara Rayden akan mengganggu jiran-jirannya, jadi dia membuat keputusan untuk bersua muka dengan lelaki itu. Sekaligus menyelesaikan masalah di antara mereka. 

Rayden tunduk mahu mencapai tangan Encik Azman, namun ayah mertuanya itu lebih pantas melarikan tangannya ke sisi. "Tak perlu nak bersalam-salam dengan saya. Cepat tandatangan surat penceraian tu dan sila balik ke rumah kamu semula." Arah Encik Azman dingin. Tidak sedikitpun rasa kasihan dan simpati terbit di lubuk hatinya apabila memandang seraut wajah mendung Rayden. 

"Ray tak akan tandatangan surat tu sampai bila-bila. Ray tak akan lepaskan Fiya walau apa pun yang terjadi. Ray datang ke sini untuk ambil dia semula. Ray merayu tolong pulangkan Safiyah semula. Ray janji lepas ni Ray akan jaga dia dengan baik, Ray tak akan naik tangan lagi dekat dia, Ray janji abah. Ray janji..." Wajah Encik Azman ditatap sayu. Tuhan, tolong lembutkan hati mertuanya agar dia dapat memiliki cinta hatinya semula. 

Encik Azman menggeleng kesal. "Ini keputusan saya dan Safiyah anak saya. Jadi saya berhak untuk tentukan hidup dia. Lagipun, keluarga kamu pun setuju dengan penceraian ni, jadi saya rasa tak ada masalah untuk kamu turunkan tandatangan kamu. Atau kamu dah lupa bahawa kamu yang sebabkan anak saya jadi macam ni? Kamu pukul dia tanpa belas kasihan, kamu tinggalkan dia bertarung nyawa seorang diri untuk selamatkan anak-anak kamu, dan disebabkan musuh kamu, dia yang menjadi mangsa. Dia keguguran. Dia koma. Semua tu berpunca dari kamu sendiri! Mana janji kamu untuk jaga anak saya dengan baik? Mana?! Saya dah layan kamu sebagai menantu dengan baik sekali tapi kamu sesenang hati musnahkan kepercayaan saya dekat kamu! Saya satukan kamu dengan anak saya sebab saya percayakan kamu dan saya kenal kamu sejak kamu kecil lagi! Tapi ini rupanya perangai kamu yang sebenar!" Herdik Encik Azman dengan lantang. Habis hilang segala tutur katanya yang lembut selama ini. Wajahnya memerah, matanya juga memerah dan dadanya berombak kencang. Terlalu menahan amarah yang sudah melebihi paras kesabarannya selama ini.

Dan jika diikutkan rasa amarah dan rasa bencinya, sudah lama dia memukul anak muda yang berada di hadapannya ini dengan sepenuh hati. Tetapi dia tahankan tangannya, tiada gunanya jika memukul lelaki ini sekiranya ada jalan penyelesaian yang lebih baik.

❦︎𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐇𝐚𝐭𝐢 𝐌𝐫.𝐑𝐚𝐲𝐝𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐟𝐢𝐪𝐢❦︎ [✔︎]Where stories live. Discover now