Jaket winter yang dipakai segera dibuka lalu dia mendekati gadis itu. Tanpa segan silu dia menarik lengan Imna yang kepenatan sedang membongkok memegang pinggang menahan sakit senggugut di bahagian pinggang.

Imna terkejut besar ketika lengannya ditarik pantas dia menoleh. Wajahnya begitu dekat dengan dada Adam yang sedang memandang ke arah lain sambil tangannya laju membawa jaket winter yang dipegangnya ke belakang badan gadis itu.

"Kau buat apa ni?" tanya Imna agak terkejut. Siapa saja yang tidak terkejut dengan tindakan drastik dan tiba-tiba Adam itu. Jika perkara yang sama Adam lakukan kepada pramugari yang sedang bertugas boleh jadi mereka juga akan pengsan terkena serangan jantung.

"Nanti kalau aku cakap, kau malu pula...." Wajah Adam kelihatan selamba seperti tiada rasa segan walhal dalam hatinya sudah berdetak-detik. Belum pernah dia sedekat itu dengan Imna.

"Kenapa?" Kerutan di dahi Imna mula timbul, tidak mengerti.

"Kau bulan merah kan?" Bahasa kiasan sengaja Adam berikan.

Di saat mendengar pertanyaan itu, mata Imna terus terbuntang. Lalu dia menarik jaket winter Adam yang labuh separas lutut itu menutupi seluruh bahagian hadapan tubuhnya.

Adam pula perlahan-lahan menjauhi Imna.

"Nanti sampai airport tukar baju dulu." Adam memberi pesan sebelum mengukir senyuman manis dan berlalu pergi.

Pramugari yang membantu tadi kembali semula untuk mendapatkan Imna dan berikan Imna minyak angin yang dicarinya tadi. Usai menyapu ubat itu di bahagian dahi dan tengkuk termasuk menghidunya beberapa kali. Barulah Imna berani untuk kembali ke tempat duduknya semula. Perlahan-lahan pramugari memapah dia keluar dari tandas. Sebaik saja mereka tiba di tempat duduk, Puan Isma yang sedang menilik telefon terus mendongak dan memandang Imna.

Usai Imna melabuhkan punggung, Puan Isma terus menarik jaket winter yang dipakai anak gadisnya.

"Baju siapa pula ni?"

"Adam...."

"Dah kenapa pula budak tu nak bagi kamu baju dia?" Kerutan di dahi Puan Isma mula kelihatan. Tidak mengerti akan situasi yang sedang menimpa Imna ketika itu.

"Imna bocor...." Perlahan saja Imna menjawab soalan ibunya.

"Ya Tuhan! Imna! Dah pakai panties linear belum?"

"Dah... Dahlah ma, jangan cakap kuat-kuat. Malulah." Selepas pramugari datang memberi minyak angin kepada Imna, gadis itu segera bertanyakan tentang panties linear tersebut dan nasibnya begitu baik. Di bahagian kabin krew pekerja pramugari itu semua kelengkapan kecemasan ada.

"Kalau mama tak bising, tak bebel. Kamu bukan nak dengar cakap mama pun!" Jelingan maut Puan Isma berikan.

Imna memandang ke atas sambil mengeluh perlahan. Imna tahu ibunya terlalu overprotective kerana mahu menjaga dirinya, tetapi apa yang Puan Isma lakukan itu kadang-kadang membuatkan dia berasa dirinya terkongkong. Tiba-tiba dia teringatkan Khairul Adam, lelaki yang membantunya di tandas tadi. Ya! Itulah lelaki yang Imna suka. Crush yang Imna teringatkan sebelum kejadian memalukan tadi berlaku.

Bebelan Puan Isma diendahkan begitu saja. Telefon bimbit dari dalam beg galas dia tarik keluar lalu merenung aplikasi whatsapps yang tertera nama Khairul Adam. Mujur saja kapal terbang belum bergerak jadi bolehlah dia hidupkan data internetnya.

Bibir diketap rapat, Imna waswas mahu menegur lelaki itu memandangkan kejadian memalukan bukan sekali berlaku di antara mereka, tetapi sudah dua kali! Sekali Imna termuntah di hadapan lelaki itu. Kali kedua, kes terbocor dan lelaki itu membantunya untuk cover dari termalu sekali lagi.

Marry You | TerbitWhere stories live. Discover now