MY ¦ 2

171 30 55
                                    

"ADAM?" Imna terpana saat matanya melihat wajah lelaki yang sangat dia kenali itu. Lelaki yang asyik terngiang suara di halwa telinga. Bayangan lelaki itu juga turut berlegar-legar di minda sejak tadi.

Lelaki itu membuka sebelah mata dan melirik ke arah Imna. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyuman.

"Hai?" Lambaian tangan lelaki itu berikan kepada Imna. Seperti biasa, lelaki itu sungguh mesra dan Imna berasa sangat selesa ketika berada berdekatan dengan dirinya.

"Ya Tuhan. Anak aku! Kenapa dengan Imna ni?" Puan Isma datang mendekati Imna yang dipapah oleh pramugari untuk menstabilkan keseimbangan badan. Risau kalau-kalau gadis itu jatuh tergolek pula lagi memalukan dibuatnya nanti.

Rakan pramugari itu datang mendekati mereka dan menghulurkan tisu kepada lelaki tersebut.

"Eh! Adam?" Puan Isma melirik ke arah jejak bernama Khairul Adam itu yang cuba mengambil tisu dari tangan pramugari untuk mengelap wajah.

Senyuman manis terukir lagi di bibir Adam sambil mengelap wajah yang terkena sisa muntahan Imna.

"Aku minta maaf, aku... wekk...." Tekak Imna berasa loya ketika dia cuba bersuara.

"Saya bawa cik ke tandas, ya?" Pramugari yang sedang memapah Imna itu bersuara. Tanpa mampu untuk menjawab, Imna segera mengangguk lantas tubuhnya dipapah perlahan menuju ke tandas.

Puan Isma memandang ke arah Adam dengan wajah tidak percaya. Bagaimana kawan anaknya yang tinggal di Malaysia, kini ada bersama-sama dengan mereka di dalam pesawat itu. Senyuman Adam hanya dibalas dengan senyuman nipis sebelum bergerak mengekori Imna ke tandas. Setelah Puan Isma menghilang. Adam turut bangun dari tempat duduknya. Dia juga perlu membersihkan pakaian yang kotor akibat terkena sisa muntah Imna tadi.

Bunyi Imna memuntahkan segala isi perut sekali lagi kedengaran jelas di pendengaran telinga Adam yang berada di tandas berhadapan dengan Imna.

"Itulah, mama dah cakap bangun awal. Boleh kita sarapan dulu. Ini tidak, degil! Bila makan mengejut macam ni mulalah meragam segala anak tekak tu." Bebelan Puan Isma langsung tidak memberi ketenangan kepada Imna supaya tidak muntah, malah lebih membuatkan anak gadisnya muntah lebih banyak sisa perut.

Adam pula hanya memasang telinga mendengar seorang ibu sedang memarahi anaknya. Dia tidak pernah tahu tentang kehidupan peribadi Imna. Hal itu kerana Imna terlalu berahsia dengan rakan-rakannya yang lain tentang kehidupan dia selain berada di sekolah. Jarang kawan-kawan mereka mendengar gadis itu berbicara tentang ibu atau ayahnya. Jika ada yang menanya, paling kurang senyuman saja yang dipamerkan.

"Imna okey ma, Imna okey. Mama pergilah duduk dulu." Imna cuba meminta secara baik. Tidak suka mendengar Puan Isma membebel, bukan dia pinta untuk berasa loya dan muntah ketika itu.

"Yalah, cik tolong tengok anak saya. Takut melarat pula, susah jadinya." Usai berkata, Puan Isma berlalu pergi tanpa mengendahkan Adam yang mencuri-curi pandang ke arahnya sambil membersihkan pakaian.

"Cik nak ubat? Minyak angin?" soal pramugari yang setia berdiri di sisi Imna.

"Boleh juga...."

"Sekejap ya." Pramugari itu bergegas meninggalkan Imna yang sedang berkumur untuk mengambil ubat di bahagian kabin krew.

Nafas Imna yang tercungap-cungap kepenatan tersangat jelas menyapa Adam. Saat itu, Adam cuba menoleh dan dia terkejut melihat di bahagian belakang baju blouse labuh gadis itu terdapat tompokkan berwarna merah. Terbuntang seketika mata Adam sebelum dia bergegas menutup pili air lalu merenjis tangan ke singki beberapa kali. Setelah itu dia mengapai tisu dan mengelap tangannya.

Marry You | TerbitWhere stories live. Discover now