Bukk! Sebiji penumbuk hinggap di pipi kanan Qowiy. Urat-urat darah Badrul kelihatan timbul di sekitar kulit mukanya yang cerah.

"Jangan cakap oranglah Qowiy! Aku rasa kau sendiri lupa nak cermin diri sendiri. Selama ni aku tahan je dengan perangai kau. Tapi bila kau sentuh pasal adik aku, kau buruk-burukkan dia, kau memang dah melampau. Siapa kau nak cakap macam tu? Kau Tuhan ke yang tentukan dia masuk syurga atau neraka? Aku tanya, kau Tuhan ke?" tengking Badrul. Tahap kesabarannya sudah mencapai had.

Tepi bibir yang basah dikesat kasar dengan sebelah tangan. Rasa hanyir darah bercampur dalam air liur. Sejenak pandangan matanya kembali menikam terhadap Badrul.

"Aku tahu aku jahat. Tapi sejahat-jahat aku, aku tak buta lagi dengan kepalsuan dan kepuraan orang lain. Jangan terlalu percayakan apa yang tersebar sedangkan kau sendiri tak tahu apa yang benar," sangkal Qowiy.

Enggan berlama-lama lagi, Qowiy bingkas bangkit meninggalkan Badrul sendirian di tepi padang. Bahagian tepi bibir yang pecah dek penangan rakan sendiri ditekup dengan tangan. Pasti Iffat sedang bersorak gembira sekarang. Dia pasti itu.

𖣔𖣔𖣔

Melihatkan Qowiy yang baru saja melangkah turun dari padang, Aisy pantas mendekat. Nama penuh Qowiy diseru. Sekelip mata Aisy sudah berdiri tegak di hadapan Qowiy, menahan pelajar itu daripada terus berjalan.

Keluhan terlepas daripada mulut Qowiy. Aduh, datang pula minah kepoh ini! Malang betullah nasibnya. Selepas satu, satu!

"Kau nak apa hah? Tepi sikit boleh tak?" Penuh hati-hati dia mengungkap kata. Bukannya apa, setiap kali mulutnya bergerak pasti sakitnya mencucuk pedih. Berdenyut-denyut pula itu.

"Kau orang bertumbuk eh tadi?" Aisy serkap jarang. Keningnya dinaikkan tanda dia menginginkan jawapan.

"Pembetulan, Bad yang tumbuk aku," terang Qowiy tanpa berselindung.

"Mesti sebab kau yang mulakan dulu." Sekali lagi, tekaan gadis bertudung labuh itu benar belaka.

Aisy menggeleng kesal. Qowiy... Qowiy. Sejak dari dulu hinggalah sekarang. Tak sah kalau tak cari pasal. Sempat dia merungut dengan sikap rakan lamanya itu.

Sebotol minyak gamat dikeluarkan dari celah poket baju birunya lantas disua ke arah Qowiy. Remaja lelaki itu dihujani tanda soal.

"Kau curi dari mana pula ni?"

Aisy mendengus kuat. Mulut Qowiy ini nak dikata kurang ajar, tak sesuai. Nak dikata kurang insurans pula mustahil. Mungkin paling wajar dikatakan mulut loji. Segala kata-kata yang keluar daripada mulutnya semua perkara-perkara yang buruk dan kotor.

"Tak curi, aku terjumpa dekat atas meja kantin tadi. Aku cuma nak bagi kau, minta tolong pulangkan dekat Faiq. Sebab dekat botol ni ada tulis hak milik dia. Siap mention suruh pulangkan lagi kalau terjumpa," jelas Aisy.

Apa, ingat dia baik sangat ke nak hadiahkan minyak gamat untuk Qowiy? Kalau Badrul yang berada di depannya saat ini, mungkin perkara itu boleh dipertimbangkan.

Lambat-lambat Qowiy menyambut huluran botol tersebut.

"Yalah, nanti aku bagi dekat Faiq." Barang tersebut dimasukkan ke dalam poket seluar track-suit yang tersarung.

"Jadi, sila bergerak ke tepi boleh tak? Aku nak balik." Mendatar suara itu memberi arahan berbaur perintah. Dia betul-betul tiada mood saat ini. Namun Aisy masih teguh berdiri di hadapannya, malah sedikitpun tak berganjak.

"Owen, aku tahu yang aku tak layak nak bagi ceramah dekat kau sebab aku pun sekarang tak adalah baik mana..."

"Then tak payah ceramahkan aku. Aku tak nak dengar pun," celah Qowiy tanpa perasaan. Dia hanya nak balik ke rumah sekarang. Tolonglah!

Walaupun sedikit terkesan dengan kata-kata Qowiy tadi namun perkara tersebut langsung tidak mampu melumpuhkan niat Aisy daripada meneruskan bicara.

"Bila kau rasa diri kau tak boleh ditegur itu namanya ego. Bila kau rasa diri dah cukup baik dan memandang rendah terhadap orang lain itu namanya takbur."

Sebaik bicaranya mencapai titik hujung, Aisy pantas berganjak ke tepi memberi laluan buat Qowiy. Dalam hati, dia mengharapkan semoga untaian katanya tadi dapat mencelikkan rakannya itu supaya segera bangkit daripada kesilapan.

Wajah Aisy direnung tajam tak puas hati. "Huh, kau tengah perli aku ke?"

"Belajar lapangkan dada untuk terima teguran, Qowiy. Dalam hidup ini tak wujud manusia yang sempurna. Masing-masing ada dosa dan noda. Cuma yang membezakan kita, sama ada pilih untuk pertahankan dosa, atau kejar syurga."

❥︎❥︎❥︎

Done bab 5 ✨

Hope you guys enjoy and get something precious yeaa 😉

Hmm... makin banyak pula benda yang tak terjawab kan? 🤔😌

So, stay tune readers 😍😆

BAD[AR]Where stories live. Discover now