Ini kisah tentang Safira, seorang gadis kampung yang ingin menangi sayembara mereka cipta baju kebal yang dianjurkan oleh istana. Pulangnya dari pekan, dia tergesa-gesa menemui kawan baiknya yang juga merangkap jirannya, Damiras yang sedang bertugas mengawal gerbang kampung. "Sayembara mencipta baju kebal?" "Benar! Lihatlah, ini anjuran istana dan sesiapa sahaja dapat menyertainya!" kata Safira dengan teruja. "Bukankah ini suatu kebetulan, Damiras? Aku telah lama berimpian mencipta baju kebal!" Damiras hanya diam memerhatikam kesungguhan Safira berceloteh dengan teruja. Dia menanti Safira habis bercakap, barulah dia membalas, "Beruntunglah engkau. Bukankah engkau sudah lama mencari cara untuk menyiapkan baju kebal itu? Bagai mengantuk disorongkan bantal. Sekarang, engkau ada peluang untuk merealisasikan cita-citamu." Bersinar-sinar mata Safira. "Adakah kau rasa aku boleh mengikuti pertandingan ini?" "Engkau yang beria-ria, mengapa bertanya kepadaku?" Damiras mengangkat bahu. "Apa salahnya mencuba?" "Baik! Aku akan mencuba! Kau akan menolongku, kan?" Safira menggenggam tangannya kejap lalu menoleh pada Damiras. "Tentu sahaja. Tapi, kau harus berikan aku satu baju kebal ciptaanmu." "Aku akan menjadikan kau kebal, sehingga tidak tertembus peluru istinggar atau terakul sekalipun!" "Baiklah, aku akan menunggu."
8 parts