KAU SELALU ADA

By karyaseni2u

42.7K 1K 33

Tajuk: Kau Selalu Ada Penulis: Dilla Ahmad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-57-0 Harga: RM23.00 (Seme... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 12

2.2K 48 0
By karyaseni2u

Pergi saja encik suami ke tempat kerja pada pagi berikutnya, Iman memulakan operasi mengemas rumah Encik Ammar itu. Besar memang besar. Cantik pun cantik. Tapi itulah. Susun atur perkakas rumah yang mewah itu nampak tunggang-langgang. Bantal kusyen bentuk segi empat sama itu sudah tercampak ke bawah meja kopi. Ini mesti balik kerja, mandi, terus tidur!

Iman mengemas bilik Ammar terlebih dulu. Semalam nak kemas pakaiannya, dia rasa penat sangat. Jadi Ammar suruh dia berehat saja. Pagi ini dah ada tenaga semula bolehlah dia mengemas rumah encik suami yang sudah macam sarang tikus itu. Selama ni siapa yang kemaskan rumah Ammar ni ya?

Katil bersaiz King itu ditukar cadar dan sarung bantal. Kemudian dicampak ke tepi. Kemudian almari baju Ammar dibuka dan mulutnya terhela. Baju-baju sudah tunggang-langgang. Ini mesti kes main tarik aje baju apa nak pakai. Segera tangan memunggah baju-baju T Ammar dan mula melipat satu per satu. Kemudian disusun rapi. Cadar dan sarung bantal bersih diganti. Baru nak melangkah ke bilik air, telefon bimbitnya berbunyi di atas meja kecil tepi katil.

Iman mencapai telefon bimbit dan melihat ada mesej masuk. Dahi berkerut sedikit bila melihat mesej daripada Ammar.

Ada tak saya ucapkan terima kasih pada awak, Iman Suffiyah? Kalau tak lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada awak yang sudi menjadi peneman saya di kala saya sunyi. Teman berbicara di kala saya perlukan pendengar yang setia. Terima kasih kerana sudi menjadi pendamping abadi kepada Ammar Hafiz ini. Saya sangat gembira sekarang kerana sudah punya sebab untuk rasa menyayangi seseorang... Terima kasih sekali lagi, Iman Suffiyah.

P/S: Sorry, rumah saya berselerak ketika menyambut kehadiran awak. Tapi, apa gunanya isteri kan, Iman sayang? - AH

Iman tersenyum sendiri ketika membaca bait-bait ayat daripada mesej Ammar itu. Iman sayang? Tangan mula menekan-nekan aksara untuk membalas mesej dari encik suami.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Ammar sebab memberi peluang kepada saya untuk menjadi isteri awak. Saya tak sempurna malah banyak kekurangannya. Ya, saya juga sangat gembira sebab awak sudah menghadiahkan rumah yang berselerak ini kepada saya. Tapi tak apa. Mengemas rumah memang saya pakar...Memasak itu ajelah yang saya lemah.

P/S: Lagi sekali nak kata. Saya bukan bibik! - IS

Send!

Ammar sudah ketawa berdekah-dekah di dalam bilik pejabat bila membaca mesej daripada Iman. Ceria sungguh harinya sejak dah ada Iman Suffiyah ni. Thoriq yang berada di hadapannya pun, dia buat tak peduli. Tangan sibuk main mesej dengan Iman.

"Aku boleh nampak bahagia di wajah kau, Ammar." Ucapan Thoriq itu buat mata Ammar memandangnya.

Bibir sudah tersenyum lembut bila minda teringatkan wajah Iman Suffiyahnya. Nampak comel tapi bibir itu susah nak tersenyum. Ah, memang dah parah hati dia ni. Dengan Shila dulu pun tak macam ini. Perasaannya kali ini memang lain sangat. Cintakah itu?

"Kalau inilah yang dikatakan kebahagiaan, aku tidak mahu melepaskannya, Thoriq. Dia betul-betul dah tikam hati aku ni dengan mata bulat dia tu." Ammar menghela nafas sambil tersenyum lagi.

"Ajaklah dia pergi honeymoon, bro!" Thoriq bagi idea pula. Kalau Ammar bahagia, dia pun rasa happy juga sebab kawannya ini sudah berjumpa dengan soulmatenya.

"Memang aku ada buat cadangan macam tu. Tapi, kau tengoklah sekarang ni. Sana sini projek. Tunggulah dulu. Iman pun tak kesah."

Telefon bimbit diletakkan ke tepi dan mula menyambung kerjanya.

"Aku datang sini nak ajak kau makan kat bawah. Aku tak sarapan lagi ni. Kau pun tahu aku bukan suka makan sorang-sorang ni," rungut Thoriq. Ammar mengangkat muka.

"Kahwinlah, bro. Dah ada peneman nanti taklah makan sorang-sorang. Nak buat apa pun berdua. Kau pun tak akan rasa sunyi, macam aku ni." Ammar sudah tunjuk diri sendiri sebagai contoh.

"Yalah. Aku pun nak suruh abah aku carikan bakal menantu. Suka atau tidak, belakang kira. Cinta dan kasih sayang boleh dipupuk. Betul tak, bro?" Thoriq pula menyengih memandang Ammar.

"Betul tu, bro!" Mereka kemudian ketawa penuh makna.

Iman mencuci bilik air walaupun masih nampak bersih lagi. Kata Ammar, yang lain dia tak kesah. Tapi bilik air paling penting untuk dibersihkan setiap hari. Siap mencuci bilik air, baju-baju kotor dia dan baju kotor Ammar dimasukkan ke dalam mesin basuh. Cara-cara kegunaannya dibaca terlebih dulu.

Okay, done!

Ruang tamu pula dibersihkan dan susun atur perkakas di ruang tamu itu diubah sedikit. Surat-surat khabar yang entah bila tarikhnya dilipat untuk diletakkan di dalam stor. Malas nak belek dan selak cerita-cerita di dalamnya. Takut terbengkalai pula kerjanya nanti.

Selesai saja menyapu dan mengemop, Iman terduduk di atas kusyen empuk itu. Kepenatan. Muka yang berpeluh dilap dengan tuala kecil. Kepala disandarkan sambil melepas lelah. Alat kawalan jauh TV dicapai dan menekan saluran Astro. Satu demi satu saluran ditukar. Kemudian mata menonton HBO saja. Layan sekejap cerita entah apa hingga tanpa sedar dia terlelap di atas kusyen itu.

Ammar berdiri menghadap Iman yang sudah terlentok di atas kusyen. Matanya menoleh ke TV yang terpasang. Alat kawalan jauh TV perlahan diambil di tangan Iman dan terus menutup TV. Kemudian perlahan juga dia melabuhkan punggungnya di atas kusyen dan menghadap Iman. Mata meneliti ruang tamu itu. Sudah nampak bersih dan kemas. Mesti Iman kepenatan sebab mengemaskan rumah ini.

Selalunya dia akan mengupah seorang pembantu rumah sambilan untuk mengemas kondonya ini. Tapi bila dia mendapati barangnya seperti jam tangan dan telefon bimbitnya asyik hilang saja, dia sudah tak percaya nak bagi orang luar masuk ke dalam kondonya ini.

Rambut Iman yang terurai di dahi diselak perlahan. Pipi itu kemudian diusap lembut. Nak kejutkan pun dia tidak betah. Isterinya nampak lena sangat. Tapi sudah masuk waktu tengah hari dan dia sudah pun membeli lauk-pauk di kedai dekat ofis bawa balik ke rumah.

Dia nak makan bersama Iman. Lalu bahu itu disentuh dan digerakkan perlahan.

"Iman... Sayang..."

Mata Iman terbuka perlahan dan merenungnya seketika. Kemudian bagai tersedar yang dia tertidur di atas kusyen, cik isteri kalut bangun duduk dan meraup muka.

"Ya Allah, saya tertidur rupa-rupanya," kata Iman, membetulkan rambutnya yang berselerak itu. Ammar sudah tersenyum.

"Penat ya mengemas rumah tadi?" tanya Ammar sambil tangan mengelus rambut Iman. Iman tidak menyahut. Bibir itu hanya tersenyum kecil saja.

"Encik Ammar baru balik ke?" tanya Iman sambil menutup mulut, menguap. Ammar sudah tersandar dan berpeluk tubuh. Mata memandang Iman tepat-tepat.

"You know what? From now on there'll be no more Encik Ammar, Encik Ammar ni," katanya dengan muka serius. Iman panggung kepala. Otak masih kosong.

"Mulai sekarang, Iman akan panggil abang ni, abang. Abang akan panggil Iman, sayang. Baru rasa seronok sikit. Taklah abang rasa macam abang ni bos atau macam orang asing bila sayang panggil abang ni encik. Panggilan Iman pun kadang-kadang aje abang guna. Piyah lagi out!"

Piyah? Memang taklah dia nak menyahut kalau Ammar panggil dia dengan nama macam tu. Nama dia cantik apa. Iman Suffiyah.

Tapi Iman mengangguk juga. Bersetuju sajalah dengan arahan encik suami. Orang lain pun panggil suami atau isteri sayang dan abang. Layankan ajelah, Iman.

"Bukan encik suka ke kalau saya panggil encik? Encik pun macam bos saya juga," balas Iman kemudian. Ammar sudah terlopong. Bila pula dia suka?

"Saya bos kekal awak, Iman. Menolong suami ni juga satu amal jariah, sayang. Senang kan nak dapat pahala? Sayang tolong abang, bahagiakan hidup suami sayang ni, sayang dah boleh masuk syurga. Insya-Allah," ucap Ammar penuh perasaan. Kemudian dia bangun berdiri dan menghulurkan tangan pada Iman. Iman sudah mendongak pandang dia.

"Kan semalam abang cakap nak beli barang dapur," jelas Ammar mengingatkan. Iman sudah tepuk dahi. Terlupa!

"Hari ni abang nak sayang masakkan asam pedas ikan pari. Abang suka makan lauk asam pedas. Sayang masak untuk makan malam kita nanti, ya?" kata Ammar sambil memimpin Iman ke meja makan.

"Kita makan dulu. Lepas tu baru keluar cari barang."

"Tapi Encik Ammar, saya tak tahu masak asam pedas," balas Iman dengan muka serba tak kena.

"Kalau tak sedap macam mana?" tanya Iman pula dengan muka minta simpati.

"Tak apa, sayang." Ammar sudah tersenyum.

"Tak tahu, belajar. Nanti sayang tanya emak atau mama macam mana nak masak asam pedas tu, ya?" Ammar sudah kenyit mata kat Iman. Bibir sudah senyum menyenget. Nak ketawa pun ada. Tapi ditahankan saja.

Iman sudah serabut. Dia mana tahu masak lauk lain selain telur masak kicap! Iman sudah garu kepala yang tak gatal. Mata menjeling Ammar yang tunduk saja menyuap nasi. Ah, cuba ajelah, Iman. Sampai bila asyik cakap tak tahu masak? Itulah, masa emak ajak masuk dapur ada aje alasan kau nak mengelak. Sekarang, rasakanlah!

Ammar melangkah di sebelahnya sambil menolak troli. Sudah ada beberapa keperluan harian yang mereka inginkan di dalam troli barang itu. Barang basah seperti ayam, sotong dan udang sudah ada. Cuma nak cari ikan pari saja. Beberapa barang kering juga turut dibeli.

Nak masak asam pedas mestilah ada cili kering, bawang merah, bawang putih dan serai, kan? Iman sudah berfikir. Dia pernah nampak emak menyediakan bahan-bahan itu. Dia memandang Ammar yang sedang membelek barang dalam plastik. Kata Ammar, memandangkan kini dia sudah punya teman hidup kat rumah, kenalah juga dia beli keperluan yang lain.

Selesai saja berbelanja, mereka pulang ke kondo semula. Semua bahan-bahan yang dibeli, Ammar tolong susun dalam peti ais. Nasib baik dapat suami yang ringan tulang. Cuma, nak tolong masak Ammar tak reti! Lebih kurang macam dia juga. Tapi Ammar tu okeylah sebab lelaki. Tapi dia perempuan. Memalukan sungguh kalau tak tahu memasak!

Habis mengemas barang-barang tersebut, Ammar meninggalkan Iman sorang-sorang dekat dapur. Iman meletakkan ikan pari yang sudah siap disiang ke dalam bekas. Lama dia merenung kepingan-kepingan ikan pari itu. Nak buat apa dulu?

Continue Reading

You'll Also Like

Rooftop Rant By hlovate

General Fiction

149K 9.1K 71
TRIGGER WARNING -substance abuse - suicide attempt - mental health Be kind. To you yourself and others. (published February 2009, ISBN : 978-967-511...
76.6K 2.9K 36
First story from sweethearttinašŸŒ¹ Kisah sepasang sepupu yang disatukan tanpa kerelaan masing-masing hanya disebabkan satu peristiwa yang tidak diingi...
901K 26.1K 15
PENULIS: ANJELL TAJUK: DR. ALPHA MALE HARGA : RM27 (SM)/RM30(SS) Alpha Male. Kata kunci seorang alpha male adalah keyakinan! Yakin dengan rupanya. Ya...
2.2M 85.5K 72
Highest; # Wattpad Picks : Senarai Cerita Istimewa (2018) #1 in General Fiction (Nov 2017)(Jan 2019) #2 in Romance (Okt 2017) ā… SilauunPurii 1st Gene...