Sungguh, Saya Cintakan Awak

By karyaseni2u

80.2K 1.7K 185

Tajuk : Sungguh, Saya Cintakan Awak! Penulis : Shaista Haziq Penerbit : Penulisan2u ISBN : 978-967-0567-95-2 ... More

Bab 1
Bab 2
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 3

5.6K 129 0
By karyaseni2u

PAGI itu sesudah sembahyang subuh aku bergegas turun ke dapur. Arissa yang masih lagi nyenyak dibuai mimpi aku biarkan saja kerana aku tahu dia 'bercuti' jadi aku tak perlu mengejutkannya untuk sembahyang. Nasib baik juga sebab kalau tidak, mahu runtuh rumah mak su dan pak su agaknya dengan jeritan dan amukanku sebab Arissa sangatlah sukar dikejut daripada tidur. Jenis spesies yang tidur mati.

Lagi pula, duduk kat rumah orang takkan nak buat malas macam kat rumah sendiri. Sudahlah anak dara. Nanti tak ada yang masuk meminang baru tahu. Bukanlah aku gatal sangat nak kahwin. Tapi kahwin itu kan best. Orang katalah. Bukan aku kata. Hehe...

Oleh itu, kenalah rajin turun ke dapur dan menunjukkan segala skill memasak yang aku ada.

Sewaktu aku turun ke dapur suasana masih sunyi. Mungkin yang lain belum bangun memandangkan semalam semua orang tidur lambat kerana begitu asyik berbual. Semasa aku meminta diri untuk tidur, Arissa, mak su, pak su dan sepupu Arissa masih lagi berbual-bual.

Suis lampu dapur aku petik. Meliar mataku memerhati keadaan sekeliling. Erm... Nak masak apa, ya? Kepala yang tak gatal aku garu. Aku bukannya pakar sangat memasak. Setakat masak biasa-biasa tu bolehlah.

Peti sejuk aku buka. Kulihat ada ayam, udang, cili kering yang dah siap diblender. Aku selongkar bahagian sayur pula. Aku lihat ada bayam, sawi, timun. Tiba-tiba aku tahu apa yang aku nak masak. Semestinya makanan kegemaran aku. Yesss!

Sepantas kilat aku mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan dari dalam peti sejuk dan meletakkan di atas kaunter dapur.

Setelah itu aku cari pula bawang dan bahan-bahan lain. Memandangkan aku pernah datang ke rumah Arissa, maka tidak susah mencari kerana aku sudah biasa. Lagi pula kedudukannya masih agak sama seperti sebelum ini, jadi tak terlalu sukar untuk aku mencari.

Sejam selepas itu, nasi lemak berlaukkan ayam goreng dan sambal udang siap tersedia. Bau sambal tumis udang kegemaranku itu membuatkan perut aku berkeroncong hebat. Ah, laparnya...

Aku menjenguk ke arah ruang tamu. Melihat jika mak su atau pak su sudah bangun. Jika sudah, bolehlah aku mengajak mereka makan. Tapi ternyata hampa kerana tiada sesiapa pun yang muncul di dapur ini. Perut aku pula semakin menjadi-jadi laparnya. Kalau tadi memainkan irama Malaysia sekarang dah upgrade ke rock metal. Sabar Adra, buruk benar kalau tetamu makan dulu...

Aku segera menghidangkan sarapan di atas meja. Menyusun pinggan dan sudu. Apabila selesai aku menarik nafas lega. Aku baru hendak melangkah keluar dapur apabila terpandang pinggan di dalam singki yang belum berbasuh.

Segera aku menuju ke singki. Sedang asyik membasuh pinggan, tiba-tiba terdengar suara mak su menjerit di belakangku. Aku panik sekejap. Nasib baik tak terlepas pinggan di tangan. Spontan aku menoleh memandang mak su. Berkerut dahiku melihat riak terkejut di wajahnya.

"Kenapa, mak su?" Tiada jawapan daripadanya. Dia terdiam. Matanya terpaku pada meja makan.

Aku jadi benar-benar panik. Pantas aku tinggalkan pinggan dan cepat-cepat membasuh tangan sebelum aku bergegas mendekati mak su. Aku pegang bahunya kuat.

"Kenapa, mak su? Mak su sakit ke?" soalku cemas.

Mak su merenung aku.

"Adra ke yang masak semua ni?"

Erk... Apa ke lain benar jawapannya dengan soalan aku?

Mak su pandang aku tepat.

"Adra ke yang masak ni?" Dia mengulang tanya.

Aku mengangguk.

"Kenapa?" ajuku hairan.

"Ya Allah, Adra... Kenapalah susah-susah masak ni? Adra kan tetamu. Buat susah aje."

"Yang mak su menjerit tadi tu kenapa?"

Kelihatan mak su berfikir sejenak.

"Oh, yang menjerit tadi tu sebab nampak makanan inilah," jawabnya bersahaja. Hah? Ya Allah... Ya Rabbi...

"Pasal tu aje mak su menjerit? Apalah mak su ni. Ra ingat mak su sakit ke apa ke." Aku menarik nafas lega. Bikin saspens aje mak su ni...

Mak su tertawa kecil.

"Sorry. Mak su terkejut tadi."

Aku tersenyum mendengar kata-kata mak su.

"Mak su, jom makan. Dah lapar ni," ajakku.

Dia tersenyum malu kepadaku.

"Maaf Ra, mak su terbangun lambat. Malam tadi asyik sangat sembang dengan Ajmal sampai tak sedar dah lewat pagi rupa-rupanya. Itu yang bangun lewat ni."

"Tak apa, Ra tak kesah."

"Kesian Ra lapar. Dahlah masak sendiri pula tu."

"Alah mak su ni. Bukan Ra tak biasa masak kat sini."

Mak su tersenyum manis kepadaku.

"Adra ni serupa benar dengan arwah mama. Cantik, baik, rajin."

Malu aku mendengar pujian daripada mak su.

"Alah, mak su ni buat Ra malu aje."

Mak su tertawa senang.

"Jom kita makan," ujarnya sambil menarik tangan aku ke meja makan.

Belum sempat aku duduk dia bersuara.

"Adra duduk dulu. Mak su nak naik panggil pak su. Ary pun belum bangun, ya?"

Aku menggelengkan kepala.

"Okey. Kejap mak su kejutkan Ary."

"Tak apalah, mak su. Biar Ra kejutkan Ary."

"Eh, tak apa. Ra makan dulu. Biar mak su kejutkan."

"Kita makan sama-samalah, mak su. Mak su panggilkan pak su dan biar Ra kejutkan Ary," ujarku.

"Tapi Ra kan dah lapar."

Aku senyum sambil mengusap perutku.

"Boleh tahan lagi."

Mak su tersenyum sambil kepalanya tergeleng-geleng melihat telatahku. Dengan itu aku segera menuju ke tangga.

"Yalah... Pergi kejutkan Ary cepat. Dia tu susah bangun." Terdengar laungan mak su di telingaku.

"Tak apa, mak su. Adra tahu macam mana nak bagi dia senang bangun," laungku kembali kepada mak su sambil menaiki tangga. Sempat aku melihat gelengan mak su kepadaku.

Cepat-cepat aku menaiki tangga dan saat pintu bilik Arissa aku buka, aku lihat dia masih lagi terbongkang tidur sama seperti waktu aku tinggalkan dia tadi. Isy, tak reti bangun awal betullah anak dara ni...

"Ary, bangun," kejutku sambil menyentuh lembut bahunya.

"Ary, bangunnn..." Suara aku kuatkan lagi dan bahunya kugoncang kuat.

Terdengar dia mendengus kecil.

"Kau ni kacaulah," rungutnya.

"Weh, bangunlah... Aku lapar ni. Apalah kau ni biar tetamu tak makan," sakatku sambil menarik-narik bajunya.

Dia mengambil bantal lalu menekup mukanya.

"Kau tu bukan tetamu. Dah selalu sangat datang rumah aku," gerutunya di bawah bantal. Walaupun begitu aku tetap dapat mendengar dengan jelas.

"Aku laparlah," kataku sambil menarik bantal di atas mukanya dan melempar bantal tersebut jauh darinya.

Dia memandang aku dengan geram. Aku tersenyum melihatnya.

"Ary, bangunlah." Aku masih mencuba lagi.

"Eee, kau ni bisinglah. Kau pergilah dapur tu cari apa-apa yang boleh makan. Tak pun kau keluar ke kedai kat seberang jalan tu. Kat situ ada jual nasi lemak, roti canai, kuih-muih," tukasnya selamba.

"Ada ke patut kau suruh aku pergi beli makanan sendiri?"

"Alah, kau ni macam tak biasa aje. Kau pergilah cari makan sendiri. Aku mengantuk ni. Kau tau tak malam tadi aku tidur pukul..."

Malas mendengar dia membebel, aku capai teddy bear di hujung kepala katil lalu aku campak ke mukanya.

"Weh!" jerit Arissa lalu spontan dia bangun. Aku ketawa geli hati melihat reaksinya.

"Bangunlah cepat. Jom makan. Aku masak nasi lemak sambal tumis udang tau..." umpanku kerana Arissa juga menggemari sambal tumis udang.

Matanya terbuka besar. Bercahaya.

"Wah, bestnya..." Seketika kemudian dia memandang pelik kepadaku.

"Ya ke kau masak?"

"Eh, yalah. Kau tidur berdengkur apa kau tau. Aku ni duk berhempas pulas kat dapur tu," sanggahku.

"Sedapnya, Ra. Sambal tumis kau memang best in town," pujinya sambil membuat lagak menjilat jari tangannya tanda kesedapan yang teramat.

Aku ketawa geli hati melihat aksinya itu.

"Hah, dah kalau tau sedap, jomlah makan. Aku dah lapar ni."

"Okey," jawabnya tapi kulihat dia masih lagi tidak berganjak dari katil.

"Weh, tunggu apa lagi? Cepatlah mandi."

Dia pandang aku sambil tersengih.

"Sambal udang kau memang sedap Ra, tapi..." Apa lagi minah ni?

Aku tayang muka malas pada Arissa.

"Tapi apa?"

"Tapi tidur lagi sedap." Selamba dia menjawab lalu kembali berbaring. Tensionnya aku!

"Kau ni nak kena baling lagi ni," ugut aku.

"Setakat baling teddy bear tu apalah sangat," jawabnya riak sambil dia tersengih-sengih memandang aku sekilas sebelum kembali menutup mata.

Aku melihat sekitar katil objek apa yang boleh aku baling kepada kawan baik aku itu. Mataku tertancap pada iPhone milik Arissa. Segera aku ambil.

"Tak mainlah baling teddy bear. Ni ada benda yang lagi spesial untuk aku baling."

"Balinglah. Tak hairan pun," balasnya bersahaja. Matanya langsung tak terbuka untuk melihat objek di tanganku ini.

"Betul nak aku baling? Kau tak nak tengok ke apa benda ni?" umpanku.

"Tak kuasa." Arissa berterusan dengan keriakkannya.

"Sure? Benda ni empat segi, warna hitam..."

Berkerut dahinya mendengar kata-kataku. Cuba meneka agaknya apakah barang tersebut tapi matanya masih tertutup. Aku menekup mulut menahan ketawa melihat reaksi wajahnya.

"Kalau aku baling ni, aku tak baling kat kepala kau, tapi aku akan baling kat dinding. Confirm pecah berderai ni. Sayang-sayang..."

Spontan dia membuka mata. Saat melihat iPhone kesayangannya di tanganku, sepantas kilat dia bangun.

"Weh, harta aku tu. Suka hati kau aje nak baling," sungutnya.

"Dah tu liat sangat nak bangun."

"Bagi sini handphone aku," tukasnya sambil menghulurkan tangannya.

"Mandi dulu."

"Weh..."

"Apa weh-weh? Pergi mandi cepat. Kalau tak aku baling betul-betul karang," acahku sambil membuat gaya hendak membaling.

Dia menjelingku geram.

"Isy, tak ada cara yang lebih sopan sikit ke nak kejut orang bangun?" bebelnya sambil laju saja dia turun dari katil, mencapai tuala dan menghilang di sebalik pintu bilik air.

Tapi itu pun aku masih juga dapat mendengar dia membebel lagi di sebalik pintu. Aku ketawa geli hati. Entah berapa bakul dah agaknya bebelan Ary untuk aku. Ary... Ary... Sayang sangat telefon bimbitnya...

Dengan berhati-hati aku meletakkan telefon bimbit Arissa di atas dressing table. Kalau jatuh telefon bimbit ni atau bercalar, habislah aku dikerjakan oleh Arissa.

Aku mengemas katil dan membelek mukaku di cermin sepintas lalu sebelum aku keluar ke ruang rehat yang ada di tingkat atas ini. Ruang rehat yang bertentangan dengan bilik Arissa ini mempunyai sofa penjuru, televisyen dan meja tulis serta alatan bersenam, yang sememangnya merupakan favourite spot aku dan Arissa.

Aku mengambil surat khabar yang bertarikh dua hari lepas lalu duduk di atas sofa lalu menyelak helaian demi helaian. Saat membaca pelbagai berita, aku berasakan betapa aku begitu ketinggalan. Seperti katak di bawah tempurung. Silap hari bulan katak di bawah tempurung pun lagi advance daripada aku. Biasalah apabila kita sedang dalam era belajar, the only thing yang kita baca adalah buku. Sungguh jarang aku dapat membaca surat khabar atau majalah.

"Ehem..."

Aku mengangkat muka saat mendengar seseorang berdehem. Terpanar aku seketika apabila terpandang Ajmal di hadapanku. Dia yang berbaju T lengan pendek berwarna biru dengan berseluar khaki berwarna coklat paras lutut, kelihatan begitu santai sekali. Bersandar dengan penuh bersahaja di dinding dengan kedua-dua belah tangan disilangkan di dada, sambil matanya merenungku tepat.

Bertentang mata dengannya walaupun cuma beberapa saat sudah mampu membuatkan aku jadi hilang arah. Renungannya yang redup tapi tajam membuatkan jantung aku berdegup kencang.

Aku melarikan wajah apabila sudah tidak tahan dengan panahan matanya. Aku tunduk memandang surat khabar dan berpura-pura membaca. Pura-pura yang kehadirannya tidak menggugat perasaanku.

Mataku tertancap pada berita tentang kejadian ragut. Aku cuba fokus pada berita tersebut. Aku baca berita itu kuat-kuat dalam hati.

Seorang wanita yang diragut di hadapan sebuah bank di Cheras pagi semalam tidak menyangka bahawa beg tangannya telah berjaya diselamatkan oleh dua orang lelaki yang kebetulan berada berdekatan dengan wanita itu. Dua orang lelaki tersebut mengejar dan menendang motosikal peragut. Kedua-dua peragut yang jatuh segera melarikan diri. Dua lelaki itu yang bernama Encik Mohd Hamzah bin Razali dan rakannya, Encik Mohd Ajmal bin...

Hah? Eh, bukan-bukan.

"Encik Mohd Ajmal bin..." Okey, fokus aku sudah hilang. Kenapa aku tersebut nama mamat poyo tu pula?

Dari ekor mata aku lihat dia masih lagi berdiri di situ. Apa masalah dia ni? Apa dia nak tercongok kat situ sampai esok pagi ke?

Aku mengangkat muka dan memandangnya. Tapi matanya bukan pada mataku, sebaliknya melepasi wajahku. Dia... Dia kelihatan begitu ralit memandang rambutku yang hitam, lurus dan panjang separas pinggang itu yang aku biarkan lepas bebas. Aku berasa hairan. Sungguh dia begitu ralit memandang rambutku sehingga dia langsung tidak sedar aku sedang memerhatikannya.

Berkerut dahiku melihatnya. Apa yang dia ralit sangat melihat rambutku? Segera aku sikat sedikit rambutku dengan jari lalu aku tocangkan. Melihat pergerakan rambutku barulah dia seolah-olah tersedar. Matanya kembali memandang mataku.

Aku ingatkan dia akan berasa malu kerana telah tertangkap saat asyik menatap rambutku tetapi tidak. Wajahnya langsung tidak menunjukkan reaksi malu sebaliknya dia kelihatan marah. Wajahnya tegang dan senyumannya sinis. Sungguh aku tak faham dengan lelaki ini.

"Awak ni kenapa?" ajuku hairan.

"Kenapa apa?"

Dia menjawab pertanyaanku dengan pertanyaan juga, sambil menayang muka selamba kepadaku. Aku mengeluh.

"Kenapa awak pandang saya macam tu? Kenapa awak nampak marah?"

Aku terdengar dia mendengus kecil. Tangannya yang bersilang di dada tadi, dia masukkan ke dalam poket seluar.

"Kenapa awak tu degil sangat?"

Hah? Degil? Aku degil? Rasa marah terus menerjah ke dalam hatiku. Dia ni asal buka mulut aje mesti ayatnya menyakitkan hati aku.

"Awak ni tak boleh cakap elok-elok ke?" marahku.

Dia tersenyum. Dalam rasa marah, entah kenapa hatiku tercuit dengan senyumannya. Lelaki di depanku ini memang kacak. Aku bukan jenis yang cepat tertarik dengan lelaki tapi entah kenapa aku seakan-akan tertarik kepada Si Ajmal, mamat poyo yang apabila dia cakap saja ayatnya semua menyakitkan hati aku. Okey, Nur Adra Nayli, aku rasa otak kau ni dah tak betul... Sila ke hospital dan cek, okey! Arghhh!

"Buat apa cakap elok-elok dengan orang yang degil?" tukasnya selamba.

"Bila masa pula saya degil?" bidasku.

"Saya rasa dah banyak kali saya duk bagi pesanan penaja tentang aurat. Tapi sampai hari ni masih tak ada perubahan juga. So, tu bukan degil ke namanya?"

Oh, baru aku faham. Dia nak kompelin pasal aku yang tak bertudunglah ni.

"Suruh orang pakai tudung konon. Tapi awak tu tengok rambut saya sampai nak terkeluar biji mata, tak apa pula? Saya tak pakai tudung aje berdosa. Awak yang tengok saya macam tu tak berdosa ke?"

"Sebab tu saya suruh awak pakai tudung supaya saya tak perlu tengok," jawabnya.

Sakit hatiku mendengar jawapannya. Sentiasa ada saja jawapan bagi setiap kata-kata aku. Seolah-olah mulutnya itu dah diprogramkan untuk membidas semua bicara aku.

Aku cuba sabarkan hati. Bercakap dengan lawyer ni memang susah. Cakapnya putar belit.

"Kalau saya nak pakai tudung kerana Allah dan bukan sebab awak suruh, faham?"

"Oh, dah tu ni awak tak pakai tudung kerana apa? Kerana degil?"

Dia cuba mencabar kesabaran aku nampaknya. Nafas aku tarik dalam-dalam. Agar udara boleh sampai ke otak aku supaya aku dapat berfikir dengan waras.

"Dengan baju ketat sampai nampak lekuk-lekuk..." Selamba dia berkata sambil matanya terarah pada bahagian depan tubuhku. Langsung aku ternganga. Whattt!!!

Spontan aku tarik surat khabar menutupi tubuhku. Ajmal tersenyum sinis. Aku pandang dia dengan geram. Kecik besar, kecik besar aje aku nampak mamat ni depan mata aku.

"Awak ni kan..." Jari aku sudah menuding kepadanya.

"Apa masalah awak ni?"

"Saya?" Dia menghalakan jari pada dadanya sendiri.

"Saya tak ada masalah. Awak tu yang bermasalah."

"Saya pun tak ada masalah. Awak tu yang bermasalah." Aku melihat senyuman di wajah Ajmal. Oh, senyuman memikat itu lagi. Tolonglah jangan senyum...

"Awak tak ada ayat lain ke? Tiru ayat orang pula. Seriously, it was so unoriginal," sakatnya sambil tersenyum lagi.

Hatiku sudah berdebar lain macam. Apa tak kena dengan aku ni? Aku tunduk memandang lantai. Mataku pejam rapat-rapat. Tolonglah jangan senyum!

"Eee, malas nak layan awak," ujarku cuba menutup keresahan dalam hati. Makin dilayan makin dia meresahkan hati dan perasaan aku.

"Hah, orang yang malas memang bermasalah." Dia masih nak mengajak aku berlawan cakap dengannya.

Aku pandang Ajmal dengan geram.

"Kalau saya ada masalah pun biarlah. Apa awak peduli?"

Kulihat Ajmal menggelengkan kepalanya.

"Saya tak suka orang yang bermasalah ada di sekitar saya. Aura negatif."

Aku mencebik kepadanya.

"Itu bukan masalah saya."

Tak semena-mena Ajmal tertawa. Ini kali pertama aku mendengar dia benar-benar ketawa. Kalau tidak hanya ketawa sinis saja yang keluar dari bibirnya.

"Awak memang hebat menggunakan perkataan 'masalah' tu," tukasnya kepadaku. Berkerut dahiku mendengar kata-katanya. Aku tak pasti sama ada dia benar-benar memujiku atau apa.

"Lepas ni boleh tak awak..." Kata-katanya terhenti. Dia berdehem sekejap. Aku pandangnya dengan hairan. Menunggu dia menghabiskan ayatnya.

"Lepas ni boleh tak awak jangan pakai baju ketat dan tolong pakai tudung?"

Okey... That's it! Pantas aku berdiri. Surat khabar yang sedari tadi kupegang rapat ke dada sudah melurut jatuh ke kakiku. Dengan geram aku ambil dan aku lempar surat khabar itu ke atas sofa. Wajahku terasa panas akibat menahan marah. Tapi tindakanku hanya melebarkan lagi senyuman sinis di wajahnya.

"Awak jangan sibuk hal saya boleh tak?"

"Tak boleh. Sebab apa yang awak tayangkan tu mengganggu mata saya." Selamba dia menjawab. Wah, naik berdesing telinga aku mendengar jawapannya.

"Kalau ganggu, janganlah tengok," bidasku. Walaupun malu dengan kata-katanya, aku tak mahu kalah berlawan cakap dengannya.

"Eh, mana boleh tak tengok." Hah! Dasar lelaki gatal...

"Kenapa pula tak boleh? Bukan susah pun. Tutuplah mata. Tak pun pandang tempat lain," tingkahku geram.

"Tak boleh." Dia menjawab perlahan. Matanya merenungku tepat. Aku dapat menangkap perubahan wajahnya. Cuma sekejap hingga aku tak dapat mengagak apa.

"Kenapa tak boleh?!" soalku keras. Mencabarnya.

Dia kemudiannya berjalan mendekatiku. Melihat dia semakin dekat aku mula gelisah. Dadaku bergetar hebat. Tapi aku tak mampu berganjak sedikit pun. Hanya terpaku melihat dia. Dia berhenti betul-betul di hadapanku.

"Awak tahu kenapa saya tak boleh tak tengok?" soalnya perlahan.

Aku diam saja. Tak tahu nak berkata apa. Dia berada dekat denganku seolah-olah membuat aku seperti lumpuh seketika.

Dia mendekatkan wajahnya kepadaku. Spontan aku mengangkat tangan untuk menolak tubuhnya jauh. Tetapi pergerakan tanganku terhenti. Aku pandang wajahnya. Dia tersenyum kepadaku. Terasa lutut aku tak mampu menampung badanku lagi. Entah kenapa senyumannya memberi efek yang hebat kepadaku. Padahal bukan aku tak pernah berjumpa lelaki yang sekacak Ajmal. Yang lebih kacak daripada dia pun ada. Tapi...

Dia mendekatkan bibirnya ke telingaku.

"Saya tak boleh tak tengok sebab saya ni lelaki. Nafsu saya satu. Sebab tu saya nak awak tutup aurat. Tak adalah nafsu saya ni memberontak aje," bisiknya di telingaku. Begitu berterus-terang. Straight to the point terus. Langsung tak cover-cover. Terasa darah menyerbu ke mukaku. Terasa malu yang teramat. Kalau boleh diukur entah berapa inci tebal mukaku akibat menahan malu.

Aku mendengus geram.

"Awak ni waras ke tak, hah? Ke ada wayar yang putus ni? Dasar lelaki gatal."

"Ouch... That hurts..." Ajmal menayang wajah sedih yang palsu kepadaku. Dia berpura-pura terasa dengan kata-kataku. Siap geleng-geleng kepala lagi sehingga aku rasa geram yang teramat.

"Awak ni, kan..." Kata-kataku terhenti setakat itu. Sungguh aku tak tahu nak mengungkapkan kata yang bagaimana. Separuh daripadaku berasa marah, geram dan berbagai-bagai lagi perasaan kepadanya. Separuh lagi mengakui kebenaran kata-katanya.

Dia mengangkat kening kepadaku. Seolah-olah mencabar aku untuk membidas kata-katanya. Aku buka mulut untuk berkata tapi tak terkeluar suaraku.

Dia memandangku tepat. Kami bertentangan mata buat seketika sebelum mataku beralih melihat hidungnya, bibirnya, dagunya. Masya-Allah, dia ciptaan Allah yang sempurna di mataku. Tak pernah aku sebegini tertarik kepada seorang lelaki. Takkan baru beberapa hari jumpa aku dah jatuh... Erkkk...

Spontan aku menekup mulut. Ajmal yang melihat reaksiku tersenyum geli hati.

"Apa pasal tutup mulut? Awak ingat saya nak cium awak ke?" soalnya lucu.

Aku mengecilkan mata kepadanya.

"Mulut awak ni..."

"Ke awak tutup mulut sebab awak takut tercium saya?" soalnya lagi sambil menahan ketawa.

"Eee, awak ni..." Tak sempat aku bersuara apabila terdengar pintu bilik Arissa terbuka. Serentak aku dan Ajmal mengalih pandang ke arah bilik tersebut.

"Ra, aku dah siap. Jom..." Ternganga mulutnya melihat kami. Dia kelihatan terkejut. Aku dan Ajmal dipandangnya silih berganti. Aku membalas pandangan Arissa dengan bersahaja.

"Apa abang buat kat Adra?" soal Arissa cemas. Ajmal tidak menjawab apa. Dia sekadar mengangkat bahu kepada Arissa.

Ajmal mengalihkan pandangannya kepadaku semula. Dia renung aku beberapa saat sebelum menjauhi aku lalu mengorak langkah menuju ke tangga.

"Adik, your BFF kan, she..." Ajmal membuat isyarat tangan berpusing-pusing di tepi kepalanya. Aku perhati isyarat tangannya itu.

Dia kata aku... Mentalll?! Mamat ni memang sengaja suka bakar hati aku la... Arghhh!

Dia memandangku sekilas sebelum tersenyum lalu menuruni tangga.

"Abang, tak baiklah cakap macam tu!" jerit Arissa kepadanya.

Arissa mengalih pandang pada aku pula.

"Ra... Sorry..." ucap Arissa. Dia tersenyum kelat kepadaku. Nampak serba-salah.

"Eee, geramnya aku dengan abang kau tu!" Separuh menjerit aku berkata. Arissa sekadar tersengih kepadaku.

Continue Reading

You'll Also Like

8.2K 385 41
🥀Tengku Rayden Albert Nama seorang jejaka yang tampan,berdarah dingin dan disegani oleh orang ramai kerana dia adalah anak kepada Tengku Albert Rean...
167K 2.9K 90
Curang? Perkataan itu pantang bagi semua isteri atas dunia ini. Begitu juga dengan Azlyn. Ketika di kemuncak bahagia, dia diuji dengan kecurangan sua...
76.7K 2.9K 36
First story from sweethearttina🌹 Kisah sepasang sepupu yang disatukan tanpa kerelaan masing-masing hanya disebabkan satu peristiwa yang tidak diingi...
Anthem By hlovate

General Fiction

91.4K 4.7K 77
Everybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.g...