Bab 15

5.7K 147 62
                                    

SETELAH membayar tambang, aku mengucapkan terima kasih dan memberi salam kepada pemandu teksi yang lebih kurang seusia dengan papaku. Pak cik teksi itu sungguh peramah. Sepanjang perjalanan aku ke rumah, tidak bosan jadinya kerana terhibur dengan celotehnya. Dia menjawab salamku sebelum berlalu pergi. Melihat teksi beredar barulah aku membuka pintu pagar.

Dengan keletihan aku menapak masuk ke halaman rumah. Melihat ruang parkir yang kosong aku tahu yang aku hanya sendirian di rumah Arissa. Terkial-kial aku mencari kunci rumah di dalam beg sandangku memandangkan tanganku yang penuh dengan shopping bag.

Arissa berkeras meminta aku meninggalkan barang-barangku kepada dia sahaja. Katanya dia tidak ingin aku mengusung barang yang banyak apatah lagi untuk menaiki teksi tetapi aku tak ingin menyusahkan dia. Malahan Hairi juga berkeras. Dia siap tawarkan untuk menyimpan barang-barangku di dalam keretanya. Tetapi aku segan hendak menyusahkan dia memandangkan tadi dia dan Arissa agak mengejar masa untuk menonton wayang.

Mereka turut mengajak aku untuk bersama-sama mereka menonton wayang tapi aku rasa seperti mengganggu pula. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Sementelah pula, badanku sudah berasa penat. Sekarang ini pun jam sudah menunjukkan pukul tujuh empat puluh malam.

Pintu rumah kubuka dan kegelapan yang menyambut kepulanganku. Terasa seperti aku berada di rumahku pula. Di sana beginilah keadaannya setiap hari. Hanya kegelapan dan kesunyian yang menyambutku.

Aku menutup pintu dan menguncinya. Membuka lampu di ruang tamu dan terus menapak ke tingkat atas menuju ke bilik.

Segera aku mandi dan menunaikan sembahyang maghrib. Setelah itu, aku duduk sambil membelek-belek barangan yang kubeli. Terasa lapar barulah aku kelam-kabut menyimpan semua barang ke dalam almari lalu menapak turun ke dapur.

Aku berdiri sambil melihat-lihat sekeliling dapur. Perutku semakin galak berkeroncong. Hendak memasak aku terasa malas. Tapi kalau tak masak, apa pula yang hendak aku makan? Takkan nak tahan lapar? Aku mana boleh tahan lapar. Mahunya gastrik aku datang balik. Hendak mengirim makan kepada Arissa, entahkan pukul berapa dia pulang.

Itulah... Tadi kau tak nak tapau, Adra oi... Dah tau kuat makan, kan... Aku mengeluh. Melangkah malas ke kabinet dapur. Membuka satu per satu kabinet dan terhenti saat aku ternampak bungkusan plastik mi segera Maggi perisa kari. Maggi pun Maggilah. Asal kenyang.

Sepuluh minit kemudian, maggi sudah tersedia untuk aku makan. Selesai makan, aku mengemas dapur lalu menutup lampu dapur. Hatiku berkira-kira hendak melepak di ruang tamu atau terus naik ke bilik saja. Memandangkan malam masih awal, baru sahaja menginjak ke pukul sembilan malam, maka aku ambil keputusan untuk duduk dulu di ruang tamu.

Aku hidupkan TV. Jari ligat menekan punat-punat di badan alat kawalan jauh Astro. Memilih saluran yang ada menayangkan rancangan kesukaan aku.

Sedang aku asyik menonton filem Upside Down di saluran HBO, terdengar bunyi deruman kereta memasuki halaman rumah.

Pantas aku membuka pintu rumah kerana menyangkakan Arissa yang pulang. Aku keluar menjenguk ke keluar tetapi sebaliknya kelibat Ajmal yang tertancap di pandanganku. Dia yang sedang keluar dari kereta kelihatan terkejut melihat aku, sepertimana aku terkejut melihat dia.

Aku masuk semula ke dalam rumah. Menuju ke ruang tamu lalu mematikan TV. Mendengar pintu rumah yang ditutup kuat menyebabkan aku tersentak. Serta-merta aku menoleh ke arah pintu. Kami bertemu pandang beberapa ketika sebelum aku melarikan pandangan. Dia hanya berdiri di situ memerhatikan aku. Rasa gelisah mula melanda hati. Sungguh aku tidak betah berada dengannya di ruangan yang sama.

Aku mengambil langkah menuju ke tangga.

"Ary mana?" Langkahku terhenti mendengar pertanyaannya. Aku menoleh kepadanya tapi hanya sekejap. Pandangan matanya terasa membakar diriku.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sungguh, Saya Cintakan AwakWhere stories live. Discover now