Bab 7

3.8K 98 1
                                    

IKUTKAN hati nak saja aku cungkil biji mata mamat ni. Dia ni tak penat ke asyik duk pandang aku saja? Tak sudah-sudah dia mengerling pandang melalui cermin pandang belakang itu. Setiap hari kutuk aku. Tapi tak pernah berhenti pandang aku. Apa kena dengan abang Si Arissa ni? Tak malu ke dia kalau pak su dan mak su nampak? Aku melepaskan keluhan geram. Sempat aku jeling kepadanya sebelum mengalihkan pandangan ke luar kereta.

Kereta Nissan Grand Livina milik Ajmal meluncur laju merentasi jalan raya. Melihat ke luar kereta pada pemandangan yang terdapat di kiri dan kananku membuatkan aku tersedar bahawa jangka masa setahun itu adalah jangka masa yang agak lama juga, kerana memandangkan kepada perubahan yang tercipta di Kuala Lumpur ini.

Perjalanan menuju ke KL Festival City Mall benar-benar membuat aku teruja. Maklumlah sudah agak lama aku tidak berkunjung ke pusat membeli-belah, kerana sibuk dengan pelajaran sebelum ini. Apatah lagi di KL. Serasa aku, ini kali kedua aku ke KL Festival City Mall dan kedua-dua kalinya adalah dengan keluarga Arissa juga. Walaupun tidak segah Pavilion atau KLCC, bagi aku KL Festival City antara pusat membeli-belah yang menarik di Kuala Lumpur. Sementelah pula, kedudukannya yang dekat dengan rumah keluarga Arissa, mungkin kerana itu mereka selesa berkunjung ke sini, kerana tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya.

Dalam hati aku membuat kira-kira akan berapa jumlah wang simpanan yang ada di dalam akaun simpanan CIMB aku. Sudah lama aku tidak mengeluarkan wang daripada simpanan tersebut. Duit dalam akaun tersebut dimasukkan oleh papa untukku pada setiap bulan.

Tapi jarang sekali aku mengambilnya kerana papa juga ada memberi duit poket kepadaku. Biasanya aku sekadar menggunakan duit yang diberi ke tanganku itu sahaja kerana itupun sudah mencukupi. Teringat akan papa, tiba-tiba aku jadi rindu kepadanya. Rindu pada papa yang ceria dan penuh kasih sayang sewaktu arwah mama masih ada. Bukan papa tidak sayang kepadaku. Aku tahu dia sayang kepadaku. Cuma kasih sayangnya seakan-akan ditenggelamkan oleh kesedihannya terhadap pemergian arwah mama.

Tanpa sedar aku mengeluh kuat sehingga semua yang berada di dalam kereta, menoleh memandangku. Aku terdiam sejenak saat melihat pandangan hairan mereka kepadaku. Kemudiannya segera aku layangkan senyuman semanis mungkin pada mereka. Tak ingin mereka mengesyaki yang bukan-bukan.

"Kenapa mengeluh macam tu, Adra?" Mak su sudah menyoal.

Aku tersengih kepadanya. Nak kelentong apa ni?

"Erm... Laparlah, mak su." Apakah? Kenapa pula perkataan 'lapar' yang keluar dari mulut aku ni? Sekarang pukul enam setengah petang. Baru pukul lima petang tadi aku makan sepinggan mi goreng yang dimasak oleh mak su.

Mak su bermuka hairan.

"Lapar? Kan baru tadi Adra makan mi goreng?" Nampak tak keterlanjuran kataku tadi sedang memakan diri?

Aku senyum simpul. Malu pun ada. Terasa macam kaki pelahap pula.

Arissa ketawa kecil.

"Alah, mak ni macam tak tau pula. Ra kan kuat makan."

"Kuat makan tapi badan kurus." Oh, oh... Datang dah ayat mencari pasal daripada si mamat poyo tu.

Arissa dan mak su tertawa kecil dengan kenyataan Ajmal itu. Aku memandang cermin pandang belakang. Langsung pandangan kami bersatu di situ. Senyuman kecil terbias di wajahnya. Aku pamerkan riak menyampah kepadanya.

"Eloklah macam ni. Kurus pun tak apa. Asal sihat." Mak su bersuara membela aku.

"Adra tak kuruslah, abang. Dia slim. Kau ni kurus dengan slim pun tak tau beza. Cantik dah bodi macam Adra ni. Tinggi, slim." Arissa pula membela aku. Bukan setakat membela, siap memuji lagi.

Aku tersenyum gembira.

"Cantik bodi tu untuk tatapan suami, bukan untuk bagi semua orang tengok." Oh, oh... Senyuman aku terus mati.

Sunyi sekejap suasana dalam kereta. Dia ni memang hebat dalam mematikan perbualan orang, kan? Aku tarik nafas. Cuba redakan kemarahan. Ringan aje mulut aku ni nak membalas cakap dia, tapi mengenangkan akan kewujudan mak su dan pak su, maka aku sabarkan hati.

"Abang, kau ni ada aje nak mengata, kan?!" marah Arissa.

"Bukan mengata. Tapi nasihat. Untuk kau juga, adik," bidasnya. Arissa mencebik.

"Tak baiklah Mal cakap macam tu. Elok nak nasihat tu. Tapi janganlah direct macam tu sekali," ujar mak su pula menegur. Dia tersenyum kelat kepada aku. Mungkin rasa bersalah dengan kata-kata anak saudara merangkap anak susuannya itu.

Aku tersenyum sedikit kepadanya. Ingin meredakan rasa bersalahnya. Bukan salah mak su pun. Salah mamat poyo yang macam bagus tu!

"Dahlah tu. Dah sampai dah pun ni. Adra, tak payah pedulikan Ajmal ni. Dia memang macam tu. Ary, sudah-sudah tarik muka tu kat abang. Tak baik macam tu," tegur pak su tenang tapi tegas.

Aku mengangguk kepada pak su. Tanda faham akan kata-katanya. Tanda hormat kepadanya. Melirik pada cermin pandang belakang. Bertentang mata sesaat dua dengannya sebelum aku hadiahkan jelingan paling tajam kepada Ajmal.


Sungguh, Saya Cintakan AwakWhere stories live. Discover now