BAB 07

1.1K 51 2
                                    

SILING bilik suite Hotel The Zenith diperhatikan tanpa jemu. Sejak tadi dia berkeadaan begitu. Sejak dia selesai menunaikan solat Maghrib kira-kira setengah jam yang lalu.

Banyak yang Nina fikirkan. Kesemuanya berkisar tentang mama. Mama telah dimamah usia. Keriput pada wajah mama mulai jelas. Mungkin dia salah satu penyebab keriput pada wajah mama cepat nampak.

Fikiran Nina juga melayang tentang adik tirinya. Sepasang kembar. Nina harus mengaku, yang dia cemburukan adik tirinya.

Keluhan Nina meletus tanpa sedar. Dia bangun lalu beg Totenya dicapai. Dia mahu menghubungi Suzie dan memberitahu dia telah selamat sampai. Namun dua hairan juga, sejak tadi dia belum menerima satu panggilan pun daripada Suzie. Selalunya kalau Nina senyap sepi, Suzie sudah bertukar menjadi mak nenek yang menghubunginya tanpa henti.

Telefon bimbitnya diambil. Terkelip-kelip mata Nina melihat skrin telefon bimbitnya gelap. Kemudian dahinya ditepuk. Dia lupa menghidupkan semula telefon bimbitnya setelah dia naik angin tengahari tadi.

Sebaik sahaja telefon bimbitnya berjaya dibuka, bertubi-tubi notifikasi yang masuk. Serentak dengan itu, panggilan telefon daripada Suzie masuk. Jari telunjuk lincah saja menekan butang hijau.

"Kau pergi mana? Aku call dari tadi, tak bersambung. Pesanan Whatsapp aku semua kau tak balas!"

Nina menjauhkan gagang telefonnya sejenak. Dia terkejut mendengar lengkingan suara Suzie. Suzie jarang marah. Yang selalu marah-marah adalah Nina. Jadi apabila Suzie naik angin, Nina sangat terkejut.

"Sorry, aku off handphone dan kemudian aku lupa nak on semula."

"Sikit lagi aku book flight ke Kuantan cari kau. Aku ingat kau dah kena culik tadi."

Senyuman Nina mekar. Suzie sangat menyayanginya. Biarpun dia suka marah-marah, Suzie tetap berada di sisinya. Suzie seperti emaknya sendiri.

"Tak ada siapa nak culik aku ni, Suzie. Yang kena culik ni, biasanya yang kaya raya dan cantik. Aku ni bukan saja tak kaya raya, rupa pun tak ada. Rugi besarlah kalau mereka culik aku."

"Tengok tu, benda macam ni pun kau bawa bergurau. Aku ni risau setengah mati. Mandi pun belum lagi sebab risaukan kau!"

"Okey, pergi mandi sekarang. Aku dah selamat sampat dekat Kuantan."

Sepi tiba-tiba. Nina jadi tidak sedap.

"Kau dah jumpa mama kau?"

Patutlah hatinya tidak sedap. Suzie membangkitkan hal mama.

"Kenapa aku nak jumpa dia pula? Aku bukan tinggal rumah mama aku." Nina menafikan pertemuannya dengan mama siang tadi. Dia belum bersedia berdepan segala macam pertanyaan Suzie. Bukan dia tidak tahu, Suzie mengharapkan dia berbaik-baik semula dengan mama. Kadang-kadang Nina rasa, Suzie mungkin telah dibeli oleh mama.

"Kau bukan tinggal rumah mama kau? Habis, kau tinggal mana?"

"Hotel."

"Nina!" bantah Suzie sekeras-kerasnya.

"Bye, Suzie. Jaga diri baik-baik dan jangan call aku lagi. Aku nak tidur. Penat drive belum hilang."

Talian telah pun dimatikan tanpa menunggu jawapan balas Suzie. Kalau dibiarkan berlarutan, Nina sendiri yang lemas nanti.

Sesaat kemudian, pesanan Whatsapp daripada Suzie masuk.

+ Aku harap sebelum kau balik ke sini, kau jumpa mama kau.

Mengeluh Nina membaca pesanan Whatsapp Suzie.

- Okey, kalau sempat.

Itu sahaja yang mampu Nina taip. Matanya sudah membuntang melihat ada 205 notifikasi yang belum dibaca. Datangnya daripada group Whatsapp reunion sekolahnya.

e-Book REUNION | Best SellerWhere stories live. Discover now