BAB 06

924 44 2
                                    

LIMA belas minit telah berlalu dan Nina masih kaku di dalam perut kereta Honda Jazz miliknya. Pandangannya kelam memandang rumah yang pernah memberinya syurga. Kini rumah itu, hanya memberi kepanasan neraka. Mama telah menukar suasana rumah tersebut.

Nina menyeka pipinya. Dia tidak faham kenapa air matanya mesti mengalir. Semua orang telah melupakan kisah silam. Semua orang telah melupakan ayah. Tinggal Nina yang masih menghidupkan kenangan bersama ayah.

Bersama kekuatan yang bukan sedikit, Nina membuka pintu keretanya. Langkah kakinya biarpun goyah, tetap juga dihalakan menuju ke pintu pagar. Dia mahu melihat rumah yang pernah melihat dia membesar.

Tangannya mencari kunci dari dalam beg Totenya. Kunci yang selalu sahaja menemaninya ke mana-mana.

Nina tidak mengambil masa lama untuk berada di dalam rumah. Perabot masih sama. Cat rumah masih sama. Rumah juga berbau harum. Nina tidak menemukan habuk berkumpul atau sawang labah-labah. Rumah ini dijaga rapi.

Tangan Nina menyentuh dinding rumah. Masih boleh didengar suara ayah dan suaranya saling bertingkah. Dia anak tunggal dan perempuan pula, wajar saja dia menjadi anak emas ayah.

Nina tidak menipu kalau dia menyebut dia sangat merindukan arwah ayah. Kalau ayah masih hidup, pasti hidupnya tidak kelabu seperti sekarang. Pasti mama tidak berpindah ke dalam pelukan lelaki lain. Mereka akan menjadi satu keluarga yang lengkap dan bahagia.

Nina mendengar bunyi pintu pagar dibuka. Tidak sempat dia melangkah, dia mendengar pula pintu jeriji dibuka. Sekejap sahaja dan pandangan matanya telah bertembung dengan sorotan mama. Mama terkejut melihatnya. Percayalah, Nina lebih terkejut.

Kaku tubuh Nina. Udara juga semakin sedikit dan Nina dapat rasa, rumah peninggalan arwah ayah seperti bergoncang. Nina terpaksa menjadikan dinding rumah sebagai tempatnya berpegang supaya dia tidak jatuh terduduk.

"Nina."

Demi Allah, dia benci mama menyebut namanya. Dia benci dengan nada keibuan yang mama gunakan untuk menyebut namanya. Mama sudah mati dalam hati Nina. Nina tidak memerlukan mama, sebagaimana mama tidak lagi memerlukan Nina. Mereka berdua telah membawa haluan masing-masing.

"Nina anak mama."

Kalau mama tidak curang, pasti sekarang Nina berlari ke arah mama. Nina akan memeluk mama dengan erat. Nina akan berkongsi apa sahaja dengan mama.

"Saya tak rasa saya ni anak mama lagi. Mama dah tak perlu sebut ayat tu."

Nina tahu suaranya penuh racun. Buktinya, mama terkesima. Senyuman mama bertukar pahit. Mama kehilangan suaranya.

"Saya singgah sekejap nak tengok rumah ayah. Tapi kalau saya tahu mama pun nak ke sini, saya takkan singgah."

"Mama senang dapat jumpa Nina."

"Saya tak senang dapat jumpa mama."

Mama tidak lagi tersenyum. Mama menyentuh dadanya. Cukup kelam pandangan mama.

"Nina masih marahkan mama."

Marah bukan perkataan sesuai. Nina berdendam pada mama. Mama yang menyebabkan hidupnya jadi begini. Mama yang menyebabkan dia sukar untuk meletakkan kepercayaan pada mama lagi.

"Nina dah makan? Mama boleh masak ketam masak lemak cili padi."

Mama sangat lucu. Mama cuba membeli jiwanya melalui makanan. Memang benar ketam masak lemak cili padi lauk kesukaannya. Namun kalau mama yang memasaknya, Nina hilang selera.

"Mama masaklah untuk keluarga baru mama. Kalau saya nak sangat makan ketam masak lemak cili padi tu, saya boleh masak sendiri. Dan kalau saya dah tak larat sangat, saya boleh beli."

Mama mengesat-ngesat matanya. Bergetar sekujur tubuh mama.

Nina menarik nafas panjang. Dia telah bersedia untuk beredar. Cukuplah perbualannya dengan mama. Dia telah memberi penjelasan pada mama tentang isu hatinya.

Tenang langkahnya menghampiri pintu utama. Sewaktu berpapasan dengan mama, dia mendengar mama teresak. Dicekalkan jiwanya untuk tidak kalah pada lakonan mama.

"Nina," sebut mama. Parau suara mama. Serentak dengan itu, lengannya telah dipaut dengan kemas. Mama masih belum enggan melepaskannya pergi.

"Nina dah lama tak balik ke sini. Mama rindu Nina. Tak boleh ke Nina dengan mama kembali macam dulu?"

Nina memejamkan matanya sejenak. Sehabis baik, dia mengawal emosinya supaya tidak roboh.

"Saya balik ke sini bukan sebab nak lepaskan rindu pada mama. Rasa rindu tu dah tak wujud, mama. Dah mati. Mama sendiri yang membunuhnya."

"Mama cuma minta peluang kedua. Mama nak anak mama semula. Cukuplah sebelas tahun ni Nina bawa diri. Macam mana Nina menafikan mama, darah mama masih mengalir dalam tubuh Nina."

Nina melepaskan pegangan tangan mama pada lengannya. Kemudian dia membalas pandangan mata mama. Mama telah lencun dengan air mata.

"Saya bahagia dengan cara hidup saya sekarang. Saya rasa sempurna. Mama pun dah ada keluarga sendiri. Mama patut lebihkan perhatian mama pada keluarga baru mama sekarang. Saya bukan lagi keluarga mama."

Semakin teruk jatuhan air mata mama. Rasanya, Nina takkan dapat mencium lagi bau syurga. Dia telah melukakan hati mama.

"Saya dah lambat. Saya balik ke sini bukan sebab nak jumpa mama, tapi atas urusan kerja."

Nina kembali melangkah. Kali ini mama tidak lagi menghalang langkahnya. Begitu lebih baik.

Sebaik sahaja sampai di muka pintu, Nina dikejutkan dengan kehadiran dua remaja sunti. Wajah mereka seiras. Dan keduanya mewarisi wajah bonda dan juga wajah ayah tiri Nina.

"Kak Nina bila sampai?"

Sumpah, Nina terkejut namanya disebut. Dia tidak menduga anak kembar mama bersama suami barunya mengenalinya. Dia gugup untuk menyusun kata.

"Mama sakit. Tolong tengokkan."

"Kakak nak pergi mana? Kakak tak nak tengokkan Mama?"

Ada tangan yang meraih jari tangan Nina. Erat.

"Tempat kakak bukan dekat sini."

Itu sahaja yang mampu Nina luahkan. Dia merungkai pegangan tangan adik tirinya. Langkah kakinya terus diayun meninggalkan mama dan kembar seiras tersebut.

Masuk di dalam kereta, Nina terus menghidupkan enjin kereta. Nina takkan menangis. Dia sudah puas menangis.

Sial! Air matanya sedang berjatuhan.

e-Book REUNION | Best SellerWo Geschichten leben. Entdecke jetzt