BAB 04

992 50 7
                                    

NINA mengeluh. Malam tadi dia membuat keputusan mahu mengikut kata hatinya. Namun setelah selesai solat subuh tadi, akal waras membuat keputusan yang lain. Itu sebabnya kenapa sekarang dia berada di Lebuh Raya Pantai Timur. Lebih tepat lagi, dia sedang berada di R&R Gambang untuk mengisi minyak kereta.

"Nina!"

Gerakan tangan Nina terhenti. Tidak jadi dia menutup pintu keretanya. Seluruh sistem di dalam tubuhnya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Malah, hatinya juga mulai tidak sedap. Seperti ada hal buruk yang bakal berlaku.

"Nina!"

Suara yang memanggilnya semakin dekat. Semakin teruk juga rasa tidak sedap hati Nina. Nina menoleh dan pandangannya disapa oleh sepasang mata galak seorang perempuan. Lama dia mengamati perempuan tersebut, sebelum bukaan matanya membesar.

"Hai, Nina. Kenal saya lagi tak?"

Nina tidak mengeluarkan sebarang suara. Dia masih terkejut melihat Aliya. Aliya, si perasan Miss Universe sewaktu zaman sekolah mereka.

Aliya sangat berbeza dari segi penampilannya. Maksud Nina di sini bukan Aliya semakin tidak cantik, tetapi lebih kepada saiz tubuh Aliya. Dahulu, Aliya pemegang rekod pinggang rekod kerengga. Sekarang, tak tahulah rekod pinggang siapa yang Aliya pegang. Apa yang jelas, 'alignment' Aliya terjejas teruk.

"Hai. You look... different."

Masya-Allah, mulutnya terlepas cakap. Lihatlah, raut muka Aliya telah berubah. Kemudian Aliya ketawa besar.

"I know I look different. Saya dah berjaya ternak extra lemak sebanyak 22 kg. Sekarang berat saya 72 kg."

Aliya tidak marah, apalagi menangis. Aliya kelihatan berbangga dengan rekodnya berjaya menternak 22 kg lemak tambahan. Dahulu kalau berat Aliya naik 200g sekalipun, kecoh satu kelas. Aliya akan murung dan mula mengamalkan diet dahsyat.

"Awak tak sedih?"

"Sedih? Kenapa? Sebab berat saya naik?"

Laju saja anggukan kepala Nina.

"Taklah, Nina. Saya bangga berat saya naik."

Aliya membuang pandang ke sisinya. Nina ikut memandang apa yang dilihat oleh Aliya.

Nina melopong. Nina terkejut dan Nina hampir tidak mempercayai dengan apa yang matanya lihat.

"Itu suami saya. Imran nama dia. Yang dalam kereta tu pula, anak saya. Anas dan Yana."

Nina kembali memandang Aliya. Dia mahu memastikan dia tidak salah orang. Seingat Nina, citarasa Aliya tinggi. Dahulu, Aliya memilih kawan perempuannya dari kalangan yang cantik. Manakala yang lelaki pula, jenis sedap mata memandang. Malah, Nina takkan lupa ikrar Aliya. Aliya pernah menyebut mahukan lelaki yang berkulit cerah persis barisan aktor tersohor Korea Selatan.

Namun apa yang Nina lihat sekarang, suami Aliya persis pelakon tersohor Bollywood, B Rajinikanth sewaktu zaman mudanya.

"Dia inspektor polis. Itu yang buat dia semakin handsome."

Nina cuma nampak misai melenting Imran yang paling handsome.

"Awak tahu tak... kami risau awak tak datang. Sampai ada yang bertaruh awak takkan munculkan diri."

Nina tidak tahu keputusannya untuk datang ke reunion sekolah mereka telah jadi bualan hangat.

"Awak pun bet saya takkan muncul?" Nina menduga. Dia rasa, semua orang akan bertaruh dia takkan datang.

"Saya dengan Jureen bertaruh awak akan datang."

Tegak bulu romanya setelah nama Jureen disebut. Perbualan terakhirnya dengan Jureen lebih menjurus ke arah pertengkaran. Kalau boleh, dia tidak mahu bersua muka dengan Jureen. Namun itulah yang akan berlaku. Nina perlu kuatkan hati.

e-Book REUNION | Best SellerWhere stories live. Discover now