Bab 9

33 10 6
                                    

"...sebelum aku suka dia," - Syauqi Irfan

AQIL yang sedang berbual bersama dua orang tetamu istimewa syarikatnya terkejut apabila dia tiba-tiba disimbah dengan segelas air. Mujur sahaja kertas yang mengandungi kontrak yang sudah ditandatangani oleh kedua-dua pihak tidak basah.

"Awak ni kenapa? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba buat perangai macam orang gila?" Puan Suraya, wanita bertudung litup itu bersuara. Bibirnya diketap menahan rasa geram yang tiba-tiba singgah.

Kolar baju Aqil ditarik ke atas. Tumbukan padu tepat mengena pada rahangnya. Tidak cukup dengan itu, abdomen perut Aqil dilagakan dengan kepala lutut lelaki itu.

Aqil mengerang kesakitan. Hujung bibirnya yang sudah berdarah dilap kasar. Sebelah tangannya menyokong tubuhnya untuk bangkit berdiri manakala sebelah tangannya lagi menekan abdomen perut yang sudah terasa senak.

"Sorry, bro. Tak boleh tangguh dulu ke?" Dalam menahan rasa sakit, Aqil sempat menutur beberapa butir bicara. Matanya sempat mengerling ke arah dua tetamu istimewa syarikatnya itu.

Irfan meraup mukanya kasar. Rambutnya yang sedikit tidak terurus dikusutkan lagi. Gelas kaca yang berhampiran dengannya diambil lalu dilemparkan ke arah Aqil.

Puan Suraya memegang lengan anak gadisnya yang seperti sudah tidak dapat mengawal amarahnya. Kepalanya digelengkan tanda tidak membenarkan.

Puan Suraya memandang semula ke arah Aqil. Mujur sahaja Aqil sempat mengelak gelas kaca tadi. Jika tidak, tentu lelaki itu sudah rebah menyembah bumi.

"Kenapa baru sekarang?" Irfan menyoal dengan nada yang agak kasar. Jari-jemarinya disatukan lalu dibentuk menjadi sebuah penumbuk.

"Apa maksud kau?" Belakang kerusi dipaut erat. Aqil menyoal dengan riak bingung dengan pertanyaan Irfan.

"Mikayla. Kenapa baru sekarang kau munculkan diri? Kenapa kau tak munculkan diri sebelum aku suka dia?" Nada suaranya semakin mengendur. Pandangan dijatuhkan merenung lantai. Irfan menghela nafasnya kasar.

Aqil diam. Kata-kata Irfan di hujung ayatnya membuat dia tidak mampu mengungkap apa-apa bicara.

Bukankah sepatutnya dia yang mengatakan ayat itu?

Kenapa baru sekarang lelaki itu suka Eryna?

Kenapa baru sekarang lelaki itu kononnya menghargai gadis manis itu?

Kenapa tidak dari dulu?

Aqil tahu semua itu dusta semata. Irfan menyukai Eryna kerana penampilannya sahaja. Lelaki itu hanya menyukai keadaan gadis itu sekarang bukannya keadaan gadis itu sejak awal.

"Kau sengaja, kan? Sengaja buat aku macam ni sebab kau nak balas dendam, kan?" Suara Irfan mula memetir. Kolar baju Aqil direntap kuat. Wajahnya didekatkan ke muka Aqil.

Aqil masih membisu. Hanya genggaman tangannya pada belakang kerusi yang semakin kuat. Dinding pipinya digigit kuat.

Jika benar dia mahu membalas dendam, bukan ini caranya. Bagi Aqil, cara ini terlalu mudah dan tidak memberi impak yang besar terhadap Irfan.

"Jawab aku!" Irfan menjerkah Aqil tepat pada wajah lelaki itu. Tangannya menggigil menahan amarah yang kian memuncak.

Kenapa...

Kenapa lelaki itu muncul saat dia mula menyukai gadis itu?

Salahkah dia meminta peluang?

Empat tahun dia terkejar-kejar akan gadis itu. Saat itu dia tahu bahawa bukan hanya sekadar teman yang diinginkannya, malah lebih daripada itu.

Cinta Untuk Dia 《UNEDITED VERSION》Where stories live. Discover now