Part 8

1.4K 88 3
                                    

Mereka beriringan masuk ke dalam gudang membeli-belah Pavilion. Jaan tersenyum lebar melihat Firas yang mengikutnya tanpa berkata sepatah pun. Jaan masuk ke butik jenama Guess tanpa ragu-ragu. Dia lihat Firas masih mengikutnya.

"You nak beli beg?" soal Firas apabila melihat Jaan memegang beberapa beg tangan yang terpapar di dalam butik ini.

"Taklah. Nak tengok-tengok dulu." Jaan menjawab tanpa berpaling.

Dia ralit melihat beberapa jenis crossbody bags berwarna hitam. Tanpa sedar bibir tersenyum sendiri. Siapa yang kaki shopping sepertinya pasti mengerti perasaan apabila berada di situasinya.

"Sekarang ada sales." Seorang jurujual wanita memberitahu sambil menunjukkan tag harga pada beg.

Jaan menelan liur. Potongan hampir RM 200!

"Kalau you nak beg tu, ambillah." Firas menghampiri dan turut melihat beg yang sama.

"Puan, suami dah bagi greenlight tu." Jurujual yang dari tadi memerhatikan mereka bersuara. Jaan mengangkat kepala. Suami? Baru dia hendak membalas suara Firas terlebih dahulu menjawab.

"Kami jadi ambil," ujar Firas selamba. Jurujual itu mengangguk dengan senyuman lebar dan berlalu ke kaunter.

Jaan terus memandang Firas.

"I tak cakap yang I nak beli."

"It's okay. Beg tu hadiah untuk you." Firas senyum pendek dan bergerak ke kaunter meninggalkan Jaan terdiam sendirian.

"Hmm... dia yang nak bayar. Kalau macam tu kita minta macam-macam. Tengok dia boleh tahan tak." Jaan bercakap sendiri.

Laju tangannya mengambil satu lagi beg dan dibawa ke kaunter. Jurujual yang sedang memasukkan beg tadi ke dalam beg kertas memandangnya.

"I nak yang ni juga," beritahu Jaan sambil menghulurkan beg saiz lebih kecil kepada jurujual itu.

"Nanti saya check stok baru dulu ya." Jurujual itu bergerak ke belakang.

Firas yang sedang bersandar di kaunter sambil berpeluk tubuh berpaling memandang Jaan. Ada senyuman di bibir lelaki itu.

"Tadi cakap tak nak beli." Firas mengangkat kening.

Jaan ketawa.

"Dah you nak belanja, I ambillah banyak sikit. Rezeki jangan ditolak."

Firas mengangguk-angguk masih dengan senyuman di wajah kacaknya. Jaan ketawa dalam hati. Tunggu... banyak lagi benda dia nak beli.

Selepas jurujual membawa beg baru dan dimasukkan dalam beg kertas, Firas membuat bayaran. Beg kertas bertukar tangan.

"Beruntung puan dapat suami romantik macam ni." Sempat jurujual itu memuji. Jaan dan Firas saling berpandangan.

"Thank you," jawab Jaan dan mereka bergerak keluar dari butik. Jaan memandang Firas. Lelaki itu sedang tersengih-sengih.

"Jangan nak senyum macam tulah," tegur Jaan. Tahu sangat senyuman Firas itu kerana kata-kata jurujual tadi.

"Betullah kata dia. Beruntung you dapat I. Jadi, cik dinda janganlah jual mahal. Kanda menunggu ni," usik Firas.

"Tengok. Dah mula dah dinda kanda dia." Jaan menjeling dan laju-laju melangkah meninggalkan lelaki itu.

Hampir lima buah butik berjenama dimasuki Jaan. Dia memang sengaja. Dia membeli barang di setiap kedai dan tanpa diminta, Firas yang membayar semua barang yang dibelinya itu. Kalau kira-kira sudah melebihi satu ribu ringgit.

Jaan memandang Firas yang sedang memegang beg-beg kertas di tangan. Dia lihat Firas tidak marah mahupun merungut. Sewaktu membuat bayaran juga lelaki itu tidak langsung menunjukkan riak tidak suka. Jaan pula yang susah hati. Niatnya untuk membuat lelaki itu marah, tetapi alih-alih Firas dengan senang hatinya mengeluarkan duit untuknya.

"Firas!" Jaan menghentikan langkah.

"Kenapa?"

"I dah penatlah. You tak nak cakap apa-apa dekat I?" soal Jaan dengan muka sedikit merah.

"No. I nak cakap apa?" soal Firas dengan muka tidak bersalah.

"You nampak I shopping berapa banyak ni, kan? Dan semuanya you yang bayar. You tak marah? Tak rasa menyampah dengan I? Sebab I tengah kikis duit you. You sedar ke tak?" Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Jaan. Hatinya memang panas dengan sikap Firas yang 'terlalu baik.'

Mendengar amukan Jaan itu barulah Firas mengangguk dengan tawa kecil.

"I tahu apa yang you cuba buat Jaan. You nak buat I benci dekat you. You nak tengok I marah dan jadi alasan untuk you tolak I. Betul?" Firas serkap jarang sekaligus membuatkan Jaan tergamam.

"Kalau dari awal you tahu, kenapa you ikutkan permainan I? Kenapa you bayar semua barang-barang ni?" Jaan melengking marah.

Ada beberapa pasang mata memandang mereka, namun Jaan tidak hiraukan. Dia terkejut mengetahui yang Firas maklum dengan segala rancangannya. Tetapi, kenapa Firas begitu bodoh mengikut?

"Barang ni semua hadiah untuk you," jawab Firas tenang.

Jaan ketawa sinis. Matanya tajam menikam wajah lelaki yang terlalu tenang di hadapannya ini. Dia kalah. Dia tidak dapat menebak apa yang Firas fikir. Dia kalah dengan permainannya sendiri.

"Untuk apa? You nak beli I dengan duit you?" Sinis Jaan bertanya.

Kali ini barulah wajah Firas berubah nada. Tiada lagi senyuman menghiasi bibir Firas. Lelaki itu turut memandang Jaan dengan pandangan mata yang sangat tajam.

"I bukan nak beli you, Jaan. Hadiah ni sebab you sudi keluar dengan I hari ni. Walaupun I tahu you keluar dengan I hanya kerana Latif, tapi I tetap berterima kasih."

Nada suara Firas kedengaran seperti orang berjauh hati. Jaan diam. Entah kenapa timbul rasa menyesal kerana menuduh lelaki itu yang bukan-bukan. Jaan mengetap bibir.

"I hantar you balik," ujar Firas perlahan dan lelaki itu berjalan melepasi Jaan dan menuju ke lif untuk turun ke tempat letak kereta.

Sepanjang perjalanan pulang Firas tidak bercakap sepatah perkataan pun. Jari Jaan menyimpul hujung baru sendiri. Dia hendak menoleh ke sebelah, tetapi dia takut. Kebisuan ini membuatkan dia tidak senang duduk.

"You jangan risau. I bukan jenis yang memaksa. Kalau you tak suka, I tak akan teruskan. I tak akan ganggu you lagi."

Itu kata-kata terakhir Firas sewaktu lelaki itu menghantarnya pulang. Tidak perbualan lanjut. Jaan juga tidak mampu mengeluarkan suaranya. Alih-alih dia sedang duduk termenung seorang diri di ruang tamu sambil memerhatikan beg-beg kertas di sisi.

"Sepatutnya kau gembira. Sebab rancangan kau dah berjaya. Firas tak akan kacau kau lagi." Jaan bercakap sendiri.

Jaan mengangkat kaki ke atas sofa dan mula memeluk lutut. Tiada senyuman kemenangan menghiasi bibir. Tidak ada rasa seronok dalam hati. Yang tinggal hanya satu perasaan yang kurang enak dan... menyedihkan!  

DINDA JANGAN MARAH-MARAH (COMPLETED)Where stories live. Discover now