BAB 01

2.2K 55 5
                                    

DIA seorang penulis skrip untuk rancangan Voice Out, rancangan talk show dengan rating tertinggi di Malaysia. Dia bawa Honda Jazz dan pendapatannya mampu membuat dia tersenyum lebar. Dengan pakej yang sebegitu, tidak ada apa yang boleh menghalang langkahnya untuk mendapatkan sesuatu.

Tahu kenapa? Sebab dia bukan lagi Nina yang polos. Nina yang senang ditipu dan dipermainkan. Kota besar Kuala Lumpur telah mengajarnya menjadi wanita berjiwa besi. Pada usia menginjak 28 tahun, dia sudah ada rumah sendiri. Biarpun bukan banglo mewah, tetapi dia sudah boleh berbangga dengan deretan aset miliknya.

Itu yang Nina fikirkan selama ini. Senyumannya melebar setiap kali memikirkan hal tersebut. Tidak pernah terlintas difikirannya bahawa senyumannya boleh direntap pergi gara-gara cerita zaman sekolah menengahnya.

Zaman sekolah menengahnya penuh warna gelap. Nina tak suka pun dengan zaman sekolah menengahnya. Lima tahun dia bersusah payah mengharungi hari-hari gelap tersebut. Kemuncak pada segalanya pastilah ketika dia berada di tahun terakhir.

Dia bukan tergolong dalam kumpulan pelajar cantik dan bergaya, yang menjadi idola ramai pelajar. Dia bukan juga pengawas sekolah yang berkuasa. Dia pun bukan si cerdik pandai yang menjadi anak emas sekolah. Jauh sekali olahragawan yang mengharumkan nama sekolah.

Dia cuma seorang Haznina. Haznina yang terlalu biasa. Haznina yang hanya mempunyai seorang dua kawan bercakap. Oh, dan seorang crush yang mungkin tidak sedar pun kewujudannya ketika itu. Lebih teruk, kawan-kawannya yang sekerat itu pun memilih meninggalkannya. Dia dipulaukan dan dia dipaksa menjadi kera sumbang. Crush hatinya pula, memilih bercinta dengan anak cikgu Sains.

Ini antara sebab kenapa Nina selalu menolak untuk menghadiri reunion yang dianjurkan oleh bekas teman sekolahnya. Takkan sekali-kali dia menjejakkan kaki ke majlis reunion.

Sekarang, dia diarahkan oleh ketuanya untuk membuat menulis tentang reunion sekolah? Nina sakit kepala. Nina pening kepala. Matanya melirik ke arah Suzie. Suzie itu pembantunya. Cuma Suzie yang tahu tentang reunion sekolah Nina.

"Banyak lagi topik lain selain reunion sekolah. Tak semestinya bila berkaitan sekolah saja, mesti topik reunion." Nina memberanikan diri berdiplomasi dengan ketuanya.

"It's a good topic, Nina. An evergreen topic. Imagine, awak dapat jumpa semula kawan-kawan sekolah awak. Kemudian bersembang dengan mereka tentang apa saja."

"Kemudian kedua belah mata saya ni perlu hadap perangai plastik mereka semua? Mana yang gila glamour, mana yang perasan diri setanding Miss Universe dan mana yang suka mengambil kesempatan. Itu belum campur yang suka menikam dari belakang," potong Nina. Nina tahu dia telah terlepas cakap. Buktinya, ketuanya menarik nafas panjang.

"Selepas mendengar kata-kata awak, rumusan yang saya boleh buat adalah awak sangat bencikan zaman sekolah awak. Awak kondem banyak hal. Terlalu banyak hal yang awak kondem sampai saya nak naik juling mendengarnya."

Nina memicit pelipisnya. Dia tidak membantah. Ketuanya betul.

"Come on, Nina. Saya yakin awak boleh kupas topik reunion sekolah ni. Saya tahu awak boleh buat. Gaya penulisan awak boleh buat penonton teruja. Rating Voice Out mesti lagi tinggi selepas ni."

Terbakar perasaannya mendengar ayat-ayat ketuanya. Nina kalau melibatkan zaman sekolahnya, emosinya memang mudah terganggu.

"Apa saya cakap tadi memang kenyataan. Kalau Encik Rahman nak juga saya tulis tentang reunion sekolah, saya takkan dapat tulis yang indah-indah. Saya tak nak berdendang sayang dengan penonton kita apabila semua tu pembohongan besar."

"Mungkin betul itu kenyataannya. Tapi penonton kita, nak baca sesuatu yang fairy tale. Sesuatu yang happily ever after. Dan awak ada kepakaran menukar cerita gelap jadi terang."

Diam Nina dibuatnya. Memang benar, majoriti penonton di luar sana nak dengar sesuatu yang indah-indah saja. Cuma ada segelintir yang memilih untuk menerima fakta dan kebenaran. Dia antara yang tergolong dalam kelompok segelintir tersebut.

"Saya akan tolong awak, Nina."

Pandangan mata Nina menyapa sorotan lembut ketuanya. Dia telah bekerja dengan Encik Rahman masuk tahun yang ke lima. Encik Rahman banyak membantunya. Banyak ilmu yang dicurahkan oleh lelaki yang telah berusia awal lima puluhan itu padanya.

"I shall give you a task. A simple task. Awak takkan ada masalah nak selesaikan task ni."

Entah kenapa Nina rasa, 'task' yang disebut oleh Encik Rahman pasti rumit dan sulit untuk dijayakan.

"Saya nak awak pergi ke majlis reunion sekolah awak. Kemudian lalui pengalaman berada di majlis reunion sekolah."

Itu dia, Encik Rahman telah menyerahkan bom tangan kepada Nina. Setangkas mana pun Nina mengelak, bom itu meletus juga di depan mukanya.

"Either you go to the reunion or you loose your job. Dua tu saja."

Bukan sahaja bom tangan, jerangkap samar pun Encik Rahman sediakan untuk Nina. Nina nak buat apa ni?

e-Book REUNION | Best SellerWhere stories live. Discover now