"Kami harap kalian bawa nama kami bersama kalian apabila kalian bertandingan di Amerika Syarikat nanti." Salah seorang daripada mereka berkata kepada kami.

Min Hyuk mengerutkan dahinya tanda tidak faham. "Maksudnya?"

"Kumpulan kami... Telah diserang sewaktu kami di Kanada." Ketua kumpulan mereka berkata lalu menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung. "Kumpulan kami diserang sewaktu kami sedang bersiar-siar di Toronto. Kami tidak kuat kerana hanya tiga orang daripada kami bersembilan yang mempunyai lencana Melody Student. Ini bermakna, hanya mereka bertiga sahaja yang benar-benar mempunyai kehebatan dalam berlawan."

"Apa yang kami ingin sampaikan adalah berkenaan dengan Liam Robert. Dia cedera parah akibat tidak sempat untuk menyelamatkan diri daripada serangan mereka. Tapi, itulah niat mereka. Untuk mencederakan Liam. Mengapa sebabnya... Kami pun tidak tahu." Sambung seorang lagi. Kemudian, dia mengalirkan air mata akibat kesedihan yang melampau.

Ahli kumpulan kami memandang satu sama lain. Sungguh, berita ini sangat menyedihkan.

"Kami tidak dapat teruskan. Walau Liam sihat sekalipun, perjalanan kami untuk mengejar kalian masih jauh. Maka, saya berharap kalian menang, dengan membawa nama kami." Ujar ketua mereka lagi. 

Esakan kecil dapat aku dengari dari sebelahku. Aku tidak memandang namun aku tahu, Lydia sedih akan kejadian itu. Robert, nama keluarganya. Pasti ada kena mengena dengan pelajar yang tercedera itu.

"Kami minta maaf kerana tidak bersedia dan tidak sentiasa bersiaga. Tidak kami sangka... Ochestra World tidak lagi selamat seperti dahulu." Ujar ketua mereka lagi lalu mengambil keputusan untuk memutuskan talian apabila ahli kumpulannya yang lain sudah mula menumpahkan air mata deras.

Sepi hadir memenuhi pejabat tersebut. Masing-masing melayan perasaan. Apa yang paling ketara ialah wajah Olivia yang kelat dan wajah Justin yang ketat. Siapa sangka? Kemenangan kami bagaikan tidak adil pula.

Lady Beatrix memaparkan wajah tenang. Senyuman nipis beliau hadiahkan buat kami. "Jangan berasa risau. Perkara ini, telah dibawa kepada pihak atasan. Lagi pun, bukan kalian pun yang buat dan sabotaj mereka." Luahnya senang.

"Betul sangat. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Maka dengan itu, ayuh kita ke The Green's Cafe selepas kelas kalian semua habis. Saya belanja." Reuben berkata bagi menceriakan keadaan. Akhirnya, mereka tersenyum juga walaupun kelihatan sedikit tawar.

Setelah berbincang buat beberapa minit, kami bergerak ke kelas kami semula. Aku mengarahkan Mayu dan Faron untuk ke kelas dahulu dengan alasan, aku dan Lydia telah dipanggil oleh Lady Beatrix untuk berbincang akan sesuatu. Dengan senang hati, mereka berlalu pergi tanpa bertanya apa-apa.

Kini, barulah terlihat wajah Lady Beatrix yang sedikit tegang. Beliau menyimpan amarah yang dalam di sebalik senyuman yang sering dipaparkannya.

"Nampaknya, Lilac sudah berani menyerang puak Zamrud-"

"Kenapa dia mesti serang adik saudara saya? Apa yang puak Zamrud buat sampai dia yang harus menerima balasannya? Tugas kami adalah menjaga keluarga Chanson. Tidak lebih dari itu." Potong Lydia yang sudah menghamburkan air matanya. Lady Beatrix yang tidak sempat menghabiskan kata-katanya tadi tercengang.

Aku memandangnya laju. "Adik saudara?"

"Ya. Liam Robert, seorang pemain muzik cilik yang sangat berbakat. Walau muda setahun daripada kalian, dia sudah dapat masuk ke dalam sekolah ini dengan kelebihan yang ada. Walau dia seorang Zamrud, dia tidak sesuai untuk berlawan kerana dia tidak melepasi simulasi untuk Melody Student."  Balas Lady Beatrix tanpa memandang kami. Matanya tertancap pada sehelai kertas yang ditampal pada dinding pejabatnya.

Diam. Aku tidak mampu bertanya apa-apa lagi. Semua ini angkara keluarga aku yang menyebabkan mereka menerima padahnya. Aku... Tidak mampu melakukan apa-apa.

Namun, mengapa makhluk mistik di Jepun itu memanggil aku sebagai 'penyelamat Ochestra World'? Apakah benar? Kalau begitu, bukan akulah orangnya. 

"Hailey, usah berwalang hati. Bukan salah awak yang semua perkara ini terjadi. Segalanya bermula dengan pihak yang tidak puas hati. Sekarang ini, awak kena banyak hati-hati." Pesan Lady Beatrix seraya menepuk lembut bahuku. Matanya yang redup memandangku membuatkan aku berasa tenang sedikit.

Aku mendekati Lydia dan memeluknya. Bagi menenangkannya, aku menyanyi kecil. Di dalam pejabat ini, hanya orang-orang yang aku percaya sahaja berada di sini. Maka, aku tidak perlu risau.

Little world for little people,
How little can it be for someone with a big heart.
Just a little longer to find true strenght,
Please be mind that only you can bare.

Keep it up alone,
Doesn't make it work.
Accompany by team and friends,
Make us strong once again.

Suaraku memenuhi bilik tersebut. Lydia sudah menghentikan esak tangisnya manakala Lady Beatrix yang sedap menghayati laguku itu tadi mencelikkan mata.

"Saya tak faham apa yang awak cuba nak sampaikan tapi sedap. Serius sedap." Puji Lady Beatrix. "Tapi awak kena jaga suara awak itu, Hailey. Lilac itu umpama Ursula, senjata mereka boleh menarik kelebihan awak bila-bila masa sahaja." Sambungnya lagi dalam nada tegas.

Lydia menyeka matanya dan melepaskan pelukanku. "Sebab itulah, saya harus berada di sisinya. Saya sanggup korbankan diri saya sehingga satu masa nanti, segalanya terbongkar dan Hailey sudah boleh hidup bebas tanpa bersembunyi." Katanya tekad.

Aku menjuihkan bibirku. "Awak pasti? Entah saya hidup entah tidak pada masa itu." Balasku geram.

"Sudahlah... Sekarang ini, fokus pada pertandingan akan datang. Walaupun hati saya mengatakan bahawa kita tiada kesempatan untuk itu, tapi saya nak kalian usaha dengan bersungguh-sungguh. Saya akan berikan kalian tempoh cuti bagi menziarahi kediaman masing-masing. Bila jadual kalian siap, saya panggil." Lady Beatrix berkata lalu bangkit. Dia membetulkan pakaiannya serba sedikit dan bergerak ke pejabat persendiriannya yang berada di belakang.

Lydia menarik tanganku bagi menuju ke pintu. Kami berdua melangkah keluar sebelum berpisah arah untuk ke kelas masing-masing.

Sepanjang perjalananku, hanya satu benda sahaja yang mengganggu fikiranku. Apakah yang dimaksudkan dengan 'tiada kesempatan untuk itu'? 

Muzika MelodiaWhere stories live. Discover now