Jalan-jalan Cari Cinta|Part 2

1.3K 96 12
                                    

Shahab Perdana! Phlew, julung-julung kalinya aku menjejakkan kaki di negeri Kedah Darul Aman. Terik panas matahari menyilau pandangan mataku. Beg galas di bahu, aku kemaskan letaknya. Mata sempat menelek jam di tangan. Sudah pukul dua petang. Kalau ikut jadualnya, aku mungkin telah selamat bergelar isteri kepada Asif Muhaimin.

Tahniah Kak Zahra.

Sara doakan Kak Zahra bahagia dengan Asif sampai hujung nyawa.

Langkah harus maju ke hadapan. Pantang berundur ya Sara Imani.

Selama hidup aku, 25 tahun atas muka bumi, inilah kali pertama aku buat kerja gila macam ini. Lari dari majlis akad nikah sendiri. Lari dari ayah. Lari dari mak. Lari dari abang-abang. Lari dari tunangan yang sepatutnya menikahi aku.

Entah apa cerita di Kajang. Aku tinggalkan segala yang aku sayangi. Aku ambil risiko untuk kena 'bunuh' dengan mak dan ayah.

Kalau nak fikirkan memang gerun dan seram. Tapi, benda sudah pun jadi. Move on!

Okay, kaki sudah jejak negeri jelapang padi. Ke mana langkah seterusnya? Sambil aku melangkah menuju ke sebuah gerai makan, sambil aku memikir. Saudara mara ayah dan mak tiada di negeri Kedah. Kalau nak ikutkan siapa pun dalam keluarga aku mudah mengesan ke mana aku pergi. Iyerlah, Sara Imani mana pernah pergi jauh tanpa ditemani keluarga Kolonel Ahmad Sahadan dan abang-abangnya.

Pendek kata, aku tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

Lagi pula, aku adalah anak emas ayah dan emak.

Sekarang? Anak emas inilah yang telah buat onar pada ayah dan emak. Terdetik juga dekat hati perasaan bersalah atas apa yang aku buat ini. Tentu mak risau. Ayah? Tak tahulah nak cakap perasaan ayah. Marah gila-gila agaknya. Walaupun sebenarnya ayah jarang marah dekat aku. Kali ini? Harap-harap ada ampun dari ayah dan emak untuk anak bongsunya ini.

Masa beli tiket, aku hanya nampak perkataan Alor Setar. Aku beli kemudian naik bas. Tidur sepanjang jalan. Dan, akhirnya... di sinilah aku.

Takkan aku nak tidur dekat hotel bajet aje. Duit tunai dalam tangan adalah lima ratus ringgit Malaysia. Itu pun aku agak-agak cukup untuk belanja tempoh selama satu minggu. Dibuatnya aku kena rompak, naya hidup! Buat masa sekarang, aku tidak mahu menggunakan kad ATM aku. Risau kalau boleh meninggalkan jejak. Yelah, abang ngah aku seorang pegawai bank. Tentu tahu macam mana mahu mengesan aku.

Cuti kahwin aku satu minggu. Tapi, aku akan tambah lagi satu minggu. Tempoh bertenang untuk aku mengadap mak dan ayah. Cukup satu minggu saja aku melarikan diri, nanti minggu depan aku balik semula ke rumah. Masa tu kalau aku kena halau sekalipun, aku reda. Ada juga masa lagi satu minggu untuk aku cari rumah sewa.

Aku keluarkan telefon. Nombor baharu. Nombor yang lama telah selamat aku patahkan kad simnya. Alang-alang mahu lari, kita buat betul-betul. Ye tak? Aku buka aplikasi Instagram. Mujurlah, tiada siapa-siapa dalam ahli keluarga aku yang tahu tentang akaun kedua aku yang aku daftarkan dengan identiti samaran semata-mata mahu stalk Asif.

Aku scroll setiap kawan-kawan yang aku ada.

Mataku terpaku pada gambar yang diletakkan oleh pemilik akaun AkuSuha. Cantiknya pemandangan yang menghijau. AkuSuha? Siapa ya... Jenuh aku telek akaun Instagram AkuSuha untuk mengenalpasti pemiliknya. Pap, aku tepuk peha sendiri. Jiran lama aku masa kami sekeluarga duduk dekat Lumut. Aku sendiri pun tak ingat, bila masa aku dan dia saling kenal dalam Instagram.

Lama dah kut. Sebab aku suka tengok gambar-gambar pemandangan, jadi aku secara tak sengaja jadi followers dia. Bila kenal lagi, rupa-rupanya dia adalah jiran lama aku. Jodoh sungguh kami berdua. Jumpa dalam Instagram.

Laju aku menaip pesanan untuk Suha melalui Instagram.

'Mai la Sara!'

Kampung Tanah 100! Itu nama kampong Suha. Ada dia tawarkan untuk ambil aku, tapi aku tolak. Konon, taka da thrill kalau nak berjemput segala bagai. Gigihlah aku install aplikasi Grab dan minta pemandu Grab hantar aku ke sini. Ada jugalah rungutan tapi sanggup juga dia hantar aku. Malas aku nak panjangkan cerita. Aku bayar kut. Kalau dia macam-macam, aku bagi kadar satu bintang, cukup!

Aku tebarkan pandang. Nampak sawah bendang aje. Rumah pun sebuah-sebuah. Ada sungai dan tanah ban merah. Rumah Suha yang mana satu ya? WhatApps yang baharu aku install, aku masukkan nombor Suha yang dia bagi dekat Instagram.

Nak WhatApps atau aci redah aje?

Kata nak thrill, barulah betul-betul aktiviti melarikan diri. Kasi surprise pada Suha. Okay, kita redah ajelah. Paling-paling pun, takkanlah sampai ke Vietnam kalau sesatpun.

Pemandu Grab tadi meninggalkan aku atas ban merah ini. Aku berdiri atas jambatan batu sebelum menuruni langkah jalan kecil yang muat-muat untuk laluan motosikal saja. Ada tiga buah rumah yang berjarak juga. Salah satunya, tentu rumah Suha.

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku seka peluh yang berjejer dengan hujung selendang. Boleh tahan terik juga. Jam di tangan aku kerling. Pukul tiga petang. Aku melewati sawah-sawah bendang yang sedang menghijau. Masya Allah, cantiknya. Selalu tengok dalam Instagram aje, kali ini depan mata sendiri.

Sekonyong-konyong, ada sebatang tubuh yang sedang terbaring merentasi jalan yang sedang aku lalui ini. Makin aku mendekat, makin jelas pada pandangan mataku. Topi yang serupa topi apek jual sayur itu digunakan untuk menutup muka. Elok sahaja aku sampai depan lelaki itu, teragak-agak aku untuk meneruskan langkah. Mahu disergah atau macam mana ya?

Dibuatnya orang itu adalah seusia ayah, kemudian kena serangan jantung? Haa sudah, cari masalah betul namanya. Silap haribulan, aku pula makan nasi kawah ni. Kalau aku langkah aje, nampak sangat kurang sopannya. Mak ayah tak ajar aku macam tu. Tetap aku kena jaga nama baik mak ayah juga.

"Pakcik... Ooo... pakcik." Aku melaung. Mana tahu orang tu pekak. Lagipun dia tengah sedap tidur. Kalau aku panggil perlahan aje, mana dia nak sedar. Ker orang gila? Gulp, aku telan liur. Mati aku kalau orang gila. Kalau dia kejar aku, mana aku nak lari? Kalau aku kena bunuh dengan orang gila ni... Isk, aku belum sempat minta ampun dekat mak ayah lagi!

Okay, perlahan-lahan aje angkat kaki.

Minta maaf ya, terpaksa kurang sopan!

Aku angkat kaki. Baru mahu letakkan kaki kanan ke sebelah sana, tiba-tiba langkahku jadi sumbang bila tubuh itu segera bangun. "Arghhh!!!" Aku hilang imbangan tubuh. "Mak!!!"

Bedebush!

Mataku pejam. Terasa basah separuh tubuhku. Lencun tubuhku. Bunyi menceburan tadi menyakitkan hati aku!

Aku mendongak. Memandang sang kejam itu. Oh lelaki rupanya. Dasar lelaki tiada timbang rasa. Aku mencemik. Dengan susah payah, aku cuba untuk bangun. Dalam keadaan kalut-kalut, mataku menangkap satu benda hitam sedang bergerak atas lengan bajuku. Membuntang mataku. Terhenti segala kelakuan tadi.

Benda itu bergerak dengan cara menjengkal tubuhnya. Rasa seperti tersejat darahku!

Antara berani dengan tidak, aku cuba memegang benda itu. Tubuhnya hitam bagai tiada tulang. Aku bawa ke depan mata. Seumpama aku kena kejutan elektrik, bila aku tersedar. Ini, kan...

"Lintah!"

Spontan aku mengibas tanganku. Entah ke mana benda itu terbang pergi. Aku angkat kaki tinggi. Cuba untuk keluar dari sawah bendang ini. Tubuh yang sedang memerhatikan aku tanpa suara itu, aku rempuh. Dan, sekarang kedua-duanya...

Bedebush!!!

Merisik RinduWhere stories live. Discover now