Kerana Cinta Memilih Kamu|Epi 2

1.5K 120 20
                                          

Episod 2

Mak sua cawan berisi air tea o suam kepadaku. Aku sambut dan meletakkannya di sebelah aku. Pada mak, aku senyum. Terasa tawar senyuman yang ada. Hilang manis-manis, langsung tiada sisanya.

Hujung minggu, seperti selalu di sinilah aku. Minggu ini, minggu kedua aku hidup dengan gelaran janda. Bunyi menggerunkan, hakikatnya... Biasa aje. Nak kata aku kuat sangat, tipulah. Ada masanya aku akan menjadi cengeng. Pantang ada masa terluang, jauh memori aku berjalan mengenang segala kenangan indah antara aku dan Wafi.

Tak mahu terus larut dengan kesedihan, aku akhirnya mengambil cuti beberapa hari dari taska. Aku sibukkan diri dengan mengaji Al-Quran. Kata mak, apa pun jadi hidup kena diteruskan. Ini, hujung minggu aku singgah di sini. Mungkin sampai hari Rabu barulah aku akan balik semula.

Memandang wajah mak dan abah, bagaikan ada semangat untuk aku meneruskan hidup ini. Cerita tentang '... talak satu' antara aku dan Wafi sudah sampai ke pengetahuan mak dan abah. Wafi sendiri yang memberitahu sekaligus memulangkan semula aku kepada keluarga.

Kata abah, Wafi ambil aku dengan cara elok dan dia lepaskan aku juga dengan cara elok. Gentleman. Walaupun hakikatnya, hanya satu peratus sahaja sifat gentleman itu. Selebihnya...

Biarlah hanya aku dan tuhan sahaja yang tahu.

"Kak long duduklah sini." Mak pelawa aku. Semalam abah cakap perkara yang sama juga. Aku geleng, pun dengan jawapan yang sama juga. Bibirku tersenyum kelat melihat keletah anak-anak Kak chik yang bertiga itu. Bergurau senda dengan abi mereka sampai terlentang terguling. Mengenangkan seseorang yang sedang kini menjadi sebahagian diriku, hati ini dipagut rasa sayu.

Kesian anak ibu...

Taka pa, ibu ada.

Ingat, ibu ada untuk anak ibu.

"Taka pa mak. Kak long duduk rumah tu saja."

"Wafi sudah keluar?" Mak bertanya dengan muka ingin tahu. Aku angguk. Kata Wafi, rumah itu dia berikan kepada aku sebagai hadiah. Rumah pertama yang aku dan Wafi beli dengan gaji kami. Hinggakan dua tahun berikutnya, aku dan Wafi betul-betul mengikat perut. Hari-hari kami bawa bekal ke tempat kerja. Naik motosikal yang dia bawa dari kampung. Dia hantar aku ke taska sebelum dia ke tempat kerjanya. Pulang pula dia mengambil aku.

Kata Wafi, biar taka da kereta janji ada rumah untuk berteduh.

"Wafi tinggal mana sekarang?"

"Rumah dia satu lagi." Balasku, mak mengangguk faham. Wafi cakap dia pindah ke rumah yang lagi satu. Rumah pangsapuri yang Wafi beli setelah hidup kami stabil. Rumah itu disewakan, untuk menjana pendapatan sampingan. Tapi, mungkin penyewa sudah keluar agaknya. Hal rumah itu aku malas nak ambil tahu. Itu rumah Wafi!

Sejak kami berpisah, aku menjadi dingin dengan Wafi. Biarpun aku nampak Wafi buat macam biasa, tetapi aku tidak boleh. Maaf kalau aku katakan, untuk apa aku berbuat baik dengan Wafi lagi. Cukuplah dengan apa yang jadi.

"Mama Wafi ada telefon mak. Menangis betul mak mentua kak long."

"Bekas mentua, mak." Aku betulkan panggilan itu. Mak terdiam. Kemudian kami sama-sama senyum kelat. Mak tahu perangai anak sulungnya ini. Kalau sudah keras hati, apa pun memang takkan dikisahkan.

"Tetap mama kak long juga."

Aku diam.

"Ada mama Wafi telefon kak long?"

Aku angguk. Sehari selepas aku dan Wafi berpisah, mama Wafi menelefon aku. Menangis dan minta maaf atas kesilapan anaknya. Walhal, apa yang menyebabkan Wafi buat keputusan macam tu, sampai sekarang aku masih tak tahu.

Mak termenung.

Kesian mak. Mesti mak sedih sebab orang buat anak mak macam ni.

"Sepatah pun Wafi taka da buka mulut pasal sebab dia nak berpisah dengan kak long."

"Dah takdir, mak." Balasku pendek. Untuk apa nak mengarang cerita, cukuplah aku katakan aku semakin belajar untuk reda dan menerima yang Wafi bukan lagi menjadi kesayangan aku.

"Ini sudah pergi daftar kat mahkamah ke belum?"

Aku menggeleng. Entah kenapa, Wafi macam sengaja mahu melambat-lambatkan pula. Hari tu masa nak menjatuhkan talak, tidak sabar-sabar. Sekarang, bila mahu sahkan... Dia pula banyak ulahnya. Dua tiga kali juga aku ajak dia, eh... macam-macam alasan dia. Sudahnya, aku jadi malas.

Kalau kena denda, aku suruh aje Wafi yang bayarkan!

"Eddah yang ada ni, kak long fikir-fikirkanlah. Itu gunanya masa eddah supaya suami isteri boleh bermuhasabah keputusan yang diambil. Sepatutnya Wafi dengan kamu, masih boleh duduk serumah lagi sampailah habis masa eddah."

Timbul perasaan bersalah kerana aku telah merahsiakan tentang kandunganku ini. Kalaulah mak dan abah tahu... Belum masanya lagi untuk aku membuka rahsia yang satu ini. Aku belum bersedia. Tunggulah aku kuat sedikit waktu lagi. Masa itu, aku yakin. Aku akan mampu untuk hadap apa sahaja yang akan datang.

"Mungkin, ini yang terbaik untuk kami berdua."

Mak pegang dan gengam erat tanganku. "Mak dan abah akan sentiasa sokong walau apa pun keputusan kak long. Ingat dan jangan pernah lupa, kak long hilang suami tapi kak long takkan hilang mak, abah dan adik-adik." Pesan mak aku sambut dengan hati yang lapang.

Aku tahu, keluarga aku sangat-sangat sayangkan aku.

Ya, aku mungkin hilang suami. Tapi aku takkan pernah hilang keluargaku!

Sayup-sayup kedengaran suara azan berkumandang. Sudah waktu asar rupanya. Aku pandang mak, mak pandang aku. Kami diam, menghormati waktu azan. Sambil itu, ingatan aku melayang pada tukang azan itu.

Mendengar suaranya mengalunkan azan, hatiku dipagut sebak.

Ya, ada sisa rindu untuk dia.

"Jom kita solat kak long. Lama mak tak dengar suara tu azan." Tahu, mak juga rindukan menantu kesayangannya itu.

"Jom, mak." Aku sama-sama bangun dari pangkin.

Kami sama-sama tahu siapa si pengalun azan itu.

Terdetik perasaan, aku rindukan dia.

Rupanya kami tidak jauh. Tetap juga dekat biarpun terpisah.

Aku dan Wafi, kami sekampung.

Mak dan mama Wafi, rakan baik sejak kecil lagi.

Aku dan Wafi, jatuh cinta sejak kecil!

Jadi, bagaimana aku mahu membenci dia sedangkan sejak aku kenal dunia aku juga kenal Wafi?

Merisik RinduWhere stories live. Discover now