Jalan-jalan Cari Cinta|Part 1

2K 116 12
                                          



Pukul 3.30 pagi! Puas aku bergolek ke kiri dan ke kanan atas katil pengantin ini. Tetap sama juga. Sepicing pun aku tidak dapat melelapkan tidur. Mustahil disebabkan oleh bantal dan cadar katil yang sudah ditukar baharu ini. Kalau yang namanya Sara Imani, pantang letak kepala atas bantal. Tidak sempat cukup seminit, pasti sudah lena.

Sesekali terdengar batuk yang dilepaskan ayah di beranda rumah. Suara abang-abang aku yang bertiga juga kedengaran. Tentu-tentu sedang bincang hal kenduri kahwin esok hari. Selalunya begitulah. Kalau esok ada majlis kenduri, malamnya mesti ayah dengan abang-abang lambat tidurnya.

Aku bangun dari posisi berbaring. Sengal-sengal tubuhku ini. Jari jemari yang sepuluh ini aku tayangkan di depan mata. Cantik betul warna merahnya. Merah yang memikat hati. Ditambah dengan ukiran henna yang ringkas sahaja. Kak Zahra pun cakap, cantik sangat. Tapi... hati aku yang tidak cantik bila teringat hal yang itu.

'Asif, Zahra sanggup korbankan kebahagiaan sendiri untuk adik Zahra.'

Aku silakan kaki. Kedua tangan kubawa menongkat muka. Termenung.

Sebaris ayat itu sejak aku terbaca dekat paparan telefon Kak Zahra, asyik muncul dekat dalam kepala. Langsung tidak mahu keluar. Buat aku rasa mahu gila! Patutlah selama ini, ada saja gerak hati yang tidak enak tentang Asif. Beria-ria aku menidakkan segala instinct itu. Fikir, ia Cuma gangguan perasaan dan dugaan semasa bertunang. Yelah, orang kata masa bertunang inilah banyak kejadian akan berlaku dan menguji hati. Sebab itu orang-orang tua tak nak panjangkan tempoh bertunang.

Tiga tahun aku menjadi tunangan lelaki pilihan keluargaku, Asif Muhaimin.

Tiga tahun aku menunggu detik untuk bergelar suri hati kepada lelaki yang pertama mengajar aku tentang rasa suka. Tiga tahun aku jadi penunggu setia bila Asif menyambung belajar di The University of Sheffield, Sheffield. Aku tenang-tenang saja bila Asif di sana kerana kebetulan Kak Zahra sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah juga ada di sana. Aku letakkan seluruh kepercayaan pada Kak Zahra untuk jadi spy aku.

Akhirnya, bersepai!

Siapa sangka, ada cinta yang tumbuh mekar antara dua manusia itu sepanjang mereka di sana.

Aku tak marah pun bila terbaca pesanan WhatApps itu. Jujur, aku rasa lapang dada. Yang aku marah adalah kenapa Asif dan Zahra nak berahsia. Berterus-terang sajalah. Kan senang! Ini mereka buat macam aku jahat sangat. Haih, geramlah!

Semalam pun aku sengaja tanyakan Asif, betul ke dia mahu meneruskan acara akad nikah kami? Dia jawab, mahu. Tapi, aku tahu hakikatnya dia berat hati. Mungkin hanya kerana mahu menjaga maruah keluarga sebab keluarga kami rapat.

Dia ingat ini remark filem Kuch kuch hota hai ke?

Aku-Asif-Zahra.

Entah apa alasan logic yang sampai Kak Zahra sanggup nak berkorban begitu sekali. Terasa bersalah sebab telah terjatuh cinta dekat tunangan adik sendirikah. Masa jatuh cinta, tak ada ke terfikir pasal adik ni? Sejak aku tahu tentang hal ini, aku terfikir kenapa Asif boleh jatuh cinta dekat kak Zahra.

Mungkin disebabkan kak Zahra yang berusia lima tahun lebih dari Asif itu lebih matang jika nak dibandingkan dengan aku. Nuha Zahra, adalah kakak seibu denganku. Ketika itu emak seorang janda yang kematian suami dan memiliki seorang anak, manakala ayah pula duda beranak dua. Ayah pinang mak untuk dijadikan isteri. Lalu lahirlah abang cik dan aku.

Yang jadi soalannya, kenapa Asif tidak mahu berterus-terang? Sedap-sedap main cinta dengan Kak Zahra, tup-tup mahu menikah dengan aku pula. Terfikir juga, Asif ni betul-betul ke saling sayang menyayangi dengan Kak Zahra? Atau dia sebenarnya hanya nak main-main. Kalau betullah Asif ni Cuma nak main-main saja dengan Kak Zahra, memang aku marah!

Merisik RinduWhere stories live. Discover now