Jalan-jalan Cari Cinta|Part 3

1.3K 113 8
                                          

"Dengan lintah pun takut." Suara garau yang tenor tadi sudah menurun ke baritton. Aku pejamkan mata. Lintah kut! Cara dia menjengkal-jengkal itu ya Tuhan, geli. Nasib malang sungguh bila lintah itu mendarat elok dekat pipi aku. Silap haribulan, aku boleh demam terkejut. Boleh mimpi ngeri aku nanti!

"Dah... Dah... Yang hang pi peluk kaki aku lama-lama buat apa!" Bagai terasa-rasa lagi si lintah itu menjengkal-jengkal atas kulitku. Aku pejamkan mata. Tak nak buka mata, geli gila. Aku peluk lagi erat pada betis lelaki ini. Biarlah dia gila sekalipun, itu lebih baik dari aku kena kejar dengan lintah. Eh kejap, lintah pernah kejar orang ke?

Terdengar dengusan tidak puas hati. "Dah... Lintah tu aku dah buang. Tengok, mana ada dah pun." Dia memujuk tetapi dengan nada keras. Aku tidak termakan dengan kata-katanya itu. Makin kuat aku peluk betisnya. Terasa tangannya yang menolak tanganku yang langsung tidak berganjak dari betisnya.

"Ya Allah budak ni... mangkit la. Aku dah hawing lintah tu masuk dalam bendang tu."

"Tipu!"

"Baik hang mangkit lekaih. Sat lagi mai ulaq senduk, ligan hang, baru padan muka. Aku tak mau tolong. Biaq hang kena patuk dengan ulaq tu." Ya Rabbi, ular pula dia sebut. Kali ini aku celikkan mata juga. Antara ular dengan lintah, itukan sedara juga.

Sebelah tangan naik meraba pipi. Kosong. Jadinya betullah lintah itu sudah hilang entah ke mana-mana. Aku lepas nafas lega. Pun begitu dadaku masih lagi berdebar sakan.

"Lekaih la. Sat lagi orghang tengok, mampoih. Tak pasai-pasai jadi cerita hat tak elok." Aku pandang mukanya yang langsung tiada senyum. Huh, dasar lelaki kejam. Aku ni perempuan kut. Logiklah aku takut dengan haiwan-haiwan macam tu.

Aku lepaskan pelukan pada betisnya kemudian merangkak untuk menegakkan tubuh. Dia langsung tidak membantu. Semuanya aku usaha sendiri. Berbakul-bakul aku menyumpah lelaki ini. Betul, dunia semakin pupus dengan spesis lelaki budiman. Yang ada semua tak boleh pakai!

Macam lelaki di depanku ini!

Aku telek tubuh sendiri. Lencun separuh tubuh dengan air selut bendang. Tempat aku tercebur tadi sudah lunyai. Macam kena serang saja. Kesian tuan punya sawah. Minta maaflah, chek tak sengaja.

"Ini dah serupa bini Shrek yang suka main keleboq tu." Gumam dia sambal tertawa menyakitkan hati. Haih. Suka hati dia saja mahu kata aku ni serupa Fiona, bini Shrek tu. Dia nak cakap aku gemuklah tu. Perumpamaan bini Shrek dengan aku, ini dah boleh dikata body shiming. Kurang ajar betul!

Tengok muka yang separuh bertutup dengan topi apek jual sayur meyakinkan aku, lelaki ini lebih tua dari aku. Mungkin boleh aku kategorikan dia sebagai pakcik. Hidung mancung dan kulitnya sawo matang. Haila, laki siapa la agaknya pakcik ni.

"Saya ni lawa kut dari bini Shrek tu. Mata pakcik tu rabun." Aku balas kata-katanya sambal tangan membersihkan segala kotoran selut yang melekat. Tak sangka, generasi macam pakcik ini pun boleh terjebak dengan siri kartun Shrek itu. Hmm... dunia oh dunia.

"Sapa lawa? Hang, ka?" Aduhai, pakcik ni memanglah. Tengah panas begini, lagi dia nak kasi hati aku bengkak. Karang kalua aku terdebik, belum sempat asar aku sudah kena halau dari kampung Suha ini. Kan?

"Saya tau la saya tak cantic macam isteri pakcik. Tapi, janganlah nak samakan saya dengan bini Shrek tu." Tuturku perlahan. Sungguh, aku terasa hati sebenarnya. Dulu masa aku terlebih comel, ramai menghina tubuh fizikal aku. Serupa sangat dengan ayat yang pakcik ni guna.

Merisik RinduWhere stories live. Discover now