Bab Lapan

3.5K 86 0
                                    


ALNA memberus rambutnya. Sudah setahun rambutnya itu dibiarkan panjang hingga ke pinggang. Warna rambutnya agak perang sedikit, mewarisi warna rambut arwah mamanya.

Alna keluar dari bilik setelah selesai menocang rambutnya.

"Hmm, nak balik rumah tok pun nak melawa ke?" tanya Encik Ammar sambil menggeleng kepala.

Anak daranya yang seorang ini suka benar melawa.

"Penampilan penting, abah."

Alna kenyitkan matanya kepada Encik Ammar.

"Bagi abah, kalau Alna tutup rambut tu lagi lawa," kata Encik Ammar sambil senyum.

Dia dan arwah isterinya tidak pernah menyuruh Alna menutup auratnya. Dibiarkan saja. Bila sudah dewasa begini, payahlah si anak mahu mengikut cakap.

"Abah dah masukkan beg Alna dalam kereta ke?" tanya Alna apabila melihat begnya sudah tiada lagi di tepi pintu itu.

Encik Ammar hanya mengangguk. Begitulah Alna bila disuruh menutup auratnya. Diam dan beralih topik. Tidak tahulah dia apa yang Alna fikirkan.

Ford Ranger abahnya itu dihampiri lalu dibuka pintunya. Diletakkan beg tangannya di atas kusyen kereta. Tidak sabar mahu berjumpa dengan tok yang hanya dilawatinya ketika cuti sekolah. Selebihnya dia terlalu sibuk. Tak tahu apa yang disibukkan di sekolah dan di rumah. Orang suka mencipta seribu alasan. Orang zaman sekarang hanya hidup dalam alasan saja.

Perjalanan selama dua jam itu agak memenatkan. Alna melelapkan matanya. Dia hanya tersedar ketika abahnya menolak bahunya.

Terpisat-pisat Alna membuka matanya. Dia berkalih ketepi. Bibir tua tok sudah tersengih di depannya.

"Tok!" Alna menjerit. Dia membuka pintu kereta. Turun saja dari kereta dia terus memeluk tubuh toknya.

"Hmm, tidur sampai tak sedar dah sampai," tegur toknya yang lebih mesra dikenali dengan nama Tok Ah. Tok Ah membelai-belai belakang cucu kesayangannya ini.

Satu kampung memanggilnya dengan panggilan Tok Ah.

"Tok ada masak apa-apa ke?" tanya Alna sambil memeluk lengan toknya.

Mereka berdua beriringan menuju ke pangkin yang terletak di bawah rumah toknya. Kata tok, dia sayangkan rumah atas tersebut yang dibina sendiri oleh arwah tok wan, walaupun sudah ada rumah batu yang disambungkan dengan rumah tradisional tersebut. Sebab itulah rumah papan itu masih kukuh berdiri.

"Banyak yang tok masak. Abah Alna tu dua hari sebelum balik dah senaraikan apa yang dia nak makan," kata Tok Ah sambil mengerling anak lelakinya.

Encik Ammar tergelak kecil.

"Abah yang lebih terujanya. Orang ajak balik duduk kampung dia tak nak," juih Alna.

Dia lebih suka tinggal di kampung dengan toknya. Udara pun bersih saja.

"Kedai perabot abah tu, abah sayang nak tinggal," balas Encik Ammar.

"Macamlah abah tak boleh buka kedai perabot kat kampung," cebik Alna.

Encik Ammar ketawa.

Tok Ah menepuk lengan Alna, memberi isyarat mengajak Alna masuk ke dalam rumah.

"Kuih talam tok memang sedap sejak dulu. Rugi betul kita tak tinggal kat kampung, abah."

Alna mengerling abahnya.

"Nantilah bila abah dah kerepot macam tok, kita balik duduk kat sini," ujar Encik Ammar sambil mengunyah kuih talam.

Sejak kecil dia merasa kuih talam ini. Tidak pernah berubah rasanya.

ALNA hanya berdiri melihat Tok Ah yang sedang memegang batang kail. Matanya juga asyik meliar melihat kalau-kalau ada pacat yang naik ke kakinya.

"Duduk pun tak apa, Alna. Kat sini tak ada pacat. Hari-hari tok datang mengail kat sini," tegur Tok Ah apabila dilihatnyaAlna masih lagi teragak-agak.

"Risaulah tok. Alna geli kalau pacat sudah kenyang. Lebih baik berjaga-jaga sebelum pacat gigit Alna sampai kenyang."

Alna menyengih.Dalam hati membuak-buak keinginan untuk duduk. Kerana hobi Tok Ahnya itu adalah hobinya juga.

Setelah memastikan tempat tersebut memang tiada pacat, barulah Alna duduk. Batang kail dipegangnya.

"Kan elok macam tu. Tok dah dapatikan separuh tong, Alna baru nak mengail."

Tok Ah menggelengkan kepalanya. Alna menyengih.

"Tok tak nak datang ke rumah abah ke?" tanya Alna.

Dia menoleh sekilas kepada toknya. Sebelum jawapan keluar dari bibir toknya, dia menjerit kerana umpannya sudah dimakan ikan. Ikan puyu sebesar tiga jari terkodek-kodek di hujung kail.

Tok Ah geleng kepala melihat Alna yang teruja.

"Tok, Alna tanya tadi ni..."

"Tok malas nak tinggalkan rumah ni kosong. Tak pernah lagi tok tinggalkan rumah ni selepas tok wan meninggal. Alna dan abahlah balik sini," ujarnya sambil senyum.

"Kalau tok sakit atau demam,siapa nak tolong tengok?"

Alna tak puas hati.

"Anak-anak saudara tok ada kat sini," ujarnya lagi.

Alna diam. Terlalu payah hendak memujuk toknya tinggal dengan mereka. Orang tua itu pandai mencipta alasan. Sudahnya, walaupun berkali-kali memujuk, Alna tetap tidak berjaya.

Kau Yang KutungguWhere stories live. Discover now