Bab 2

105K 4.3K 320
                                    

versi baru

belum edit

MALAM itu di ruang tamu, Mikael sibuk menghadap kertas-kertas forum dan kuiz para pelajarnya. Sesekali cermin mata yang melurut jatuh ditolak ke pangkal hidung. Meja kopi bersepah dengan kertas-kertas yang berselerak dan komputer riba miliknya. Sampai dah tak ada ruang.

"Minum dulu, Mika." Nek Mah muncul dengan satu muk minuman. Lekas-lekas Mikael mengemas meja. Kertas-kertas disusun rapi lalu diletakkan ke tepi. Tak mahu perkara tak diingini berlaku kepada kertas-kertas kerja tersebut. Contohnya, basah terkena tumpahan air. Well... malang tidak berbau.

"Banyak lagi ka kerja hang tu?" Nek Mah duduk di atas kerusi belakang Mikael. Berkerut-kerut mukanya memandang skrin komputer riba Mikael.

"Dah nak siap dah, nek. Sikit aje lagi," jawab Mikael. Telinga muk dicapai lalu penuh cermat dia mencicip minuman panas yang dibancuh Nek Mah. Untuk beberapa minit masing-masing diam tak bersuara. Mikael meneruskan kerjanya manakala Nek Mah sekadar memerhati. Sengaja dia tak buka televisyen. Tak mahu menganggu kerja cucunya itu walaupun Nek Mah tahu Mikael tak kesah pun kalau buat kerja dengan televisyen yang terpasang. Tak terganggu sedikit pun fokusnya.

"Petang tadi nenek pi sembang-sembang dengan Che Bunga," tiba-tiba Nek Mah bersuara. Mahu mengajak Mikael berbual sebenarnya.

"Nenek sembang apa aje dengan Opah?" sekilas pun Mikael tak menoleh pandang Nek Mah yang duduk di belakangnya. Tangannya sibuk menanda kertas-kertas kuiz sambil sesekali jarinya menekan-nekan papan kekunci komputer riba.

"Dia habaq cucu dia yang dok nuyok tu nak balik mai duduk sini," ceirta Nek Mah. Spontan Mikael ketawa.

"New York la, nek. Apa pula nuyoknya?" terhinjut-hinjut Mikael ketawa. Pap! Bahunya ditampar lembut.

"Alah, janji bunyi nak dekat-dekat sama." tercebik bibir Nek Mah. Dia ni orang tua. Manalah reti nak sebut New York tu betul-betul.

"Iyalah, nek. Nuyok pun nuyok la..." tergeleng Mikael. Asal boleh faham sudah la bunyinya.

"Cucu dia tu anak sulung Nani. Hang ingat dak lagi kat budak tu?" tanya Nek Mah. Pelipis Mikael bergaris. Dia menoleh memandang Nek Mah untuk beberapa saat.

"Tak perasanlah pula, nek. Lagipun, dia orang duduk kat New York tu nak dekat dua puluh tahun dah, kan? Dan dia orang pun jarang balik sini," balas Mikael. Tiga tahun dia menetap bersama Nek Mah di kampung, rasanya jarang sekali cucu-cucu Opah yang duduk dekat luar negara itu pulang ke kampung. Kalau pun mereka pulang ke sini, mesti dia tak ada.

"Alah, yang sulung tu. Waktu kecik-kecik hampa biasa dok main sekali," Nek Mah cucuk-cucuk bahu Mikael. Mikael garu pipi.

"Tak ingatlah, nek. Dekat dua puluh tahun kut. Memori zaman kanak-kanak Mika dah loss," Mikael menyengih bila Nek Mah tarik muka. Memang taklah dia nak ingat balik memori zaman kanak-kanaknya dulu. Dengan siapa dia berkawan dan macam mana rupa kawannya, manalah dia nak ingat balik semua itu.

"Lawa budak tu, Mika. Che tunjuk gambaq dia kat nenek tadi. Muka putih tak macam muka melayu kita. Agaknya sebab lama sangat dok kat luaq negara kot noh? Tu muka ikut orang sana," terbayang-bayang kembali raut wajah Rhea yang Nek Mah tengok dekat telefon bimbit Opah. Nama sahabatnya itu Che Bunga tapi Mikael panggil wanita itu dengan panggilan Opah.

"Dia habaq kata cucu dia tu nak mai sambung mengaji kat sini. Dia nak sambung mengaji kat kolej hang kot, Mika?" bersungguh-sungguh Nek Mah bercerita tentang cucu Opah yang dikatakan lawa itu. Muka tak macam orang melayu katanya. Alahai.

"Nek, bukan kolej Mika aje ada kat sini. Berlambak-lambak!"

"Lah, mana la nak tau kot kena kat kolej hang. Boleh la nanti hang tengok-tengokkan budak tu. Dia bukannya tau apa benda kat sini. Hang pi la kawan dengan dia. Bawak dia ronda-ronda naik bot ka?" terlipat leher Mikael memandang Nek Mah bersama kerutan yang menghiasi wajahnya.

"Bawa dia ronda-ronda naik bot? Apa nenek ni? Ingat kita orang budak-budak ke?" pap! Sekali lagi bahu Mikael ditampar lembut oleh Nek Mah.

"Budak tak budak. Dah la, nenek masuk lena dulu. Hang tu jangan nak berjaga sampai ke lewat malam sangat. Tak elok," Nek Mah bangkit lalu menghilang ke dalam bilik tidurnya. Hilang kelibat Nek Mah, Mikael menghela nafas panjang. Nenek... nenek. Cucu jiran sebelah nak balik kampung pun nenek dah bising. Itu baru cucu jiran. Kalau cucu sultan, entah-entah satu kampung Nek Mah bising. Heh.

SAYU Rhea memandang dua buah bagasi besar yang disandarkan pada dinding. Matanya meliar memandang kamar tidurnya yang sudah dikemaskan. Habis barang-barangnya disumbat ke dalam bagasi. Esok pagi, dia akan terbang pulang ke Malaysia. Meninggalkan ahli keluarga kecilnya di sini. Ah... Rhea sebak. Rasa nak menangis sekali lagi.

"Kakak..." Rhea toleh memandang ke arah pintu bilik. Shea dan Dhea melangkah masuk. Katil Rhea dipanjat.

"Kakak dah habis kemas barang?" tanya Shea. Rhea mengangguk bersama senyuman kelat. Kemas barang dengan hati yang berat sebenarnya. Mustahil dia mahu menukar fikiran di saat-saat akhir. Dia sudah bersetuju untuk pulang menemani Opah di kampung. Sebelum ini Mak su Hazwani yang duduk menemani Opah. Tapi beberapa bulan yang lepas, Mak su Hazwani terpaksa tinggalkan Opah kerana mengikuti suaminya yang merupakan seorang anggota tentera berpindah ke Sarawak. Jadi sekarang ni, Opah tinggal sendirian. Tok Wan pula dah lama meninggal.

"Kak Rhea janganlah sedih-sedih. Kita orang promise akan selalu ajak mama dengan papa balik Malaysia." tutur Dhea pula. Rhea tertawa kecil. Dua orang adiknya itu merupakan pasangan kembar berusia sembilan belas tahun. Beza usianya dengan mereka adalah lima tahun.

"Kita orang akan rindukan Kak Rhea. Even kadang-kadang Kak Rhea ni annoying. Suka marah-marah, suka membebel, suka mengarah orang, suka..." Dhea gigit lidah bila mata Rhea dah mencerun memandang ke arahnya. Ops!

"Suka apa lagi?" tanya Rhea dengan nada monoton.

"Hehe. Itu aje," tak berani Dhea nak menyambung apa-apa. Rhea punya sepitan ketam boleh tahan berbisa. Tiga hari pun belum tentu bekas sepitan ketam Rhea hilang.

"Kita orang mesti sunyi bila Kak Rhea dah takde dengan kita orang nanti. Dah takde yang nak buatkan nasi goreng sedap dekat kita orang pagi-pagi. Dah takde yang nak tolong kita orang siapkan homework," Shea pula meluah. Rhea ketap bibir. Hesy... sejak bila pula adik-adiknya ni reti nak berayat sendu dengannya? Ini yang dia tak boleh ni!

"Hari-hari kita face time, okay?" Dhea dah menggenyeh matanya yang dah basah. Terus Rhea menarik tubuh Shea dan Dhea ke dalam pelukannya. Dapat dia rasakan tubuh kedua-duanya bergegar. Air mata yang sedari tadi ditahan akhirnya merembes keluar. Rhea juga tak mampu menahan tangisnya. Maka, menangislah ketiga-tiga dara sunti itu sambil berpelukan.

"Kau orang jangan lupakan kakak tau? Kakak sorang-sorang kat sana," sebak suara Rhea.

"Alah, Opah kan ada. Mesti tak sunyi punya kalau duduk dengan Opah yang banyak mulut tu." selamba saja Dhea mengata Opah mereka. Rhea dan Shea serentak ketawa.

"Kau orang jangan malas-malas pulak! Tolong mama kemaskan rumah, memasak. Jangan susahkan mama dan ayah. Jangan lawan cakap dia orang. Jagakan dia orang untuk kakak, tau!" pesan Rhea. Serentak Shea dan Dhea mengangguk.

"Kakak akan rindukan kau orang kat sini,"

"We too!"

Disebalik pintu yang terbuka, Encik Rafael dan Puan Hanani tegak berdiri memandang puteri-puteri mereka itu. Bukan niat mereka mahu memisahkan Rhea dan si kembar. Tapi sudah tiba masanya Rhea pulang menemani Opah di Malaysia. Sudah tiba masanya Rhea membiasakan diri untuk hidup di tanah air setelah sembilan belas tahun menetap di New York. Mereka tak selamanya akan berada di sini. Setelah selesai tugasan Encik Rafael di kota metropolitan ini, mereka akan pulang juga ke tanah air.

Lecturer Sebelah Rumah | TerbitWhere stories live. Discover now