18

6.3K 465 11
                                    

"Abang? Abang buat apa tu?"

Suara Aikha yang menegur membuatkan aku tersentak. Cepat-cepat aku menyimpan semula kit ubat aku ke dalam beg kamera.

Aku berdehem sedikit, cuba meneutralkan suara. "Minum air, sayang. Aikha kenapa tak tidur? Dah malam ni,"

"Aikha mana boleh tidur kalau tak minum air. Kan Aikha minta tolong abang ambilkan air tadi. Abang lama sangat dekat dapur, Aikha cari abang la ni,"

Gelas kaca di tangan aku dia capai sebelum meneguk habis air yang tinggal separuh.

Melihat bidadari cantik di sisi aku dengan perut yang sudah menonjol membuatkan hati aku sayu sendiri. Aikha... cubaan apa lagi ini? Entah untuk abang sahaja atau untuk kita?

"Abang, kenapa termenung lagi ni?"

Aku berkelip memandangnya. "Hah? Tak ada apa-apa,"

Aikha menarik nafas dalam. Wajahnya yang beriak selamba tadi kini sedikit bengang.

"Abang... cuba pandang Aikha betul-betul. Cakap dengan Aikha, abang ada masalah apa sebenarnya ni? Dah lama tau Aikha perhati, abang selalu space out, tak fokus, macam sedih je. Kalau abang ada masalah, abang kongsilah dengan Aikha. Jangan pendam sorang-sorang,"

Ludah aku telan pahit. Luahan Aikha merobek jantung aku. Aku tak sanggup nak luahkan kesakitan ini. Aku takut... dia akan tinggalkan aku. "Aikha,"

"Atau abang sebenarnya dah bosan dengan Aikha?" tebaknya berbeza pula.

Aku semakin dicengkam keliru. Apa maksud Aikha?

Barangkali melihatkan kerutan tidak faham di dahi aku, dia menyambung lagi. "Cakap dengan Aikha, abang ada perempuan lain ke? Sebab Aikha dah gemuk, abang dah bosan dengan Aikha?"

"Sayang, Aikha cakap apa ni? Sayang tengah mengandung tau, tak baik marah-marah, tuduh bukan-bukan macam ni," pujuk aku, cuba menepis tuduhan tak berasasnya. Perutnya yang sedikit membuncit aku elus lembut sebelum dia menolak tangan aku.

"Aikha bukan tuduh! Abang tu yang selalu nampak sedih, nampak gloomy, macam mana Aikha tak fikir bukan-bukan? Is it that sad by just looking at me?!"

Tersentak aku mendengar kesayanganku ini meninggikan suara. Namun lebih tersentak melihat tangan aku ditepis dari menyentuh perutnya. Dari menyentuh anak kami.

Wajahnya aku tatap tajam. Entah mengapa, bergetar tangan aku yang ditolaknya tadi.

"Memang, memang abang ada masalah. Dan boleh tak Aikha jangan tambahkan masalah abang dengan buat perangai macam ni? Abang penatlah!"

Aku berpaling dan menuju ke balkoni, menutup rapat pintu gelungsur sebaik sahaja keluar. Langit malam yang mendung aku tatap marah.

Entah marah pada siapa. Aikha? Aku sendiri? Atau pada Tuhan?

Tuhan.

Menyebut perkataan itu, seluruh tubuh aku bergetar. Bukan kerana bayu malam yang meniup, bukan kerana marah yang berapi-api. Hanya kerana ketakutan yang menjalari, kerapuhan yang memamah diri.

Seperti baru dikejut untuk bangkit, lalu jatuh berkecai tatkala tersedar.

Allah.

Sudah berapa lama aku lupakan Kau? Sudah berapa lama aku ingkari Kau? Adakah halangan demi halangan untuk aku capai bahagia ini balasan dari Kau?

Kenapa Kau ambil Luna dari aku? Kenapa kau berikan aku sakit ini ya Allah? Apakah ini dugaan atau balasan?

Dan akhirnya, aku terduduk di lantai, bersandar pada rel, mempersoalkan takdir. Keputusasaan seperti menjemput aku.

"Selepas banyak ujian kita lakukan dan reference pada pakar, berat hati saya nak sampaikan pada encik. Encik menghidap young onset Alzheimer's,"

Aku memandang doktor itu tidak percaya. Alzheimer's? "Saya muda lagi. Tak mungkin saya ada penyakit macam ni! Family saya pun tak ada yang nyanyuk,"

"Maaf, encik. Sebab tu kita panggil young onset. Alzheimer's yang terjadi pada golongan muda. Penyakit ni bukan sahaja disebabkan genetik. Mengikut kajian terbaru, concussion pun boleh menyebabkan Alzheimer's untuk jangka masa panjang tapi selain itu, banyak lagi punca boleh terjadi penyakit ni.

"Encik jangan risau. Buat masa sekarang, encik masih menghidap mild Alzheimer's. Kita boleh suppress dengan bantuan ubat-ubatan dan terapi,"

"Suppress, but no cure?" aku menyoal perlahan.

"Maafkan saya, setakat ni, belum ada-"

Maaf.

Buat apa doktor tu nak minta maaf? Dia ke yang sebabkan aku kena penyakit ni? Dengan maaf dia tu boleh menarik semulakah sakit ini?!

Sumpah aku takut dengan penyakit ini. Perlahan-lahan aku akan melupakan. Perlahan-lahan aku akan menjadi tak berdaya. Perlahan-lahan aku akan menjadi tak berguna.

Apabila saat itu tiba, adakah Aikha masih akan berada di sisi aku? Adakah dia mampu bersabar dengan aku?

Lalu apa? Menunggu diri ini menua dan sepanjang itu, menyusahkan Aikha untuk seluruh hidupnya?

Lama aku berteleku si balkoni. Memikirkan segala kemungkinan, menimbang tara segala keputusan. Tetapi yang paling membuat aku terpuruk, merefleksi segala perbuatan. Buat sekian kalinya aku mempersoalkan pada Tuhan.

Apakah ini dugaan atau balasan?

Dengan berat aku memaksa diri untuk bangkit dan melangkah ke bilik. Aikha aku lihat sudah berbaring dan menghadap ke dinding. Barangkali dia menangis sebelum tertidur.

Berlalu ke bilik air sambil melintasi katil, bahu aku terasa jatuh apabila menghembuskan nafas. Entah nafas semata atau bersama keluhan tanpa sedar.

Selesai membersihkan diri seadanya, wudhu' aku ambil berhati-hati. Sekadar yang wajib kerana itu sahaja yang aku tahu. Muka, tangan, anak rambut, dan kaki.

Sebaik sahaja keluar dari bilik air, aku mulai mencari-cari di mana sejadah yang selalu aku nampak Aikha gunakan. Ya, Aikha isteri yang baik. Tunaikan tanggungjawab bukan sahaja pada aku, tetapi yang lebih utama pada Tuhan. Bukan dia tak berusaha mengajak aku, namun aku yang kerap mengabaikan dengan seribu satu alasan.

Malique tak guna.

Namun setelah menjumpai tikar solat, sekali lagi aku termangu. Aku tak tahu pun arah kiblat di rumah sendiri.

Wajah yang masih separa basah, aku raup dengan telapak tangan. Namun semakin basah jadinya, malah bertambah hangat.

Malique, kau lalai.

Metafora BahagiaWhere stories live. Discover now