14

6.8K 499 58
                                    

Terlambat.

Keajaiban tak berlaku dalam kisah aku.

Di saat aku sudah hampir benar mencapai tangannya, tubuh kecil itu melambung di hadapan aku. Aku yang turut menerima impak daripada kereta itu sempat tercampak ke tepi dengan hentakan di kepala pada jalan tar.

Aku tak peduli. Walaupun tubuh aku limbung, aku segera berlari ke arah Luna. Anak aku.

"Luna!!!"

Tergeletak tidak bermaya disimbahi darah. Aku tarik tubuh kecilnya ke dalam pelukan. Hangat.

Dan kemudian, duniaku bagai terjungkir balik. Segalanya terasa tidak nyata. Dari suara kekecohan orang sekeliling, tubuh mungil Luna yang dikejarkan ke bahagian kecemasan, tangisan pilu Aikha, ucapan maaf bertubi-tubi dari mulut Zed, dan pernyataan doktor tentang keadaan Luna, semua terasa tidak nyata.

"Maaf, kami sudah cuba sedaya-upaya tetapi anak encik dan puan tidak dapat diselamatkan. Allah lebih menyayangi dia. Sekali lagi, kami minta maaf,"

Suara pilu Aikha yang meraung hinggap di telinga aku. Segera aku balas pelukannya yang sedang tersedu-sedan di dada aku.

Aku tak mampu nak mengeluarkan satu patah kata pun untuk memujuk Aikha, aku tak bereaksi. Batin aku bagai menjerit menafikan kenyataan doktor ini.

Dia menipu. Dia sedang menipu. Jangan-jangan doktor ini bersubahat dengan Zed supaya Zed boleh melarikan Luna daripada aku dan Aikha.

Namun tuduhan itu hanya mampu tersangkut di tenggorok. Tak terluah kerana logik aku yang ternyata masih ada menolak keras teori itu apabila melihat Zed turut menangis frustasi.

Oh Tuhan, jika ini mimpi, bangkitkan aku dari mimpi ngeri ini.

Namun seperti yang aku kata, dalam kisah aku, tiada keajaiban. Ini bukan mimpi.

Mengangkat takbir buat solat terakhir puteri kecilku, bukan mimpi.

Menggendong tubuh berkafannya ke tanah perkuburan, bukan mimpi.

Meletakkannya ke dalam lahad, bukan mimpi.

Dan melihat tubuh mungil itu ditimbus... tolonglah kejutkan aku dari mimpi ngeri ini! Aku merayu.. tolonglah... TOLONG!

Katakan pada aku, ini mimpi.

Aku terlepas melihat dia membesar sejak dia di dalam rahim hingga berumur 4 tahun. Dan saat aku fikir aku akan dapat melihat darah dagingku tumbuh hingga dewasa, mengapa Tuhan begitu kejam mencabut rakus angan-angan aku?

Apa pendosa seperti aku tidak layak berimpian?!

JAWAB AKU WAHAI TUHAN! APA PENDOSA SEPERTI AKU TIDAK LAYAK UNTUK BAHAGIA?!!

Jikalau benar, lalu mengapa Engkau mewujudkan keinginan itu? Mengapa Engkau mewujudkan harapan itu.

Saat bertemu Luna, saat dapat bersatu dengan Aikha, aku terasa seperti sebuah gelas kristal yang diangkat tinggi. Menjulang. Pemenang.

Tetapi aku lupa, gelas ini bisa terlepas. Jatuh terjunam menghempas lantai.

Lalu berkecai. Persis seperti aku.

"Papa tahu anak menantu papa kuat," ujar lelaki tua ini sambil menepuk bahu aku. Aku membiarkan ucapan itu bagai angin lalu.

Tak ada daya untuk menjawab.

Gudukan tanah yang masih basah ini aku sentuh dengan hujung jari. Seperti menyentuh puteriku di hujung hayatnya. Seperti tidak terasa.

Daddy minta maaf, Luna. Daddy terlambat.

Tanpa bicara, aku bangkit dari dudukku di pinggir pusara ini sebelum turut menarik Aikha bangun. Walaupun tanpa rela, Luna harus kami lepaskan.

Tetapi ketika kami berpaling ingin meninggalkan pusara ini, Zed sudah menanti di pertengahan laluan.

"Puas hati?" soalan sinis itu tidak keluar dari mulut aku melainkan Aikha sendiri. Matanya tajam menatap Zed.

"Kau mengarut apa ni, Aikha? Kau ingat aku happy Luna pergi? Luna pun anak aku la-"

"Dah la, Zed, aku muak!" pantas Aikha menyela ucapan Zed. "Aku muak bila kau tak habis-habis claim Luna sebagai anak kau, dia anak aku la! Kau tak dengar ke talkin tadi? LUNA AMYRA BINTI NUR ZULAIKHA!"

"Aikha..." seru Zed melirih sambil cuba memeluk adiknya namun Aikha keras menepis.

Wanitaku ini menghela nafas dalam sebelum sebuah lagi tatapan tajam dihadiahkan buat abangnya. "Kau dengar cakap aku ni betul-betul, simpan dalam otak kau rapat-rapat, Zed. LUNA MATI SEBAB KAU,"

Dan kami terus meninggalkan Zed yang termangu. Entah apa yang bermain di fikirannya dengan ucapan Aikha, namun ketika aku menoleh sedikit memandangnya, lelaki itu sudah terduduk sayu tengah-tengah tanah perkuburan ini.

Perjalanan kami pulang ke rumah terus disampuk bisu. Aku dan Aikha, masing-masing tenggelam dalam khayalan. Dan salah satu khayalan gila aku ialah memandu kereta ini di dalam laluan bertentangan agar kami sama-sama mati dan dapat berjumpa Luna.

Hahahahaha... aku dah gila ke? Mungkin.

Apabila sudah sampai ke rumah, Aikha buat hal dia, aku buat hal aku. Kemanisan perkahwinan kami selama dua minggu ini bagaikan hilang begitu sahaja.

Aku berendam lama di dalam tab mandi, cuba menjernihkan kembali fikiran. Cuba membasuh akal bagi mencari kembali logik yang tersorok di celah kabut perasaan.

Dan saat aku sudah terasa sedikit lega, aku keluar dari kamar mandi, berpakaian dan terus tertidur. Mereka kata tidur ini ialah escapism termudah.

Namun aku kembali terjaga setelah tidur entah berapa lama. Yang pasti keadaan sekeliling sudah gelap dan aku tidak melihat sosok Aikha di dalam bilik ini.

"Aikha," aku memanggil lembut. Tiada sahutan.

"Aikha, sayang," barangkali di kamar mandi? Tidak ada.

Aku menyibak rambut yang terjuntai di dahi kebelakang. Rasa kantuk bagaikan hilang apabila dada aku berdebar tak sekata. Tanpa sebab.

"Aikha, Aikha dekat mana, sayang?"

Pintu bilik aku tarik dan keluar dari kamar. "Aikha! Ai- Aikha!!!" seru aku terbata apabila melihat dia di balkoni. Dengan kedua-dua belah kaki di atas rel balkoni.

"Abang," panggilnya lembut sambil tersenyum. Senyumannya aku kenal. Senyuman penuh rasa sakit.

"Aikha nak buat apa ni, sayang?"

"Aikha nak capai bahagia. Dan untuk itu, kami perlukan keajaiban, Mal. Jauh mencari keajaiban itu, rupanya sudah berada di depan mata,"

Kakinya naik rel yang lebih tinggi.

"Aikha, no! Turun, sayang. There's no such thing as that kind of miracle,"

Dia tak hiraukan aku. Hanya tersenyum getir sebelum mengucapkan, "We love you, Malique,"

Dan tubuh itu mencondong ke bahagian luar koridor.

"AIKHAAAAA!"

Percaya atau tidak, sekali lagi aku terlambat.





Sorry chapter ni cam emo and tak banyak dialog. Aku harap korg dapat rasakan Malique as much as I do 💖💖

Metafora BahagiaWhere stories live. Discover now