Bonus

191 29 1
                                    


.

.

.

Berdentum-dentum guruh dan hujan berirama pada lewat malam itu. Tersedar dek bunyi kuat itu, Haera cuba untuk lelapkan mata kembali dengan menyelimuti badan hingga ke paras leher tapi tak berhasil. Kilat pula sesekali kedengaran menyambar. Sisi katil yang kosong dipandang. Dengan longlai, Haera bangun keluar untuk mencari kelibat si suami.

Kelihatan Kyungsoo sedang duduk melunjur di atas sofa ruang tamu sambil membaca sebuah buku. Hati Haera terdetik lega sambil dia melajukan langkah. Usai menghampiri, dia terus duduk dan termengguk di atas paha Kyungsoo; menyambung lelap.

Kyungsoo mengalihkan pandangan dari buku ke Haera dengan riak terpinga. "Kenapa ni, Haera?" soalnya dengan bimbang.

"Hujan kilat.. Saya tak boleh nak tidur sorang. Tapi takpe, awak sambunglah baca buku tu." jawab Haera; membelakangi wajah Kyungsoo yang menggeleng kecil.

Keluhan kecil Haera terhembus. Mengantuknya sudah hilang dan sekarang dia tak dapat pejamkan mata. Telefon bimbit yang sempat diambil bersama tadi dihidupkan.

Kyungsoo mengintai dari sebalik buku bila dia mendengar Haera ketawa kecil. Keningnya mengerut hairan. Mulanya, Kyungsoo hanya ingin endahkan namun ketawa pendek Haera itu meletus lagi. Dia tengah chat dengan siapa? "Yah, kepala awak beratlah. Pergi tidur sana. Bising je."

Haera yang ingin mengusik, mencerunkan mata pada Kyungsoo. "Kenapa? Jealous lah tu." Dia tertawa kecil.

Kyungsoo membuat muka tak berperasaan dan kembali pada buku.

"Aiy, come on. Awak tak nak tahu kerr?"

Buku itu diturunkan daripada menghalangi muka Kyungsoo.

"Ni." Haera menyuakan skrin telefon pintarnya ke Kyungsoo yang memaparkan beberapa gambar Kyungsoo semasa kecil. Membundar mata lelaki berkenaan. "Alolo, comelnya~ Kan?"

"Dari mana awak dapat gambar semua ni?!" Suara Kyungsoo seperti kalut dan ia menyebabkan Haera tersengih. Dia cuba merampas telefon itu tapi Haera sempat mengelak. Nampak Kyungsoo sudah bangun dari posisi melunjur, Haera segera melarikan diri diiringi ketawa sambil dikejar Kyungsoo.

"Haera!"

Si pemilik nama terus melompat ke atas katil dan menyorokkan diri di dalam selimut tebal dengan sengihan.

.

.

.

Luhan dengan senyuman malu datang menghampiri pasangan muda Do yang menunggu di sisi meja tetamu. Luhan dan Kyungsoo yang segak mengenakan sut saling berjabat tangan dan berpelukan.

"Tahniah, Luhan!"

"Kau pun, Kyungsoo. Tak sangka kau dah akan jadi ayah tak lama lagi."

Luhan yang bergelar pengantin baru, menoleh ke sebelah Kyungsoo. Matanya memandang perut Haera yang memboyot di sebalik gaun labuh yang tersarung dan Luhan melakar senyuman pada rakannya itu.

"Tahniah, Luhan." ucap Haera dengan lembut. Berpelukan ringkas dua sahabat baik itu.

"Wah, lain betul kau sekarang. Penuh keibuan. Nak menangis aku." Air mata palsu Luhan lap dengan hujung kot yang dipakai. "Kalau dulu, boleh patah tulang aku dipeluk kau."

Bahu Luhan Haera tampar perlahan. "Kau ni kan."

Kasihan juga Luhan melihat keadaan Haera sekarang yang semakin sarat. Lesu saja mukanya. "Apa-apa pun, aku tetap sayangkan kau, Haera. Aku harap proses bersalin kau akan berjalan dengan lancar lepas ni."

"Aku pun berharap macam tu, Luhan." Kecil senyuman Haera, tanda tenaganya makin melemah.

"Kau duduklah dulu. Aku kena jumpa tetamu lain." Sempat Luhan memandang Kyungsoo sebelum beredar, "Jaga Haera baik-baik."

Si suami segera mengangguk dan memimpin bahu Haera untuk perlahan-lahan melabuhkan punggung ke atas kerusi yang disediakan.

.

Sebaik mereka melangkah masuk ke dalam kondominium, Kyungsoo memimpin Haera ke sofa untuk berehat. "Mari saya urutkan kaki awak."

Tidak membantah, Haera didudukkan dalam keadaan melunjur. Di hujung sofa, Kyungsoo duduk dan meletakkan kaki Haera ke atas pahanya lalu diurut lembut. Kelakuan si suami mendatangkan senyuman tawar pada Haera. Lelaki itu tak pernah gagal daripada menyentuh hati dengan setiap perkara yang dilakukan demi dirinya. Dialah si penguat semangat.

.

.

.

Suis lampu dipetik dan cahaya terang mula menerangi ruang tamu gelap. Dia yang baru sahaja pulang dari bekerja mengimbas keadaan sekeliling. Sekujur tubuh yang lena di atas sofa menerpa penglihatan. Menggeleng kecil, dia melangkah menghampiri.

"Appa.. Sejuk tidur kat luar ni.. Tidurlah kat dalam bilik, appa." Haesoo menggoncang bahu si ayah yang tak berselimut dengan perlahan-lahan. Kesihatan si ayah yang sudah menjangkau usia separuh abad agak membimbangkan Haesoo. Malam musim hujan seperti ini agak dingin, dan Haesoo tak nak si ayah mendapat sakit.

"Appa..."

Haesoo mula tak sedap hati.

"Pa."

Dia merendahkan badan untuk melihat wajah si ayah dengan lebih dekat. Bibir si ayah yang dahulunya memerah, kini sudah bertukar pucat.

"Appa!"

Tak lama kemudian, bunyi ambulan bergema di lobi kondominium itu.

.

.

.

"Kyungsoo.."

Si pemilik nama menoleh dan Haera mengarahkannya untuk mendekati dengan tangan didepa. Beransur-ansur Kyungsoo beranjak dari tempat duduknya. Kaki Haera pula dijatuhkan, menyentuh lantai dengan perlahan-lahan. Kyungsoo merangkul tubuh Haera ke dalam rangkulan dan Haera merehatkan kepalanya di atas bahu Kyungsoo. Belakang mereka disandar pada sofa yang empuk. Jari jemari mereka kemas disulam dan Kyungsoo melentokkan kepalanya ke kepala Haera.

"Saya mengantuk.."

"Tidurlah.. Saya akan teman awak.."


Hujan [Do Kyungsoo]Where stories live. Discover now