Cabaran 3 Fantasi Element

31 15 12
                                    

Tempat Ketiga : nqlynes

Starry

Semuanya bermula pada malam itu.

Isnin, jam 0000.

Malam musim sejuk. Namanya saja sejuk, tapi masih tak dapat meresap ke tanganku yang mengawal unsur api ini. Aku dari puak Nnar, puak pengawal unsur api.

Aku boleh memanipulasikan api mengikut kemahuanku. Bagi seorang Nnar bertaraf Alpha, aku boleh menggunakankan api biru, dan mengawal kadar oksigen dalam api yang aku manipulasi.

Puak Nnar bekerja pada musim panas, musim bunga dan musim luruh. Tapi tak pada musim sejuk. Mereka berehat pada musim tersebut, atau dalam kata lain, Puak Nnar berhibernasi pada musim sejuk.

Mana-mana Nnar yang berjaga pada musim sejuk akan mati. Seorang Nnar tak boleh hidup pada suhu negatif. Ini disebabkan jangka hayat Nnar yang bergantung pada kepanasan. Sebab itulah bangsa Nnar tak pernah demam. Lagi tinggi suhu persekitaran kami, lagi tinggi juga tahap metabolisma yang kami ada.

Tapi pesoalannya sekarang...

Kenapa aku ada di sini?

Dibawah bulan yang membawa musim sejuk, satu-satunya musim bekerja bagi bangsa Syata', bangsa pengawal unsur ais dan angin.

Ini tak betul.

Aku sepatutnya berada bersama rakan-rakanku, Ike dan Alex di Gua Firr. Kami perlu berehat sepanjang musim sejuk di situ, menghabiskan sisa-sisa waktu kematian dengan mimpi. Itu yang patut kami lakukan.

Itu yang patut aku lakukan sekarang.

Macam mana aku boleh berada di sini?

Brrr..

Sejuk. Aku sudah mula merasakannya. Terasa beku segala tulang rusukku. Badanku pula menggeletar. Aku menarik hoodieku ke atas, berharap kesejukkan ini dapat dikurangkan.

Aku tak pernah ada pengalaman dengan kesejukkan. Tak pernah terlintas di benak fikiranku untuk berada di situasi ini. Kehidupan seharianku hanya disibukkan dengan berlatih, memburu, belajar dan bermain.

Asing sekali rasanya. Perbezaan sejuk dan panas umpamanya seperti langit dan bumi. Itulah yang aku belajar. Kini aku percaya kata-kata tuan guruku itu, kerana aku sedang mengalaminya sekarang.

Tapi aku tak suka.

Aku mahu lari. Lari sejauh-jauhnya dari langit yang menurunkan salji. Ini bukan musim aku, bukan juga tempatku.

Walaupun kakiku kebas, aku gagahkan juga untuk berdiri. Tanah berselimutkan salju putih aku jejak. Perlahan-lahan aku mengatur langkah.

Daripada duduk di dalam hutan bersalji sambil memikirkan kenapa dan bagaimana, aku rasa mencari jawapan untuk persoalan tersebut lebih berbaloi. Tak ada gunanya pun kalau terus menanti. Aku sendiri yang perlu berusaha mencari.

Setapak demi setapak aku melangkah. Berharap dapat mencari mana-mana pangkalan ataupun kampung. Aku pasti hutan yang aku jejaki sekarang berada berdekatan dengan kawasan petempatan.

Mungkin malam ini nasibku baik. Suara orang ketawa dan bergembira sayup-sayup kedengaran di telingaku. Aku mengikuti suara-suara ketawa tersebut. Bunyi musik dan paluan gendang kedengaran makin jelas di telingaku.

Akhirnya, aku tiba di sebuah perkampungan yang agak meriah. Kelihatan para wanita dan lelaki sedang berseronok menari mengelilingi debu pancut ais. Ya, ya. Aku tahu nama yang kuberikan agak pelik. Tapi bagaimana lagi mahu aku terangkan? Rupanya seperti air pancut, tetapi yang bezanya ia memancutkan debu ais.

"Hei!" Sergahan dari seseorang mematikan lamunanku. Aku menoleh ke punca suara tersebut.

Seorang lelaki berambut perang menjamah mataku. Dia memakai baju sejuk berbulu, dan sebilah dagger yang tersemat rapi di pinggangnya.

Aku agak terpinga-pinga apabila disergah begitu. Aku hanya memberi pemuda tersebut satu senyuman. Dia memandangku dari atas me bawah untuk seketika.

"Kau ni orang baru, eh? Tak pernah nampak pun sebelum ni?" Soalan cepumas yang keluar dari mulutnya menyentakkan aku. Patutkah aku berterus terang?

"Y-ya...baru je sampai.. erm, boleh aku tahu, ni perkampungan apa ya?" Aku pula yang mengajukan  soalan. Lelaki berambut perang tadi memberikan aku senyuman yang lebar.

"Patutlah tak pernah nampak! Apapun, nama aku Rave, pengawal unsur angin dan ais. Ni kampung Bard, kampung bangsa Syata'. Malam ni malam keraikan kami sebelum bekerja esok. Alamaklumlah, hari ni kan hari pertama musim sejuk," terangnya panjang lebar. Dari gayanya, aku dapat tahu yang dia ni seorang yang peramah, seorang yang banyak cakap.

"Ooh...,"

Itu sahaja balasan yang dapat aku berikan. Aku sejuk. Sejuk sangat sekarang. Aku tak rasa aku boleh bertahan lama.

"R-rumah kau ada bilik kosong tak? B-boleh aku tumpang sehari dua...?" Aku bertanya sambil menggigil. Hoodie merah yang kupakai ditarik bagi menutupi badanku. Aku tak tahu berapa lama lagi aku boleh bertahan. Walaupun aku ni Nnar bertaraf Alpha, aku masih tak tahan pada suhu negatif. Mahu keluarkan api pun sangat susah bagiku.

"Kau ni kenapa? Apesal menggigil teruk sangat ni? Kau ni bangsa apa? Nabid? Khar?" Bertubi-tubi Raven memberi soalan. Tapi satu pun aku tak boleh jawab. Aku sejuk sangat.

Kakiku terasa lemah. Aku terduduk. Raven pun ikut sekali. Dia memegang bahuku, bertanya kenapa dengan aku. Melihat aku yang tak mampu memberi sebarang respon, dia menyarungkan jaketnya padaku. Lalu, dia mendukungku pergi dari situ.

"Kau ni siapa sebenarnya?" Tanyanya sambil berlari dengan aku di belakangnya.

"Nnar..." jawabku perlahan.

"HAH?!"

Langkahnya terhenti.

TIC Challenge ( DIVISION )Where stories live. Discover now