BAB 12: Kemenangan?

190 33 18
                                    


"Pakcik, tolonglah fikir sekali lagi. Jangan sesekali buat keputusan yang terburu-buru. Seira tak nak Pakcik jadi penjenayah!" Seira cuba menghalang pergerakan bapa saudaranya daripada keluar rumah. Namun lelaki itu langsung tidak menghiraukan rayuan anak saudaranya malah terus berlalu.

"Pakcik!" tempik gadis itu. Encik Musa berpaling sambil menghela nafas berat.

"Seira, terima kasih sebab risaukan Pakcik tapi ini demi menegakkan keadilan Seira. Bukan ke kamu sendiri yang cakap kita mesti tegakkan keadilan. Sebab tu kamu nak jadi pendakwa raya bukan?" Seira terdiam. Wajahnya masih lembab dengan air mata.

'Tapi ini bukan caranya!' Getus hati gadis itu.

"Jadi, kamu janganlah halang Pakcik. Pakcik harap apabila kamu jadi pendakwa raya kelak, jangan biarkan penjenayah macam ni berkeliaran lagi. Tegakkan keadilan! Seperti kamu cuba tegakkan sekarang. Maaf Seira, kamu jangan risau sebab Pakcik yakin Kay berada di pihak yang benar." Selesai menghabiskan kata-katanya, dia terus berlalu meninggalkan Seira yang terpaku mendengar kata-kata bapa saudaranya itu. Kakinya mula terketar-ketar kerana menahan sebak yang amat sangat. Akhirnya dia rebah terlutut di lantai simen itu.

'Kay, tolong. Tolong sedarkan Pakcik aku!'

Entah mengapa dia kini mengharapkan Kay pula yang akan menyedarkan bapa saudaranya sedangkan lelaki itu yang mendorong bapa saudaranya untuk bersubahat. Dia hanya mampu menangis teresak-esak di situ. Memorinya mengimbau kembali saat bagaimana ayahnya meninggalkan dia dan ibunya terkapai-kapai tanpa tempat untuk bergantung. Dia sudah lama terseksa. Buku lima digenggam erat. Sampai sekarang ayahnya masih lagi menghilang tanpa berita.

***

Wanita yang bernama Amy itu tersenyum menampakkan sedikit garis-garis halus pada wajahnya yang kian menginjak usia. Sambil mengerling jam di tangan dia berjalan mundar-mandir dia hadapan staf-stafnya.

Tidak lama lagi Bob akan menelefon dan memberitahunya bahawa terdapat RM 300 ribu di dalam akaun simpanan miliknya. Walaupun hatinya tidak terlalu yakin namun mahu tak mahu dia terpaksa percaya kerana dia sudah kehilangan RM 150 ribunya secara tunai sebentar tadi.

Baru lima minit tadi Kay datang untuk mengambil wangnya sebanyak RM 150 ribu secara tunai. Pada mulanya dia berasa agak berat hati juga untuk mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM 150 ribu hasil daripada penyelewengannya selama ini, namun kata Kay, walaupun syarikatnya tidak mendapat wang untung sebanyak RM750 ribu seperti yang dijanjikan dalam tempoh yang terdekat, biarlah syarikat mereka mendapat RM 150 ribu iaitu separuh daripada wang yang dilaburkan terlebih dahulu atas alasan wang yang mereka laburkan terlalu banyak, jadi RM 150 ribu sudah cukup untuk meyakinkan mereka bagi meneruskan pelaburan ini.

Amy terpaksa bersetuju biarpun hatinya berasa agak berat. Apalah yang hendak dirisaukan sangat kalau setakat rugi RM 150 ribu. Lagipun selepas ini dia akan mendapat jumlah wang yang lebih banyak iaitu RM 300 ribu. Keyakinannya turut bertambah apabila ketika Kay masih lagi di pejabatnya untuk berbincang, Bob menelefon dan memberitahu bahawa dia telah menerima cek daripada seorang lelaki yang bernama Saigon. Kalau dia tak silap lelaki itulah yang dimaksudkan sebagai setiausaha Kay. Setelah itu, barulah dia bersetuju dan membiarkan sahaja Kay meminta diri dengan hati yang riang.

Kring! Kring!

Telefonnya mula berbunyi. Dengan teruja ganggang telefon diangkat dan panggilan itu segera disambut.

"Hello! Bob, macam mana? Kita kaya kan? Yeay!" dia menjerit dengan penuh teruja di corong telefon. Namun, Bob senyap tanpa sambutan. Hanya keluhan yang kedengaran.

DISTURBIA Where stories live. Discover now