sebelum segalanya bermula-part 6

254 38 10
                                    

Pagi itu, Kay bangkit daripada tidurnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia mengambil kain tualanya dan berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri seterusnya bersiap-siap hendak ke sekolah. Melihat jam di tangan, dia tahu waktu itu sudah lewat. Dengan perasaan cemas dia menyarung pakaian sekolah. Dia tidak pernah selewat itu ke sekolah. Tergesa-gesa dia menuruni tangga.

"Mak, Kay pergi dulu!" dia menjerit namun tiada balasan yang diterima. Langkahnya terhenti. Lagaknya seperti menyedari sesuatu. Dia berpaling ke arah dapur. Sunyi. Kawasan ruang tamu juga sunyi. Saat itu, dia kembali berpijak kepada realiti.

Terasa lemah lututnya saat itu. Kay terjelopok di hadapan pintu. Sudah sebulan berlalu, dan hampir setiap hari dia melakukan perkara yang sama. Hatinya masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa keluarganya sudah tiada. Bagaimana dia ingin teruskan hidup?

Laju cecair jernih itu mengalir di pipinya. Dia rindukan ibunya. Dia rindukan adiknya dan dia rindukan ayahnya yang dahulu. Bagaimana semuanya mampu hilang dalam satu malam sahaja? Dan ketika itu, dia baru sahaja ingin membuka peluang buat dirinya sendiri.

"Argh!" Kay menjerit sekuat hatinya. Dia tidak peduli jika ada jiran tetangga yang terganggu dengan frekuensi suaranya yang tinggi itu. Dia kini hidup sebatang kara. Tiada lagi orang yang akan memberikan kata-kata semangat kepadanya setiap kali hendak ke sekolah dan tiada lagi teman untuk membonceng basikalnya. Dia keliru. Apa yang berlaku sebenarnya? Fikirannya kembali terbang ke sehari sebelum ayahnya hilang tanpa berita.

Siapa lelaki yang selalu datang berjumpa dengan ayahnya? Dia mulai perasan akan sesuatu perkara yang dia sendiri terlepas pandang selama ini. Matanya dipejam dan tidak sampai dua saat, dia kembali mengingati wajah lelaki itu. Segalanya, termasuk perbualan mereka dan amaran terakhir ayahnya mengenai lelaki itu bagaikan terakam di mindanya.

"Kay, kamu...kamu, ayah minta tolong sangat. Jangan dekati lelaki tu. Tolonglah, ayah merayu!". Terngiang-ngiang suara ayahnya di minda.

Kay menggenggam buku limanya. Tidak syak lagi. Itulah lelaki yang telah memusnahkan hidupnya!

Pak!

Pak!

PAK!

Bunyi detakan kasut itu semakin mendekat. Kay melepaskan pegangan tangan pada kepalanya. Wajahnya diangkat. Seorang lelaki berkot hitam dan bertopi hitam serta bercermin mata hitam berdiri di sisinya. Boleh dikatakan, penampilan lelaki itu serba hitam. Gayanya seperti orang kaya. Kay langsung tidak mengenali lelaki di hadapannya. Dia bangun dari duduknya. Air matanya sudah lama kering namun, wajahnya yang sembab jelas menunjukkan bahawa dia baru sahaja lepas menangis. Lelaki itu tersenyum mesra. Kay hairan. Siapa lelaki ni?

"Selamat sejahtera. Saya Saigon, penaja kamu dari restoran de' Bucceau. Ingat saya?" Saigon menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Kay. Teragak-agak Kay menyambutnya. Oh, inikah orang yang menajanya selama ini? Dia tidak sangka penajanya akan mencarinya sampai ke sini.

"Sa..saya Kay. Err..." Kay tidak tahu hendak menjelaskan keadaan dirinya saat itu. Dia masih belum bersedia dengan kehadiran tetamu buat masa ini, namun lelaki itu tetap dilayannya dengan sopan.

"Err, silalah masuk." Kay menjemput lelaki itu. Saigon mengangkat tangannya memberi isyarat 'tidak mengapa'.

"Urusan kita sebentar sahaja. Kay, saya dengar, sudah sebulan kamu tidak ke sekolah." Kay tidak tahu bagaimana hendak membalas kata-kata lelaki itu. Dia faham, sebagai seorang penaja, pasti dia mengambil berat akan kualiti orang yang dibiayai itu agar dapat menjamin keuntungan di masa hadapan.

DISTURBIA Where stories live. Discover now