BAB 11

183 28 4
                                    


Seorang lelaki muda bercermin mata dan bersut pejabat berjalan dengan tenang sambil menjinjing briefcasenya. Bangunan sederhana besar itu dilihat dengan bermacam-macam pandangan.

Hari ini cuaca agak panas sedikit berbanding semalam, telahnya. Setelah menarik nafas yang panjang dia berjalan masuk ke dalam bangunan tersebut dengan penuh yakin. Seorang pelayan di kaunter pertanyaan segera menyambut kehadirannya dengan kata-kata yang lembut dan senyuman yang menawan.

"Selamat datang encik. Boleh saya bantu?" wanita itu bersuara.

Heh,menjadi betul lakonan mereka! Dia tersengih dalam diam.

Setelah menyatakan tujuan urusannya hari itu kepada wanita tersebut, dia diminta untuk tunggu di lobi terlebih dahulu. Kay mengambil tempat di sebuah sofa yang disediakan. Terdapat beberapa buah majalah dan komik di situ. Tanpa membuang masa, Kay mencapai satu majalah bisnes dan sebuah komik. Dalam diam, dia membaca komik. Orang yang melihat pasti akan menyangka yang dia sedang menelaah tentang bisnes dan syarikat pelaburan daripada majalah bisnes tersebut. Tabiat suka membacanya tak akan pernah hilang. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri buat seketika, cuba menghayati plot cerita yang diterjemahkan melalui lukisan.

Hampir 15 minit lamanya dia menunggu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an mampir dengan senyuman yang mesra sekali. Meskipun wajah Kay kelihatan seperti remaja baru cukup umur namun dia cuba mematangkan wajah. Kay menyambut senyuman tersebut dan menunduk dengan penuh hormat. Sambil menguji psikologi mangsanya kali itu, sempat lagi tanda nama wanita itu dikerling. Sekadar untuk memastikan itu ialah orang yang betul.

Amy Amalia. Hmm, boleh tahan cantik namanya tapi tak tahulah jika nama itu tetap kelihatan cantik pada seseorang yang berhati busuk.

"Hai, I'm Amy." Wanita itu tersenyum mesra sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam. Tanpa berlengah, Kay menyambut salam wanita itu. Mereka sama-sama tersenyum.

"Encik ni ke yang telefon semalam?" Amy menyoal. Kay tersenyum dan mengangguk.

"Jadi ada apa-apa yang kami boleh bantu?" soal wanita itu lagi. Ehem,ehem. Kay membetulkan suaranya.

"Sebenarnya, saya baru sahaja dilantik menjadi CEO di syarikat ayah saya. Err, ini kad bisnes saya." Kay menghulurkan sekeping kad sebagai alat untuk memperkenalkan dirinya. Dengan sopan Amy mengambil kad tersebut. Dia melihat penuh teliti dan lama salinan kad tersebut sebelum menyimpannya di dalam poket blazernya.

"Saya bercadang untuk melabur dalam syarikat ni. Boleh terangkan sikit apa kelebihan yang syarikat ni tawarkan?" Kay menyoal sambil membetulkan cermin matanya.

"Oh, yang itu Encik Kay tak payah risau sebab syarikat yang encik pilih ni menawarkan peluang yang terbaik dalam banyak-banyak syarikat pelaburan yang lain. Sebentar ya, saya keluarkan dokumennya". Sebuah fail diletakkan di atas meja yang menjadi perantara antara mereka.

"Encik, kalau nak melabur, ada syaratnya". Kay menjongketkan keningnya. Amy yang melihat wajah terkejut Kay segera menjelaskan. Menurut wanita itu, wang yang ditetapkan untuk setiap pelabur melabur ialah sekurang-kurangnya RM 10 ribu dan pelabur dijamin akan mendapat pulangan lima kali ganda daripada keuntungan yang dilaburkan dalam masa sebulan. Segala bukti dan statistik keuntungan yang pernah dicapai oleh syarikat itu dipamerkan. Padahal semua itu hanyalah maklumat palsu yang digunakan untuk memperdaya mangsa. Kononnya, syarikat tersebut merupakan syarikat yang stabil dari segi ekonominya.

Kay hanya mengangguk-angguk mendengar bicara wanita itu yang boleh dikatakan agak baik. Sesiapa pun boleh terpedaya dengan wanita ini.

"Jadi, berapa yang encik nak laburkan?" soalan yang sudah lama dinanti-nantikan akhirnya keluar juga. Lelaki itu tersenyum mendengar soalan Amy. Dia menghirup kopi yang disediakan oleh pihak syarikat untuknya. Amy turut berbuat perkara yang sama.

DISTURBIA Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora