sebelum segalanya bermula-part 6

Start from the beginning
                                    

"Saya...uh, saya...tuan tahu? Saya minta maaf..." itu sahaja yang mampu diucapkannya. Kay tunduk. Dia tidak mampu bertentang mata dengan Saigon.

"Kenapa? Sedih sangat ke keluarga kamu mati sampai kamu tak pergi ke sekolah langsung?" Kay terkejut mendengar soalan yang agak sensitif dari mulut Saigon. Dia kembali mengepal penumbuknya kerana menahan perasaan geram. Sabar, sabar.

"Saya tak bersedia untuk ke sekolah lagi sekarang tuan. Kehilangan keluarga saya dalam sekelip mata tak mungkin dapat saya lupakan buat selamanya. Saya, mungkin terpaksa tolak tajaan tuan jika ini tidak menggembirakan hati tuan." Kay menahan getar dalam suaranya.

"Hmm...tidak mengapa. Ambil masa kamu. Saya tahu, kamu boleh lakukan yang terbaik walaupun tak masuk kelas. Sebab itulah kamu digelar The Unfair Genius bukan?" Saigon tersenyum. Kay mulai serba salah. Dia sebenarnya tidak suka dirinya digelar dengan gelaran sebegitu.

"Sebenarnya saya datang ke mari ada hajat." Ujar Saigon. Dia mengeluarkan sebatang rokok elektronik dan menghidupkannya. Tubuhnya disandar di dinding garaj sambil mengahadap ke kawasan halaman. Beberapa orang pengawal peribadinya setia menunggu di pintu kereta.

"Memandangkan kamu sudah tiada sesiapa atau dalam kata erti kata lain, kamu tiada penjaga untuk menjaga kamu, saya akan ambil kamu sebagai anak angkat. Bagaimana? Setuju?" sambung Saigon. Dia menghisap rokok elektroniknya. Kay termenung panjang mendengar hasrat Saigon.

"Boleh beri saya sedikit masa? Dalam dua hari?" Kay bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Saigon mengangguk.

"Boleh. Nah, ini kad saya. Bila kamu dah buat keputusan, hubungi saya atau datang je ke restoran ni." Saigon menghulur kad bisnesnya kepada Kay. Dia mula mengorak langkah meninggalkan kawasan rumah Kay sebelum masuk ke dalam perut kereta lalu kenderaan mewah itu berlalu pergi. Kay menatap kad tersebut lama. Ada sesuatu yang mencurigakan. Dia teringat kata-kata Saigon sebentar tadi.

"Kenapa? Sedih sangat ke keluarga kamu mati....".

Saigon, ada sesuatu yang dia sembunyikan dari pengetahuannya. Kay menatap lama kad bisnes itu. Otaknya ligat mengatur rancangan.

***

Bangunan restoran itu ditatap dengan perasaan kagum. Ternyata, lelaki yang menajanya selama ini benar-benar kaya! Dia menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk ke dalam restoran itu meskipun di pintu hadapan tertera papan tanda 'close'. Hari ini, dia datang ke restoran itu untuk bertemu sendiri dengan Saigon dan memberikan jawapannya terhadap tawaran Saigon semalam. Dia datang awal sehari dari tarikh perjanjian. Ada sesuatu yang perlu pastikan. Hatinya mengharap jangkaannya selama ini salah.

Dia menyelinap ke dalam kawasan dapur. Tiada sesiapa di sini, getus hatinya. Tiba-tiba, kedengaran seperti ada suara yang semakin mendekat. Kay menyorok di sebalik langsir hitam di situ.

"Tuan, saya rasa kita tak patut bagi maklumat tentang keluarga Khalid kepada Mickel," ujar seorang wanita berpakaian pelayan restoran sambil mengiringi seorang lelaki. Lelaki itu tertawa besar mendengar kata-kata gadis itu.

"Serina, kau siapa nak arahkan aku apa yang aku patut buat? Buat sahaja kerja kau!" suara lelaki itu amat dikenalinya. Itu adalah Saigon! Siapa Khalid yang mereka maksudkan? Kay meneguk air liurnya. Jantungnya mula berdegup kencang. Telinganya dipasang bagi mencuri-curi dengar apa yang akan diperbualkan oleh mereka.

"Maaf, tuan. Tapi saya rasa semua ini salah kita. Saya tak sangka dengan memberi maklumat itu kepada Mickel, akan membawa kepada kemusnahan sebuah keluarga! Tuan Saigon, kita turut bersalah dalam hal ini!" Serina meluahkan pendapatnya. Dia sedikit emosional. Saigon berpaling dan memegang bahu gadis itu.

DISTURBIA Where stories live. Discover now