"Iman... ooo Iman..." kedengaran namanya di panggil dari arah luar bilik. Iman segera mengelap airmata dengan hujung lengan baju kurung kedah yang dipakainya. Iman keluar dari bilik dengan sebuah senyuman. " Awat mak?" Iman menghampiri Mak Temah yang sedang leka
mengacau sesuatu di atas dapur gas.
"Pasai apa hang balik sorang Iman? Tahir mana?" tanya Mak Temah pada anak tunggalnya itu. Iman hanya diam.
"Mak masak apa tu?" Iman menjengukkan kepalanya ke arah kuali yang berada di hadapan Mak Temah. Sebenarnya Iman tahu emaknya sedang masak sambal tumis. Bau sambal tumis emaknya harum semerbak seluruh rumah tapi sengaja dia bertanya buat melepaskan diri dari soalan tadi. Belum bersedia rasanya untuk dikhabarkan berita sedih ini pada emaknya.
"Mak masak sambal tumis kegemaran hang la. Haa.. hang tolong ambil air asam jawa atas meja tu sat." Arah Mak Temah. Iman yang sememangnya tidak pernah melawan cakap terus mengambil perahan air asam jawa yang dikatakan oleh ibunya. Iman menuang air perahan asam jawa ke dalam kuali dan memicit lebihan asam jawa yang masih bersisa di dalam mangkuk dengan jari kanannya.
"Jangan dok main sangat dengan asam jawa tu, satgi hilang abis inai merah kat jari tu." Bebel Mak Temah. Biarlah habis hilang semua warna inai kat jari ni mak. Untuk apa lagi pertahankan inai di jari sedangkan diri sudahpun di buang. Keluh Iman di dalam hati. Kalaulah emaknya tahu apa yang Tahir lakukan pada dia selama ini sudah pasti emaknya serang Tahir dengan golok panjang ayah yang sudah berkarat di bawah rumah tu.
"Ayah mana mak?" dari tadi kelibat ayahnya belum kelihatan.
"Ayah hang pi rumah Tok Ketua. Depa nak bincang tugas untuk majlis kahwin Anum."
"Anum nak kahwin mak? Bila?"
"Hujung minggu ni. Hang pun dijemput. Nanti hang suruh Tahir balik boleh kita pi majlis kahwin Anum tu sama-sama." Ceria betul Mak Temah bila menyebut nama Tahir.
"Abang Tahir tu sibuk ja manjang.. macamana lah dia nak balik mak oi..." balas Iman membunuh angan-angan emaknya.
"Sungguh juga no.. takpa la kalau lagu tuh.." Balas Mak Temah. Sayunya hati Iman hanya Tuhan yang tahu.
Emak, kalau emak nak tahu Tahir tu zalim mak. Dia kurung Iman dalam bilik. Dia tak beri Iman makan sehari suntuk. Dia hina Iman dengan kata-kata yang kesat. Iman hidup kat rumah tu tak ubah macam orang gaji. Semalam ibu mertua Iman pukul Iman dengan penyapu dan bila Iman melawan, Tahir terus lafazkan cerai ke atas Iman mak. Hari ini Iman balik bukan semata-mata kerana nak lawat emak tapi kerana Iman dah jadi janda mak. Iman balik ni sebab Iman sudah berpisah dengan Tahir.
"Iman!" pekik Mak Temah. Siapa tak marah kalau dah berbuih mulut memanggil tapi tak ada yang menjawab. "Kamu ni kenapa? Kamu ada masalah ya?" Mak Temah sudah mula menghidu sesuatu.
" Ish emak ni.. tak ada apa lah. Iman teringatkan Anum. Rindu betul Iman kat dia." Kesian kau Anum, tak pasal-pasal nama kau jadi mangsa. Tapi memang betul pun dia rindukan Anum. Itulah satu-satunya sahabat baik yang dia ada. Yang sedia berkongsi suka dan duka.
ESTÁS LEYENDO
Please Don't Love Me (malay story)
RomancePROLOG: Nurul Iman memasukkan kain bajunya ke dalam almari yang sudah usang. Hanya almari tua ini satu-satunya perabot yang berada di dalam biliknya ini. Bilik yang sekian lama menjadi tempatnya beradu, mencari ilham dan melayan perasaan. Malam...
