"Puan, saya rasa lebih baik kita bawa Fareez pergi jalan-jalan tepi kolam sekejap. Tak elok dah berjanji mungkir pula. Dengan budak kecil pulak tu," ujar Niqrees lembut.

Saffiyah mengetap bibir. Keningnya berkerut memandang wajah Niqrees.

"Awak yang janji, bukan saya. Tu bukan masalah saya,"

"Jadi, izinkan saya tunaikan janji saya pada Fareez," tingkah Niqrees lembut. Saffiyah memandang tepat wajah Niqrees. Dahinya berkerut tanda marah.

"Mama, bolehlah! Fareez nak pergi kolam," rengek Fareez. Mata Saffiyah beralih pula ke wajah anak kecilnya itu. Rasa kasihan pula melihat anaknya merengek sebegitu sekali.

"Hmm... yelah. Tapi sekejap je tau," pesan Saffiyah tegas.

"Okey mama!," jawab Fareez riang semula. Niqrees hanya tersenyum melihat keringan yang terbit di wajah anak kecil tersebut. Dirinya terasa tenang tatkala melihat senyuman di bibir comel Fareez.

"Okey, Fareez. Jom, uncle pimpin," ajak Niqrees yang telah berdiri di sebelah Fareez. Tanpa teragak-agak, Fareez mencapai tangan Niqrees dengan senyuman yang mekar di bibir kecilnya.

"Eh, takpe. Biar mama pimpin Fareez," sela Saffiyah cuba mencapai tangan kecil Fareez.

"Tak nak! Fareez nak dengan uncle," membulat mata Saffiyah menerima respons daripada anaknya itu. Tidak pernah-pernah Fareez menolak arahannya itu.

"Tak pelah puan. Biar saya je yang pimpin Fareez. Fareez, jom," ajak Niqrees lalu menuntun anak kecil itu menuju ke kawasan kolam renang. Saffiyah yang tertinggal di belakang hanya menggigit sedikit bibir bawahnya. Eh, makin mengada pula perangai si Fareez ni. Sejak bila pula dia mula rapat dengan orang asing seperti itu. Saffiyah mula naik bengang.

Dari jauh kelihatan Fareez begitu gembira bermain air yang dipercik oleh Niqrees. Sesekali kelihatan Fareez pula yang memercik air ke arah Niqrees. Niqrees hanya melayan sahaja kehendak Fareez. Kelihatan mereka berdua sungguh gembira bermain air bersama-sama. Jika orang yang tidak tahu akan status mereka berdua, pasti mereka ingatkan Niqrees dan Fareez anak-beranak. Niqrees kelihatan persis seorang ayah yang sedang melayan anaknya bermain. Persis sekali. Tambahan lagi dengan gayanya yang tidak kekok melayan Fareez.

Saffiyah yang berdiri tidak jauh dari mereka berdua hanya melihat sahaja gelagat dua figura itu. Sungguh gembira Fareez apabila bersama dengan Niqrees walhal dia baru sahaja kenal akan lelaki asing itu. Saffiyah naik bingung melihat kemesraan anaknya itu. Fareez yang pendiam dan takut kepada orang yang tidak dikenali sudah menjadi Fareez yang begitu mesra. Adakah ini kerana faktor pertumbuhan anaknya itu? Saffiyah bingung.

Ketawa Fareez memecahkan keheningan malam itu. Kelihatan Fareez ketawa menggeletik tatkala perutnya digeletik Niqrees. Kelihatan juga Niqrees mencium-cium pipi gebu Fareez. Muka Saffiyah mula naik merah. Tidak boleh jadi ni! Mereka terlalu mesra. Dengan langkah yang laju, Saffiyah mendekati mereka berdua. Tidak sampai beberapa saat, tangan Fareez dicapainya.

"Jom kita balik bilik!," marah Saffiyah lalu menarik tangan kecil anaknya.

"Mama!," Fareez mula meronta-ronta.

Niqrees kelihatan agak tersentak melihat tindakan drastik Saffiyah itu. Dengan lantas, dia cuba menghalang Saffiyah.

"Awak tak patut buat anak awak macam ni. Dia masih kecil lagi," sela Niqrees. Mata Saffiyah lantas merenung Niqrees dengan renungan yang tajam.

Cinta Seorang IsteriWhere stories live. Discover now