Bab 15

8.5K 169 54
                                    

Jangan buat rumah di tepi pantai kalau tak ada bot. Jangan berani mencintai kalau takut tidak disambut.

DIA menyarungkan baju T berlengan panjang dan jean lusuh sebelum bergerak ke cermin untuk menyikat rambut. Sesaat kemudian, selendang diletakkan ke atas kepala. Setelah membelit ala kadar, agak-agak dah tutup rambut dan bahagian dada, dia terus mencapai dompet dari atas meja. Kaki diatur terus ke luar rumah.

Berkerut-kerut dahinya memandang Firzal yang sudah elok bertenggek di atas motosikal.

"Dah siap?"

Aira mengangguk sambil melangkah menuruni tangga kayu. Selipar Jepun nenek disarung ke kaki.

"Nak naik macam mana ni?" Kening Aira terangkat. Dia memandang motosikal yang sudah dihidupkan enjin itu dengan rasa waswas.

Tak jatuh ke ni?

"Takkan tak biasa naik kut?" Dahi Firzal pula yang berkerut. Dah lima minit rasanya tunggu budak Aira ni naik. Tapi dari tadi dia tercegat di tepi tu.

"Mana pernah naik motosikal. Bahaya. Kenapa awak tak bawa kereta aje?"

Kereta elok aje tersadai di bawah pokok rambutan. Nak juga Si Firzal ni bawa motor atuk. Nak ambil angin petang katanya. Adoi, kalau jatuh karang, tak bermakna dah angin petang tu.

"Betul ni tak nak naik? Tak nak naik, saya pergi sorang aje la. Esok dah tak sempat nak beli apa-apa." Firzal sengih. Memang dia sengaja paksa Aira belajar naik motor.

Aira mencebik. Kalau bukan sebab nak beli keropok untuk Puan Hayati, kain batik untuk Jiha, kawan dia tu, tak adanya dia nak terima pelawaan Firzal ni. Takkanlah nak pergi bandar naik motosikal? Adoi.

Dia cuba juga untuk duduk di belakang Firzal. Nasib baik pakai seluar. Kalau pakai kain dah terselak habis dah.

Firzal senyum simpul. "Pergi dulu, nek! Kalau Thaqif meragam, telefon aje Zal." Firzal memandu laju ke depan. Aira terpaksa memegang pinggang suaminya supaya tak terjatuh.

Nenek yang dari tadi lagi memerhati di tepi tingkap senyum. Selepas makan tadi, Thaqif terus tidur, sebab itulah Firzal buat keputusan untuk naik motor aje. Senang. Tak payah nak susah-susah menempuh kesesakan jalan raya.

Apa? Ingat bandar Kuala Terengganu jalan tak sesak ke?

Tak jauh pun rumah nenek dengan bandar sebenarnya. Tak sampai lima belas minit, Firzal memberhentikan motosikal di tempat parkir motor Pasar Payang.

Tak ramai sangat orang waktu tu. Mungkin sebab bukan waktu cuti sekolah. Kira senang la nak membeli-belah. Tak adalah sesak sangat.

"Keropok belah mana?" soal Aira. Dia memanjangkan leher mencari keropok losong dan keropok keping yang memang menjadi kegemaran mommynya.

"Kita beli baju-baju dan cenderamata lain dulu. Lepas ni baru kita cari keropok."

Aira mengangguk. Dia ikut aje. Manalah dia tahu jalan-jalan dekat sini. Banyak juga baju-baju T yang boleh dijadikan cenderamata.

Tangannya mencapai satu per satu baju yang dirasakan cantik. Firzal hanya mengikut langkah Aira dari sebuah kedai ke kedai yang lain.

Telefon bimbit Firzal tiba-tiba berbunyi kuat. Lalu dikeluarkan telefon bimbit itu dari saku seluar. Nama yang tertera di skrin membuatkan bibirnya spontan mencipta senyum. "Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Syok ya kau berbulan madu?" Suara Jidin dari hujung talian membingitkan telinga.

Firzal ketawa kuat. "Kau nak apa ni? Kacau aku ajelah."

"Ofis sunyi weh, bila kau tak ada."

Firzal mencebik. Tak ada maknanya ofis tu nak sunyi. Mana hilang suara Kak Muna yang selalu riuh kalahkan Riuh Pagi Era tu?

"Kenapa? Kak Muna pun cuti ke?" Dia ketawa lagi.

Aira tidak mengendahkan Firzal. Tangannya masih lagi mencari beberapa helai baju T untuk dibawa pulang. Boleh bagi dekat Dik Qi, angah, tak pun bagi dekat along apabila dia balik nanti.

"Kau ingat dia kahwin lagi sekali ke nak ambil cuti panjang macam kau?" Jidin ketawa lepas. Firzal gigit bibir. Kawan dia yang satu ni la.

"Aku ada cerita." Jidin menyambung.

Kening Firzal terangkat. "Apa dia?"

Talian sunyi beberapa saat. Boleh agak Jidin senyum dari sana. "Cik Hanisa cari kau."

Kelu terus lidah Firzal. Biar betul? "Kau jangan buat lawak, weh."

"Betul la. Dia tanya aku, kau balik dari cuti bila. Dah rindu sangat la tu." Jidin sengih lagi.

"Cik Hanisa rindu aku?" Firzal senyum lebar. "Kau ni boleh percaya ke?"

Tangan Aira yang asyik memilih baju terhenti saat mendengar nama yang baru disebut oleh suaminya. Terasa tangannya menggigil, tapi sedaya upaya dia membuat muka selamba.

"Tak ada untungnya aku tipu kau." Jidin ketawa lagi dalam talian.

Firzal sengih dua saat. Hatinya kembang tiba-tiba. "Kalau betul Hanisa rindukan aku, akulah yang paling bertuah dekat ofis tu."

"Amboi, dah kahwin baru saham kau naik, kan? Aku pun kena kahwin cepat-cepat ni."

Firzal senyum. "Mengarutlah kau. Ada apa-apa lagi tak? Aku tengah beli barang ni. Kau nak kirim apa-apa?" Rancak Firzal berborak dan tidak lama kemudian, talian dimatikan.

Aira masih mengawal riak muka. Sedikit pun dia tidak memandang Firzal. Terasa ringan aje bibir dia nak tanya siapa Hanisa. Tapi lidah dia kelu.

"Jumpa tak yang berkenan?" Firzal menegur dari belakang. Aira mengurut dada. Terkejut.

Dia menggeleng perlahan.

"Kita cari depan sana pula."

Firzal sudah pun mendahuluinya ke bahagian tengah Pasar Payang. Aira mengekori langkah Firzal dengan perasaan berkecamuk. Siapa Cik Hanisa?

BARANG-BARANG sudah pun selesai diangkut ke dalam kereta. Aira yang mendukung Thaqif masih lagi dipeluk nenek. Nenek berat hati nak biarkan Aira balik KL sebenarnya. Tak sempat nak sembang lama-lama nenek cakap.

Lagipun, masa mereka dekat rumah nenek terhad sangat. Tiap-tiap hari dia orang pergi rumah saudara, sesi kenal-kenal dengan saudara-mara Firzal di Terengganu ni. Ramai juga. Hampir ke Kemaman sana dia orang pergi. Heh.

Sekarang ni dah jarang yang amalkan adat ni. Ini pun nenek yang paksa Firzal pergi ziarah rumah semua saudara dekat sini sambil-sambil kenalkan Aira sekali.Kenalkan ahli keluarga baru katanya.

Selepas bersalaman dengan atuk dan nenek, Firzal membawa kereta keluar ke jalan besar. Aira yang membisu sejak semalam dipandang sekilas. Thaqif pun baik aje di dalam pelukan mak cik dia. Tak pula meronta-ronta nak main.

"Awak nak berhenti beli jajan tak?" soal Firzal. Rasanya lagi beberapa kilometer di hadapan ada Petronas. Bolehlah dia orang beli makanan apa yang patut. Tak bagi mengantuk ataupun bosan.

Aira menggeleng. Matanya masih pegun memandang jalan raya di hadapan. Tiba-tiba terasa rindu dekat nenek. Walhal belum lagi keluar dari negeri ni.

"Aira, awak okey tak ni?"

Aira diam. Ringan aje mulutnya ingin bertanya tetapi tetap dia tahan. Dia takkan tanya selagi Firzal sendiri yang bagi tahu. Selama ni dia tak pernah terfikir pun kalau-kalau Firzal dah ada teman wanita ke, Firzal ada suka sesiapa ke, dia tak pernah fikir.

"Humaira."

"Saya nak tidur." Matanya dipejam rapat. Seakan-akan memahami kekacauan dalam hati mak ciknya, Thaqif turut bersandar di badan Aira. Cuba untuk tidur agaknya.

Jawapan Aira sudah jelas menyatakan yang dia tidak mahu persoalan tadi disambung. Firzal akhirnya menarik nafas berat. Sungguh dia tak tahu apa yang Aira fikir. Datang bulan agaknya. Matanya kembali fokus pada jalan di hadapan. Masih jauh lagi perjalanan mereka.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Pencuri Cinta Kelas SatuWhere stories live. Discover now