"Okey sayang. Sleep tight. Waalaikummussalam," ucap Hafidz. Kedengaran talian telah diputuskan Amni. Amni meletakkan kembali telefon pintarnya di atas meja. Kemudian, dia memandang kosong telefon pintarnya itu. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Hafidz sedang berbohong kepada dirinya. Jika tidak, kenapa tiba-tiba dia bangkitkan perihal Lutfya sedangkan sebelum ini dia tidak ambil kisah langsung mengenai sahabat baiknya itu. Hal ini benar-benar menyentakkan perasaannya.


NIQREES QASHFI membelek-belek gambar yang ada di tangannya. Sesekali kelihatan dia menelan liurnya sambil tangannya mengusap-usap lembut bingkai gambar tersebut. Kelihatan juga matanya yang redup itu memandang sayu gambar yang ada di tangannya itu. Matanya masih lagi tidak lepas memandang gambar kedua-dua ibu bapanya itu. Hatinya mula berbisik sekiranya kedua-dua ibu bapanya masih hidup, mungkin hubungan di antara adiknya tidak seperti ini.

Niqrees menghalakan pandangannya ke arah tingkap bilik. Kelihatan angin malam bertiup sepoi-sepoi menerobos ke dalam biliknya. Langsir yang bewarna merah hati kelihatan menari-nari dek ditiup angin malam. Sepertinya ada tanda-tanda hujan akan turun pada malam ini. Niqrees benar-benar tidak suka akan hujan. Bukan kerana dia tidak bersyukur atas nikmat Tuhan. Tetapi, hal ini kerana secara tidak langsung ingatan Niqrees mula berputar mengingati kembali tragedi yang dialaminya pada 13 tahun yang lalu. Tragedi hitam yang dialaminya itu tidak akan pernah luput dari kotak ingatannya untuk selama-lamanya.

Ingatannya masih lagi segar mengingati bagaimana dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya dengan serentak. Ketika itu, hujan turun dengan renyai-renyai. Mereka sekeluarga baru pulang dari sebuah percutian yang telah lama dirancang. Kegembiraan yang baru dinikmati mereka sekeluarga bertukar tragedi hitam tatkala kereta yang dipandu ayahnya tergelincir dari laluan asal lalu hampir terjunam ke dalam gaung. Nasib mereka agak baik apabila kereta tersebut tersangkut di ranting-ranting pokok yang mati di bibir gaung tersebut. Dengan berbekalkan harapan dan keazaman, ayah mereka berdua cuba mengeluarkan Niqrees dan Naufal melalui cermin belakang yang pecah akibat ditendang oleh ayahnya. Ibunya pula masih lagi tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang.

"Niqrees, ingat pesan papa ni baik-baik. Jaga adik baik-baik bila papa dan mama tak ada nanti. Sayang dia. Jangan pernah bergaduh dan putuskan hubungan adik-beradik antara Niqrees dan adik. Kamu berdua harus saling sayang-menyayangi di antara satu sama lain. Sebab, kamu berdua dah tak ada sesiapa lagi. Naufal hanya ada Niqrees, dan Niqrees hanya ada Naufal. Ingat pesan papa ni sampai bila-bila ye sayang,"

"Tapi Niqrees takut," ucap Niqrees dengan nada yang bergetar.

"Niqrees jangan takut. Niqrees abang. Niqrees anak lelaki papa. Niqrees kena kuat," ucap ayahnya sambil mengusap-usap lembut kepala anaknya.

"Baik papa,"

"Good boy," ucap ayahnya dengan senyuman yang lega. Sejurus itu, dirinya mula masuk semula ke dalam kereta untuk menyelamatkan isterinya.

"Papa nak pergi mana?," panggil Niqrees.

"Papa nak selamatkan mama,"

"Biar Niqrees tolong papa,"

"Jangan! Jaga adik. Papa pergi sekejap je ni. Ingat pesan papa ye Niqrees. Papa dan mama sayang sangat dekat Niqrees dan Naufal," ucap ayahnya sambil tersenyum manis. Sedetik kemudian, ayahnya mula pergi ke tempat duduk penumpang hadapan untuk menyelamatkan isterinya. Baru sahaja ayahnya ingin menyentuh isterinya, tiba-tiba kereta tersebut tergelincir lalu menggelongsor jatuh ke dalam gaung.

"Papa!!," jerit Niqrees sambil bulat matanya tatkala melihat kereta yang dinaiki ayah dan ibunya terjunam ke dalam gaung yang sangat dalam. Dengan air mata yang berjuraian jatuh ke pipi dia mula berlari ke bibir gaung lalu matanya memandang jauh kereta yang masih ada ibu dan bapanya jatuh terhempas di dalam gaung tersebut. Sedetik kemudian, kelihatan kereta tersebut meletup kuat lalu api menjulang-julang naik ke udara.

"Papa! Mama!," jerit Niqrees lagi.

"Papa! Mama! Jangan tinggalkan Niqrees! Papa! Huu... huu... Papa! Mama!," jerit Niqrees dengan tersedu-sedunya. Kedua-dua tangannya menggenggam erat pasir-pasir di bibir gaung tersebut sambil menggigit bibirnya menahan sendu.

"Papa! Mama! Huwaa!!," jerit Niqrees dengan sekuat hati sambil mendongak memandang ke langit. Kelihatan hujan renyai-renyai jatuh menitik membasahi wajah Niqrees yang merintih itu. Naufal yang masih kecil tidak tahu apa-apa yang sedang terjadi ketika itu. Dengan langkah yang perlahan, Naufal mula mendekati Niqrees akibat ketakutan. Niqrees dengan lantas memeluk adiknya yang baru berumur empat tahun itu sambil menangis teresak-esak mengenangkan kedua ibu bapanya yang telah hancur akibat letupan tersebut. Kini, tinggallah mereka dua beradik berpelukan meratapi kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka sekali gus. Kedengaran esakan tangisan daripada mereka seiring dengan hujan renyai-renyai yang turut menangisi kehilangan ibu bapa mereka.

BOMM! Tiba-tiba lamunan Niqrees terhenti akibat bunyi dentuman guruh di langit. Niqrees mengesat sedikit air matanya itu lalu dengan perlahan dia menutup tingkap biliknya yang terbuka. Kedengaran dia melepaskan keluhan yang nipis lalu matanya memandang gambar ibu bapanya yang berada di atas katilnya itu.


SAFFIYAH DANIA tersenyum-senyum sendirian tatkala mengingati kembali momen-momen di zoo siang tadi. Dirinya tidak sangka bahawa Hafidz merupakan seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat sebagai seorang bapa yang penyayang. Masih dia ingat bagaimana Hafidz bersabar melayan kerenah Fareez siang tadi. Sehinggakan anaknya yang takut dengan orang itu boleh bergaul mesra dengan Hafidz. Kelihatan Fareez benar-benar selesa dengan Hafidz ketika itu.

Dalam diam-diam dia telah melihat Hafidz melayan anaknya semasa dia pergi ke tandas pada ketika itu. Secara tidak sengaja dia telah melihat bagaimana Hafidz memancing hati anaknya itu. Paling dia tidak sangka apabila Fareez mula menghulurkan salam persahabatan kepada Hafidz. Tidak pernah-pernah dia melihat anaknya begitu peramah dan selesa dengan rakan-rakannya apatah lagi dengan orang yang lebih dewasa darinya. Jauh dari sudut hati Saffiyah mula mengagumi sifat Hafidz. Entah kenapa, hatinya mula rasa selesa dan suka apabila berada di sisi Hafidz. Jatuh cintakah dia terhadap Hafidz? Ah! Tak mungkin. Sekiranya dia jatuh cinta semula kepada Hafidz pun, tidak semestinya Hafidz mempunyai perasaan yang sama terhadap dirinya. Lagipun Hafidz sudah ada Amni. Dan paling penting Hafidz merupakan suami orang! Tak mungkin Saffiyah seorang perempuan yang sanggup merampas suami orang dan sekali gus menghancurkan masjid yang telah terbina itu.

'Mengucap Saffi, mengucap!,' bisik hatinya.


KEDENGARAN Hafidz melepaskan sedikit nafas lega. Lega kerana Lutfya tidak nampak akan kehadirannya di zoo siang tadi. Nasibnya baik kerana dia sedar akan kehadiran Lutfya di sana. Dia harus berterima kasih kepada pak cik yang memarahi Lutfya ketika itu. Jika tidak kerana suara pak cik tersebut yang persis halilintar, pasti dia tidak akan perasan akan kehadiran Lutfya. Dan jika itu terjadi, pasti akan berlaku perang dunia yang ketiga. Pasti!

Mulut Lutfya tu apa kurangnya. Sekali dia buka mulut, habis seluruh dunia hancur dek kebusukan mulutnya itu. Mulutnya itu sungguh laser dan semua fakta yang disampaikan tidak berapa tepat. Sekiranya berita ini sampai ke telinga Amni, alamatnya hnacur sudah rumah tangga yang dibinanya selama ini.

"Haa, nasib baik Amni tak tahu apa-apa," bisiknya perlahan.

Sedetik kemudian, dia mengambil bantal peluk lalu memeluknya. Matanya sudah menjadi layu. Bila-bila masa sahaja matanya itu akan terlelap. Mungkin malam ini dia akan bermimpi yang indah memandangkan hari yang dilaluinya sebentar tadi sangat menggembirakan.


Cinta Seorang IsteriWhere stories live. Discover now