Pasti mama sedang membencikan dirinya, bukan? Atau sebenarnya mama sedang marah kerana dia tergamak membuat keputusan untuk meninggalkan mama? Dia bukan sahaja meninggalkan mama, namun dia terus menjauhkan seraya menghilangkan diri dari ibu tua itu. Mengapa dia tergamak menghukum mamanya sebegitu rupa?

"Tak bercakap, saya tutup."

"Ma."

Suaranya lantas keluar walaupun perlahan sebutannya. Dia yakin ibu tua itu yang sedang berada di hujung talian pasti mendengar akan suaranya itu. Kini ibu tua itu pula yang terkedu seribu kata.

"Ma..."

Panggilnya lagi malah makin meleret-leret sebutan mama itu. Air matanya semakin deras mengalir saat perkataan mama itu diucapnya penuh rasa syahdu. Sungguh, dia rindu akan panggilan itu.

"Ni Isy ke?"

Ibu tua itu lantas menanya adakah lelaki di hujung talian itu anak lelakinya. Adakah ibu tua itu sudah tidak mengecam suara anak lelakinya itu lagi? Mungkin juga ya kerana selama tujug tahun ini, pelbagai perubahan telah dia jalani tanpa mamanya di sisi. Dan dia sendiri langsung tidak bertukar khabar dengan mamanya lagi.

"Ya ma." Jawabnya perlahan. Air mata yang membasahi pipinya itu lantas dia hapuskan. Dia tidak mahu pekerjanya perasan akan perubahan riak wajahnya yang semakin mendung.

"Ya allah, anak ma."

Kedengaran esak tangis di hujung talian. Hatinya bergetar tatkala tangisan ibu tua itu berlagu di telinganya. Terasa bagai hidupnya ini sedang dihempap dengan dosa yang menimbun banyaknya. Lebih-lebih lagi dosa di zaman remajanya. Namun begitu, dia sungguh tidak menyangka bahawa mamanya akan memanggil dirinya sebagai seorang anak lagi sedangkan dia sudah membuang ibu tua itu jauh dari hidupnya.

"Mama dekat mana sekarang?"

"Kedah."

"Mama sihat ma?"

"Sihat."

"Nak, kamu tak benci mama lagi ke sayang?"

Pertanyaan itu makin membuatkan hati lelakinya terguris kembali. Masakan dirinya mahu membenci seorang ibu yang bersusah payah mengandungkannya selama sembilan bulan, melahirkannya malah menjaganya dari kecil hingga besar disebabkan hal bodoh itu?

Lagipula, ketika itu dirinya masih remaja. Bak kata orang, masih berdarah panas. Pemikirannya juga tidak matang dan dia selalu mengambil jalan mudah dalam segala hal. Disebabkan ego dan rasa sakit hati, dirinya telah mengambil keputusan untuk pergi jauh dari ibu tua itu. Dia langsung tidak memberikan ibu tua itu sedikit peluang dalam menerangkan segalanya.

"Tak ma, Isy tak benci mama."

"Kedah area mana?"

"Mama duduk sana dengan siapa?"

"Siapa yang jaga mama di sana?"

Bertalu-talu soalan itu terpacul keluar dari mulutnya. Perasaan ingin tahu makin mengasak sanubarinya tika ini. Selama tujuh tahun itu, sudah pelbagai cara dia gunakan untuk menemui mama, namun siapa sangka, pada tahun ini Allah beri dia peluang untuk berjumpa kedua-dua cintanya kembali.

"Area pokok sena. Mama duduk seorang sebab mama jaga rumah peninggalan nenek kamu." Jelas mamanya tenang. Bibir tua itu lantas sahaja tersenyum manis. Siapa sangka, akhirnya Allah itu makbulkan jua doanya. Dia mahu anak lelakinya itu kembali padanya semula, dengan rela hati bukan kerana terpaksa.

"Nanti ws location." Pintanya.

"Isy nak buat apa? Datang?" Tanya mamanya hairan. Mana mungkin anaknya itu ingin datang secepat yang mungkin? Dia sendiri tahu, anaknya kini sudah terlalu sibuk menguruskan perniagaan bekas suaminya itu. Walau dari jauh, dia tetap setia mengikuti perkembangan anaknya itu.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now