"Aku takut kau akan layan aku sebagai kawan lagi."

Kata-kata yang keluar dari mulut Isyraf Nazran sebentar tadi pantas membuatkan dirinya terdiam tika ini. Hatinya mula terusik apabila dia menyedari akan kesilapannya itu. Sungguh, dia tidak menyangka bahawa remaja lelaki itu akan mendengar perbualannya bersama Ikram petang tadi.

"Jadi awak dengar apa yang saya borak dengan Ikram?"

Isyraf Nazran hanya mengangguk lemah. Sungguh, dia amat terasa dengan gadis itu tika ini. Takkanlah dengan apa yang mereka jalani selama ini, gadis itu masih menganggap dirinya sebagai kawan lagi? Takkanlah dengan luahan perasaannya itu, gadis itu langsung tidak menghiraukan hati dan perasaannya ini? Pandangannya terus sahaja dihalakan pula bagi memerhati pelajar-pelajar lain yang sedang berpusu-pusu untuk masuk bagi memenuhi dewan itu.

"Saya minta maaf sebab cakap kat Ikram yang kita berdua cuma kawan. Saya sendiri kurang pasti dengan perasaan saya ni. Tapi apa yang saya pasti, apa yang saya cakapkan tadi tu, saya memang tak maksudkan langsung." Tuturnya jujur.

Sejujurnya, dia memang sudah punya hati buat lelaki itu, namun untuk menyatakan hasratnya itu, dia sendiri masih keliru. Adakah lelaki itu akan memberikan reaksi yang sama terhadap perasaannya ini? Bagaimana kalau dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja? Dan adakah lelaki itu benar-benar telah meluahkan rasa cinta melalui nyanyiannya tempoh hari?

"Kalau kau tak maksudkan apa yang kau cakap tadi, maknanya kau suka aku?" Duga Isyraf Nazran.

Wajah gadis itu yang sudah terkesima akan pertanyaan dari dirinya itu ditatapnya lama. Dia ingin mendengar jawapan dari mulut gadis itu sendiri. Adakah gadis itu punya perasaan terhadapnya? Atau dia hanya bertepuk sebelah tangan selama ini?

Ilya Nasuha terkedu. Jawapan apakah yang perlu diberikannya pada lelaki itu sewaktu panas sensasi dan membahang begini? Kali ini, dia sudah tidak boleh melarikan dirinya lagi dari situasi ini. Dia yang merupakan penyebab semuanya, pasti dia jugalah yang harus berani bersua muka. Ilya Nasuha fighting!

"Kau diam, aku anggap jawapannya ya. Macam kau cakap tadi, kalau diam maksudnya iyakan, kan?"

Ilya Nasuha masih statik begitu. Diam dan berfikir. Jarinya diketuk-ketuk di lantai, tanda dia sedang mencari idea bagi membangkang kata-kata lelaki itu. Memang dia teramat sukakan Isyraf Nazran, namun apabila lelaki itu meluahkan perasaannya, hatinya mula terasa berbelah bahagi. Adakah dia patut menerima cinta dari  lelaki itu? Walaupun lelaki itu adalah lelaki pertama yang berjaya membuatkan dia mengenal apa itu cinta. Dan sejak di kembara cintanya lagi, dia mula menaruh harapan pada lelaki itu sehingga kini.

Isyraf Nazran pantas merapatkan badannya pada badan Ilya Nasuha. Bahu mereka bersentuhan buat seketika sebelum dijarakkan kembali kedudukan di antara keduanya. Sempat lagi telinga gadis itu yang berlapik dengan tudung bawal hitam menjadi fokus utamanya. Dihembus perlahan nafasnya sebelum dia mula berbisik sesuatu.

"Aku sayangkan kau, Ilya." Ucapnya lembut. Senyuman nakal terus sahaja terhias di ruang bibirnya saat wajah gadis itu sudah mula bertukar merahmu bara semangat waja, eh?

"Saya pun sayang awak." Balasnya perlahan. Ya, memang dia sayangkan Isyraf Nazran. Dia juga harus berani meluahkan kata seperti remaja lelaki itu.

Isyraf Nazran terkedu. Mulutnya sudah terlopong dan matanya sedikit membulat tatkala mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. Mana mungkin gadis ini sedang meluahkan kata cinta terhadap dirinya. Adakah ini realiti atau fantasinya semata-mata? Jika dia sedang bermimpi, dia merayu, tolonglah perkara ini terjadi.

"Boleh kau ulang?"

Ilya Nasuha pantas menekup mulutnya menggunakan kedua belah telapak tangannya. Aduhai sayangku, kenapa mulut ini gatal sangat hendak mengungkap cinta cintun? Kenapa dia boleh tersasul hingga mengatakan bahawa dia juga menyayangi lelaki ini? Dia malu.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CDove le storie prendono vita. Scoprilo ora